Oleh Lenna N.B
FENOMENA Korea nampaknya masih melanda di seluruh dunia, terutama di Asia. Apabila menyebut sahaja tentang Korea, ramai antara peminatnya teruja.
Terkenal dengan kisah-kisah cinta romantik yang dipersembahkan dalam drama bersiri, diikuti dengan kumpulan penyanyi yang hebat menari dan berwajah tampan sekali gus menjadi idola kepada para gadis, tidak kurang juga rancangan-rancangan realiti televisyen yang menghiburkan.
Antara rangkaian televisyen yang cukup popular adalah KBS dan SBS, di mana rancangan-rancangan yang disiarkan di dua rangkaian itu mudah diakses pada bila-bila masa secara online. Ini membolehkan khalayak di seluruh dunia dapat menonton filem, drama atau rancangan Korea yang mereka gemari hanya dengan akses di hujung jari, apatah lagi dengan adanya sari kata yang disediakan sama ada dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, membuatkan khalayak penonton senang memahami dan menerima apa sahaja rancangan hiburan Korea yang ditayangkan.
Dari rancangan hiburan, secara langsung mendedahkan kebudayaan Korea kepada orang ramai, termasuklah dari segi pakaian tradisi, makanan, cara bertutur, kesenian dan sebagainya. Lama-kelamaan, Korea menjadi salah sebuah negara yang ingin diterokai, dalam kalangan pelancong di seluruh dunia, terutama bagi mereka yang begitu teruja dan kagum dengan dunia hiburan serta kebudayaan Korea.
Kemeriahan Festival Korea
Baru-baru ini, Organisasi Pelancongan Korea dan Kompleks Membeli-belah Times Square telah mengelolakan Festival Korea 2017, yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut, di ruang Atrium Times Square. Festival tersebut telah menarik ramai pengunjung yang menyaksikan dan mendekati sendiri untuk mengenal budaya dan kesenian Korea.




Antara yang menarik adalah pameran produk-produk teknologi Korea, tawaran perkhidmatan pelancongan ke Korea, cabutan bertuah, persembahan tarian K-Pop yang agak popular di Korea, demonstrasi pelbagai masakan tradisi dan aneka seni Korea.
Jinjo Crew beraksi di pentas
Penampilan istimewa adalah persembahan daripada kumpulan Jinjo Crew, iaitu kumpulan Breakdance Korea yang sangat aktif dan popular. Breakdance dikenali juga dengan istilah singkatnya B-Boy, tarian yang diadaptasi dari Barat dan berkembang dalam kalangan anak muda di seluruh dunia.
Namun, keistimewaan Jinjo Crew adalah mereka mempunyai keunikan apabila menggabungkan tradisi Korea dalam tarian Breakdance mereka. Nama Jinjo Crew dalam industri Breakdance berjaya menarik mata dunia apabila mereka memenangi beberapa pertandingan dalam negara dan antarabangsa sejak penampilan pertama mereka sekitar tahun 2001. Mereka berjaya membawa pembaharuan dalam sejarah Breakdance, kerana mencipta pelbagai gaya tari yang unik, rumit dan kompleks serta memukau secara visualnya.





Kumpulan ini melambangkan semangat belia Korea yang aktif, bertenaga, dan cergas. Malah, telah dikurniakan anugerah ‘Minister’s Korea Hip Hop Award’ dalam tahun 2014 oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Republik Korea. Atas kejayaan mereka itu, setentunya kedatangan Jinjo Crew ke Brunei adalah detik yang dinanti-nantikan oleh para peminat mereka di sini.
Perkataan ‘Jin’ dalam bahasa Korea membawa erti membangun dan ‘Jo’ bermaksud api, iaitu memperlihatkan sekumpulan belia yang sentiasa bersemangat dan berkobar-kobar umpama api yang membara, jelas diperlihatkan sebalik tarian mereka yang rancak dan penuh bertenaga. Dianggotai kira-kira 15 penari, Jinjo Crew telah mengegarkan pentas di ruang Atrium Times Square apabila ramai peminat mereka bersorak sebaik sahaja mereka tampil di atas pentas.
Sekitar suasana pameran
Sementara pentas penuh dengan sorakan para peminat Jinjo Crew, sekitar suasana pameran turut mendapat perhatian para pengunjung terutamanya keluarga, yang ingin melakukan aktiviti bersama anak-anak mereka.
Umpama berada di zaman tradisi kerajaan Korea, kelihatan kanak-kanak berpakaian Hanbok, iaitu pakaian tradisional Korea, yang kini biasanya dipakai semasa acara-acara rasmi, keraian, dan juga perkahwinan. Sementara ibu bapa mereka pula merakamkan gambar untuk mengabadikan kenangan bersama keluarga, walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke negara tersebut.




Menariknya, pakaian tradisi Korea ini umpama baju gaun atau jubah, kelihatan begitu sopan dan santun. Di dalamnya mengandungi beberapa bahagian dan lapisan yang dikenali sebagai Jeogori, Chima, Sokbaji, Sokchima, Beoseon, Durumagi dan sebagainya.
Turut memeriahkan suasana adalah pameran seni lukis. Para pengunjung berpeluang untuk melukis, melakar dan mewarna di atas pelbagai aksesori kraf tangan Korea, antaranya adalah mewarna topeng muka yang biasanya digunakan semasa persembahan pentas, kipas tradisi Korea dan sebagainya. Tujuan sebalik aktiviti ini sebenarnya adalah untuk mempromosikan kemahiran seni dan kreativiti dalam kalangan orang ramai.
Di samping itu, bengkel menulis juga dibukakan bagi para pengunjung di mana mereka berpeluang untuk menulis nama mereka dalam perkataan sebagaimana yang tercatat dalam Bahasa Korea.
Banyak lagi antara aktiviti yang menarik sekitar festival, membawa pengunjung seakan-akan merantau ke Korea. Sebalik festival tersebut, secara tidak langsung menunjukkan keakraban antara dua negara.
Walaupun berlainan budaya dan bangsa, ternyata kebudayaan Korea diterima baik di tanahair dan pada masa yang sama, para peserta pameran yang datang dari Korea turut dapat mendekati masyarakat tempatan dengan lebih mesra lagi. Maka, terjalinlah hubungan silaturrahim antara dua latar masyarakat, berkongsi kemesraan dan persahabatan. Malah Brunei kini, menjadi antara lokasi yang ingin diterokai oleh para pelancong Korea.