Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mendidik remaja Kemboja urus kewangan

    PHNOM PENH, Kemboja, 18 Ogos  – Pada 2016, purata 11 belia dilaporkan muflis setiap hari di Malaysia akibat pengurusan kewangan yang lemah.

    Pendedahan ini berdasarkan dapatan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia yang menunjukkan seramai 22,663 rakyat Malaysia bawah umur 35 tahun diisytihar muflis antara 2011 dan September 2015.

    Kalau hendak diikutkan, isu celik kewangan, terutamanya dalam kalangan belia adalah isu serius yang melanda seluruh dunia pada hari ini.

    Semakin banyak negara kini sedar betapa seriusnya isu muflis ini dalam kalangan generasi muda dan usaha sedang dipertingkat untuk mendidik mereka supaya bijak menguruskan kewangan daripada usia muda lagi.

    Kemboja adalah sebuah daripada negara berkenaan dan begitu gigih mengambil berat usaha untuk menyemai sebanyak mungkin ilmu mengenai pengurusan kewangan dalam kalangan belianya.

    Baru-baru ini negara ini memberi sokongan kepada program Celik Kewangan CashVille Kidz oleh Yayasan Maybank. Dengan sokongan ini, Kumpulan Maybank muncul sebagai institusi swasta asing pertama menerima pengiktirafan seumpama itu oleh Kerajaan Kemboja.

    Yayasan Maybank melancarkan program perintis pada Februari 2017, dengan menyasarkan lapan buah sekolah di Phnom Penh. Ini adalah ekoran kejayaan program yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2013.

    Pada 31 Julai lepas, Yayasan Maybank mengumumkan berakhirnya fasa perintisnya di Kemboja dalam satu majlis yang diadakan di Maybank Tower di Phnom Penh.

    Pada majlis itu, Setiausaha Negara Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Im Koch,mengumumkan sokongan kementeriannya untuk program berkenaan serta meluluskan rancangan mengembangkannya kepada sekolah rendah kerajaan di Kemboja.

    Kira-kira 3,000 pelajar dijangka mendapat faedah di bawah fasa baru itu.

    “Program ini memberi sumbangan besar kepada matlamat kerajaan untuk menambah bilangan penyumbang pendapatan golongan pertengahan atas menjelang 2030 di samping menjadikan Kemboja negara maju menjelang 2050.

    “Program CashVille Kidz Programme melengkapkan usaha National Bank of Cambodia untuk meningkatkan tahap celik kewangan terutamanya kepada kanak-kanak yang akan menjadi generasi akan datang. Ilmu pengetahuan ini akan membolehkan mereka merancang kewangan masa hadapan mereka secara bijak dan lebih cekap,” katanya.

    Menurut Koch, program itu bukan sahaja memfokuskan kepada celik kewangan tetapi juga mencetuskan perbincangan antara ibu bapa dan anak mereka.

    Keadaan itu, kata beliau mewujudkan peluang untuk menyebarkan kesedaran dalam kalangan ahli keluarga yang lain.

    Beliau percaya celik kewangan dari usia muda adalah kunci kepada pembangunan ekonomi negara yang lebih baik.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Perbankan Pusat National Bank of Cambodia, Chea Serey.

    Serey dalam ucapannya berkata program CashVille Kidz adalah contoh baik sumbangan sektor swasta untuk memperhebatkan pendidikan kewangan di Kemboja.

    Pendidikan kewangan, katanya adalah amat penting untuk membantu pengguna membuat keputusan yang melibatkan kewangan.

    “Memandangkan tahap rendah celik kewangan di Kemboja adalah penting, kita bekerjasama untuk meninggikan tahap celik kewangan, kesedaran dan kuasa pengguna,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda