Menderma ke tabung COVID-19 guna kad kredit, debit

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Dalam usaha berterusan untuk menyokong kerajaan dalam mengumpul dana bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini, Bank Baiduri telah memperkenalkan cara tambahan untuk pelanggannya menderma kepada Tabung Bantuan COVID-19.

Mulai esok (30 Oktober), pemegang kad boleh menderma kepada dana berkenaan secara dalam talian menggunakan mana-mana kad Visa, Mastercard dan UnionPay tempatan dan luar negara melalui halaman bantuan dan sokongan COVID-19 di laman sesawang bank tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, pilihan tambahan berkenaan memudahkan pelanggannya dan orang ramai, sama ada di Brunei atau luar negara yang mempunyai kad debit atau kredit, untuk menderma kepada tabung tersebut dan menyokong usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Bercakap mengenai inisiatif berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, “Memandangkan wabak juga telah menggalakkan lebih ramai orang untuk membuat urusan perbankan secara digital dan menggunakan kad mereka untuk membayar
pembelian, kami memutuskan untuk memudahkan mereka menderma kepada tabung bantuan menggunakan kad kredit atau debit, sama ada mereka berada di Brunei mahupun di luar negara.”