Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Menderma darah sambil beramal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Seramai 58 orang mengambil bahagian dalam kempen menderma darah yang dianjurkan oleh Progresif Sdn Bhd di Ibu Pejabat Progresif kelmarin bersempena dengan Make a Difference Day.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Progresif, di sini, Kempen Gift of Blood, Gift of Life, dikendalikan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Bahagia serta The Impian Project.

    Kempen derma darah berkenaan diadakan sebagai menyahut seruan keperluan negara bagi pendermaan darah untuk menambah bekalan semua jenis darah khususnya bagi mereka yang memerlukan pemindahan darah serta semasa kecemasan.

    Aktiviti berkebajikan itu mendapat sambutan serta sokongan daripada rakan-rakan kongsi Progresif, kakitangan serta orang ramai yang tampil ke hadapan untuk menyokong kegiatan amal berkenaan.

    Sebagai sebahagian daripada Make a Difference Day, Progresif telah menjemput pelatih-pelatih dari Pusat Bahagia untuk menjual kraf tangan, kopi dan pelbagai hidangan kepada para pengunjung.

    Kakitangan Progresif menunggu untuk menderma darah pada kempen yang diadakan di Ibu Pejabat Progresif. – Gambar serahan Progresif

    Kolaborasi itu bertujuan untuk menyebarkan kesedaran, mengetengahkan keupayaan berbeza, ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menghasilkan produk-produk berkualiti.

    Kempen itu juga dihasratkan mendidik orang ramai bagi menyokong pemerkasaan ekonomi orang berkelainan upaya (OKU) dan sumbangan berharga mereka kepada masyarakat.

    Dayangku Dewi Kartika Putri binti Pengiran Shahminan dari Pusat Bahagia berkata bahawa acara itu memberikan peluang kepada pelatih-pelatih mereka untuk berinteraksi dengan orang ramai, memperbaiki lagi kemahiran perkhidmatan pelanggan dan mengetengahkan peranan berlainan yang boleh dimainkan oleh pelatih-pelatih mereka dalam aktiviti ekonomi.

    “Kami berharap orang ramai akan terus menyokong Pusat Bahagia dan inisiatif-inisiatifnya dalam mengukuhkan lagi perkembangan ekosistem OKU,” tambahnya.

    Semasa acara itu, seorang anggota The Impian Project, Awang Muhammad Danish Aliuddin bin Muhammad Noorizan, turut mengetengahkan karya seni untuk dijual kepada orang ramai.

    Pelbagai karya seni dipamerkan semasa acara berkenaan yang merangkumi lukisan landskap, abstrak dan seni pop.

    Hasil daripada karya seni berkenaan akan disalurkan terus kepada artis berkenaan. Turut dipamerkan semasa acara berkenaan adalah flask thermos The Impian Project selain magnet peti sejuk hasil buatan tangan pelajar-pelajar daripada Program Pra-Vokasional Sinar Ceria Sekolah Menengah Lambak Kiri juga dijual pada acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...