KANADA – Pekan ini dikenali sebagai pekan yang paling terpencil sekali di dunia di mana hanya 10 kanak-kanak pergi ke sekolah, tidak ada penggunaan kenderaan malah apa yang menarik, anda boleh membina sebuah rumah di mana sahaja anda suka, menakjubkan. Dengan tidak ada penggunaan kereta, tidak ada kemudahan rumah sakit, tidak ada kelab malam mahupun sebuah restoran, Francois in Newfoundland and Labrador merupakan sebuah komuniti yang paling jauh sekali di dunia.
Pekan kecil ini terletak jauh di kawasan teluk dan terpencil di Timur Kanada dan hanya boleh diakses dengan menggunakan bot ataupun perahu dan kebanyakan penduduk di pekan itu menggunakan basikal untuk berhubung di antara satu dengan yang lain. Apa yang pasti, pekan ini dikelilingi dengan laluan lembah yang curam yang tinggi dan berbukit namun masih berupaya mempamerkan satu panorama yang indah dan menakjubkan. Baru-baru ini, wartawan MailOnline telah berkunjung ke pekan itu bagi merasakan sendiri kehebatan dan ketenangan pekan berkenaan yang menjadi salah satu destinasi pelancongan terbaru buat Kanada.
Pekan itu mempunyai sekitar 75 penduduk malah setiap penduduk amat mengenali di antara satu dengan yang lain dan kebanyakan penduduk di pekan itu menghabiskan masa dengan bermain dart kerana permainan ini merupakan satu-satunya bentuk hiburan yang paling terkenal di pekan itu. Apa yang menakjubkan, para penduduk Kanada yang ingin bermastautin di pekan itu boleh membina kediaman mereka di mana sahaja mereka suka sama ada dekat dengan sungai ataupun di atas bukit.
Pemandangan berwarna-warni
Ketika wartawan sudah sampai di kawasan pelabuhan pekan tersebut iaitu sekitar 160 batu nautika dari bandar terdekat St John, kabus tebal menutup pemandangan indah pekan tersebut. Apa yang pasti, pemandangan itu terhasil daripada fungsi alam sekitar kawasan berkenaan yang mengawal kejadian meteorologi. Kebanyakan rumah-rumah dicat dengan warna yang pelbagai dan campur aduk yang mana berfungsi untuk memberikan lagi keindahan dan percikan warna yang menakjubkan terhadap pekan itu yang hanya dikelilingi dengan warna kelabu cerah.
Para wartawan media menggunakan sebuah kapal yang disediakan untuk membawa para penumpang ke pekan berkenaan iaitu sebuah syarikat ekspedisi kembara Kanada dan sewaktu kapal menghampiri pekan berkenaan, jelas, para penduduk sudah tidak sabar dan bersiap sedia menanti ketibaan para wartawan media. Pekan berkenaan sebenarnya mempunyai sebuah kedai yang menyediakan pelbagai keperluan harian para penduduk seperti barangan runcit, makanan dan juga sayur-sayuran segar.
Kedai tersebut akan menambah bekalan mereka sekali dalam seminggu dan setiap kali penghantaran tergantung kepada keadaan cuaca kerana jika keadaan cuaca yang teruk, keadaan laut di kawasan pekan tersebut akan menjadi ganas dan agak bahaya untuk kapal-kapal pengangkutan. Kemudahan yang ada di pekan itu ialah seperti pusat pendidikan di mana hanya 10 orang kanak-kanak menerima pendidikan mereka iaitu kanak-kanak dari kelas tadika sehingga ke gred 12. Kawasan sekolah pula dilengkapi dengan taman permainan dan dikelilingi dengan pagar tinggi dan dilengkapi dengan barang-barang permainan yang sudah berkarat. Sepasang suami isteri yang tidak mahu nama mereka disebutkan telah menemui cinta mereka semasa usia remaja mereka di pekan ini dan sehingga kini masih teguh sebagai sepasang suami isteri yang bahagia dan harmoni.
Pasangan suami isteri itu telah berkahwin selama 42 tahun dan tinggal di kawasan kediaman yang sama. Apa yang pasti, sumber utama pendapatan para penduduk di pekan itu adalah dengan menangkap ikan. Para penduduk akan keluar untuk menangkap ketam, udang dan pelbagai jenis ikan manakala para wanita pula akan tinggal di rumah dan membantu memerhati kesejahteraan keluarga dan juga pekakas-pekakas menangkap ikan supaya teratur dan kemas.
Sebaik sahaja pulang dari menangkap ikan ataupun bekerja, kebanyakan penduduk akan mendaki bukit dan menikmati suasana tenang serta ia terbukti menjadi satu aktiviti yang sangat terkenal dan popular. Namun apa yang pasti, pekan ini dikelilingi dengan kawasan bukit yang tinggi namun para penduduk di kawasan tersebut menyediakan laluan pejalan kaki yang serupa seperti jambatan untuk mengelakkan para penduduk untuk bersusah payah mendaki kawasan lereng bukit itu.
Rona sebuah pekan
Kebanyakan penduduk tempatan berkata kepada media bahawa agak sukar untuk menahan kebanyakan anak-anak muda mereka untuk terus tinggal di Francois dan banyak telah berpindah ke tanah besar Kanada kerana di sana lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik dan peluang untuk mendapatkan pasangan yang lain selain di pekan berkenaan. Namun kebanyakan mereka pulang ke pekan ketika musim percutian dan bertemu dengan keluarga mereka.
Apa yang pasti, insentif besar di pekan itu adalah anda boleh membina kediaman anda di mana sahaja anda mahu tanpa membeli tanah itu. Selain itu, harga hotel penginapan yang sangat murah iaitu kira-kira $6,000 untuk sebuah rumah yang besar. Kebanyakan penduduk di pekan berkenaan memang jarang meninggalkan pekan mereka malah ketika musim percutian, kebanyakan penduduk hanya akan menyeberang teluk dan menikmati percutian mereka di kawasan tersebut tanpa perlu kembara berjauh-jauh batunya.
Di pekan tersebut turut dilengkapi dengan seorang penggunting rambut dan seorang bomba sukarela walaupun kawasan itu tidak pernah mengalami sebarang kebakaran selama 30 tahun.
Walaupun pekan tersebut tidak mempunyai restoran namun para penduduk sering mengadakan parti dan majlis makan malam sesama mereka menjadikan ikatan mereka lebih erat dan mesra.
Walaupun pekan tersebut sangat terpencil namun mereka masih tidak ketinggalan dengan arus kemodenan di mana pekan itu turut dilengkapi dengan perkhidmatan Internet namun perkhidmatan itu tidaklah sehebat sebagaimana di kota-kota besar dan sangat perlahan. Apa yang menarik, pekan ini mempamerkan daya tarikan yang tersendiri di mana penduduknya yang mesra malah keadaan suasana pekan yang tenang dan menakjubkan.
“Pastinya, individu yang hidup di kota cosmopolitan tidak akan merasa senang untuk tinggal di pekan ini namun bagi kami ia, adalah berbeza, kami berasa gembira tinggal di pekan ini walaupun ia terletak terpencil namun kami sebagai satu komuniti merasa gembira dan senang kerana ikatan perhubungan yang erat dan harmoni,” kata salah seorang penduduk di pekan berkenaan mengakhiri temu ramah bersama media. – Agensi