Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Mencukupi di Sarawak, Namun sebaliknya di Sabah

    KUCHING, 8 JULAI – Peniaga di bandar raya ini tidak berdepan masalah bekalan keperluan asas menjelang sambutan Aidiladha, Ahad ini. 

    Tinjauan Bernama mendapati bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging mencukupi dan dijual mengikut harga yang ditetapkan.

    Bagaimanapun, menurut mereka pengguna dilihat mengambil langkah berbelanja secara berhemat  ketika membeli barangan mentah untuk perayaan itu.

    Peniaga daging sejuk beku Husaini Sharbini, 54, berkata ini kerana pembeli memahami situasi  peningkatan harga barangan mentah pada masa ini.

    “Untuk perayaan Aidiladha kali ini, kalau dulu pelanggan membeli daging dalam tiga kilogram (kg), tetapi sekarang dalam 1.5kg ke 2kg sahaja dan hanya untuk keluarga kecil bukan lagi (untuk masak) secara besar-besaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

    Penjual ayam di Pasar Komuniti Stutong, Sejanah Sawi, 52, pula berkata bekalan ayam stabil dan menjangkakan jumlah pembeli meningkat esok bagi pembelian saat akhir sempena Aidiladha.

    Selain itu, tinjauan mendapati harga runcit ayam standard dijual pada harga RM9.80 manakala ayam super pula RM10.80 sekilogram. 

    Sementara itu di Sabah, peniaga ayam selama 20 tahun di Pasar Besar Kota Kinabalu, Mardan Bacho, 60, berkata peniaga dapat menjual di bawah harga siling RM11.30 sekilogram tetapi bekalan yang kurang menyebabkan beliau sukar memenuhi permintaan tinggi pelanggan ketika musim perayaan.

    “Isu di sini bukan harga siling…tetapi bekalan tidak cukup untuk diberikan kepada mereka, saya selalu beli 300 ekor sehari tetapi sekarang dalam 100 ekor sahaja dapat,” katanya yang merayu pihak bertanggungjawab supaya dapat meningkatkan bekalan ayam pada Aidiladha ini.

    Seorang pesara kerajaan negeri, Jenny Lim, 66, dari Laya-Laya, Tuaran yang mempunyai 12 ahli keluarga berkata kekurangan bekalan ayam sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluarganya yang ramai.

    Peniaga kedai runcit di Gayang, Tuaran, Samirullah Bashar, 42, pula berkata sudah sebulan beliau tidak menerima bekalan minyak masak paket bersubsidi dan beliau menghadapi rungutan pelanggan setiap hari kerana terpaksa membeli minyak masak berbotol yang lebih mahal. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...