Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mendekati hubungan masyarakat dalam Program Sua Muka

    PERAMU – Dalam usaha untuk terus mendekati penduduk kampung di negara ini, Program Sua Muka atau dikenali dengan Personal Contact kali ini diadakan di kediaman Penghulu Mukim Peramu, Pengarah Dato Paduka Awang Haji Ismit bin Pengarah Mukim Haji Naim.

    Ini adalah salah satu aktiviti berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dalam usaha untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.

    Rombongan Jabatan Penerangan telah dialu-alukan oleh Penghulu Mukim Peramu. Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar, disertai oleh pegawai dan kakitangan dari beberapa bahagian dan unit yang berkenaan.

    Program Sua Muka ini adalah salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka, yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat. Program ini merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.

    Ianya juga untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan.

    Bergambar ramai Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan bersama penghulu berserta pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan dan MPK Kampung.
    Bergambar ramai Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan bersama penghulu berserta pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan dan MPK Kampung.
    Penyampaian cenderahati kepada Penghulu Mukim Peramu.
    Penyampaian cenderahati kepada Penghulu Mukim Peramu.

    Program ini juga bertujuan untuk membarigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar Negara.

    Interaktif

    Manakala antara yang dikongsikan dari pihak MPK dan penduduk kampung adalah berkenaan prasarana dan kemudahan awam. Dalam membantu penduduk kampung untuk mengetahui, memahami dan menghayati maklumat-maklumat penting lebih terperinci seperti Wawasan Brunei 2035, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, keusahawanan dan sebagainya, satu program iaitu Program Masyarakat Bermaklumat juga dikongsikan kepada ahli MPK.

    Program ini juga menjadi landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan, bukan sahaja melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan malah juga melalui lawatan-lawatan mengikut kesesuaian.

    Sememangnya program yang menjurus kepada mendekati orang ramai secara bersua muka adalah masih releven dalam zaman yang canggih ini kerana ia lebih bersifat ‘personal’ dan interaksi akan lebih berkesan serta dapat memberikan jalinan muhibah yang baik.

    Oleh kerana itu hubungan baik yang terjalin antara warga perkhidmatan awam dan masyarakat akan dapat mewujudkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat dan negara. Ini sangat penting dalam memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.

    Dengan adanya program sebegini ia akan dapat memupuk semangat kekitaan dan bertanggungjawab terhadap negara serta menyemai hubungan yang erat antara kerajaan dengan rakyat.

    Di era yang serba canggih ini, Jabatan Penerangan juga tidak ketinggalan untuk mempunyai laman media sosialnya. Penduduk Negara ini boleh mengikuti Facebook Jabatan Penerangan iaitu Jabatan Penerangan Jabatan Perdana Menteri, Akaun Twitter : @infodept_bn dan Akaun Instagram : @infodept.bn.

    Jabatan Penerangan juga mempunyai aplikasi mudah alih dikenali sebagai ‘InfoDeptBN’ yang boleh dimuat turun dari Playstore dan Google Play.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda