Mendiang Awang Raweng disemadikan di Makam Pahlawan

KUCHING, 21 SEPT – Perwira negara Datuk Awang Raweng, 104, yang meninggal dunia di Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari sini pada Jumaat lepas, dikebumikan dengan penuh istiadat pengebumian negeri di Makam Pahlawan di Jalan Budaya, di sini hari ini.

Upacara pengebumian yang bermula pada 10 pagi di Dewan Suarah Kuching itu disempurnakan oleh Paderi Canon Roannie W. Cannidy dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Uggah juga menyampaikan eulogi untuk mendiang Awang yang merupakan satu-satunya penerima Pingat George Cross di Malaysia, sebelum kerandanya dibawa ke Makam Pahlawan untuk disemadikan.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Awang yang jasadnya ditempatkan di Dewan Suarah Kuching selepas tiba dari Sri Aman, semalam.

Awang, bekas anggota elit Iban Tracker semasa zaman penjajahan British, meninggal dunia pada  2:15 petang Jumaat lepas, di kediaman anak lelakinya di Sri Aman akibat pneumonia.

Mendiang dianugerahkan pingat George Cross yang dinamakan bersempena nama King George VI, daripada Ratu England pada November 1951 sebagai mengiktiraf keberaniannya melawan kira-kira 50 orang komunis di hutan Kluang, Johor seorang diri sambil melindungi seorang tentera British yang cedera, sekalipun beliau sendiri cedera parah. – Bernama

Gambar mendiang pahlawan negara Datuk Awang Raweng bersama pingat-pingat pada Pengebumian Negeri di Makam Pahlawan (Heroes Memorial) Taman Budaya, Kuching, kelmarin. – Bernama