‘Meneladani Muamalat Rasulullah SAW’

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menganjurkan ceramah khas bertema ‘Meneladani Muamalat Rasulullah SAW’ sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison, hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Menurut kenyataan itu lagi, ceramah khas itu telah disampaikan oleh Komandan Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI), Leftenan Kolonel Dr Khairul Fauzi bin Azmi, yang berada di sini bagi lawatan kerja.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua (tengah) ketika mendengarkan ceramah khas Maulidur Rasul di Surau Ad-Difa.