Menelusuri perjalanan hidup Sakinah

Oleh Kaka Yuyu

 

SAKINAH atau nama sebenarnya Dayang Nor Emie Sari Syahzawani Amal Sakinah binti Abdullah, lahir pada 8 April 2010 merupakan seorang anak angkat berwarganegara Indonesia, dia telah diangkat oleh ibu saudara saya.

Sakinah sudah diangkat sejak anak damit lagi dan sejak itulah dia ditatang penuh dengan kasih sayang oleh anak perempuan ibu saudara saya yang bernama Lina atau nama sebenarnya Dayang Nor Emie Amalina binti Haji Alias.

Sakinah merupakan seorang anak yang sangat baik, cerdik dan petah bercakap. Sakinah walaupun budak kecil tetapi dia sangat suka makan sayur terutama sekali sayur kangkung tetapi dia hanya ambil batang kangkung sahaja, selain itu Sakinah suka makan sayur pucuk ubi.

Namun demikian, pada usia lima tahun, Sakinah didiagnosis menghidap ketumbuhan dalam perut tahap empat. Kisahnya bermula pada 26 Disember 2015 apabila kakaknya Lina membawa Sakinah ke Klinik Sungai Kelugos memandangkan mereka tinggal di Kampung Kupang, Tutong.

Sakinah semalaman mengadu sakit perut lalu paginya kakaknya pun membawanya ke klinik, di klinik pula mengatakan Sakinah mesti ke Hospital RIPAS untuk mendapatkan pemeriksaan sepenuhnya dan hari itu juga, mereka pun terus ke hospital.

Pada 29 Disember 2015, di hospital Sakinah telah menjalani ujian darah, air kencing, CT scan, ultrasound dan imbasan X. Pada 31 Disember 2015, hasil ujian tersebut menyatakan Sakinah menghidap penyakit Neuroblastoma Cancer (kanser saraf) dalam perut. Sejak hari itulah dia dan kakaknya Lina menjadi penghuni hospital wad 25 Pediatrik. Dalam usia lima tahun, dia sudah menghidap penyakit yang berat, Sakinah tidak faham. Dia terus aktif bermain, berlari ke sana sini dan kakaknya tetap berada di sisi Sakinah memberikan kasih sayang yang tidak terperi.

Semenjak Sakinah jadi penghuni hospital, dia telah di berikan rawatan kemoterapi untuk membantu melambatkan ketumbuhannya membesar tetapi dia tidak pernah mengadu sakit atau menangis. Apabila diberi suntikan, Sakinah akan melihat jarum yang disuntik ke tangannya dan berkata “Sini auntie” sambil menunjukkan tangannya kepada jururawat bertugas.

Hari berganti hari, Sakinah semakin lemah, berat badannya semakin susut dan rambutnya gugur. Kakak dan ibu saudaranya tetap tersenyum walaupun menangis di dalam hati. Kakaknya tetap berada di sisi Sakinah. Pada 9 Januari 2016, Sakinah berpindah ke wad 28 Onkologi. Pembedahan tulang sum-sum dan biopsi telah dijalankan ke atas Sakinah bagi mengambil sampel sel kanser tersebut untuk di hantar ke Hospital Kandang Kerbau, Singapura bagi mengesahkan bahawa ia adalah sejenis kanser.

Pada 25 Januari 2015, berdasarkan keputusan yang diterima dari Hospital Singapura, pihak hospital RIPAS memberitahu bahawa Sakinah menghidap penyakit kanser Rhabdomyosarcoma. Selama tiga bulan Sakinah di Hospital RIPAS, kemudian dia diterbangkan pula ke Singapura pada 20 Mac 2016 untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kerana perkhidmatan radioterapi di Hospital RIPAS untuk kanak-kanak belum ada.

Walaupun Sakinah merupakan orang luar, tetapi pihak kerajaan Brunei tetap menanggung semua perbelanjaan perubatan Sakinah kerana dia merupakan anak angkat kepada ibu saudara saya yang berwarganegara Brunei.

Di Singapura, Sakinah telah dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth dan pada 28 Mac 2016, dia telah menjalani pembedahan. Kakaknya menunggu Sakinah di ruang menunggu selama 15 jam, air mata mengalir di pipi kerana khuatir tidak akan berjumpa lagi selepas ini lalu terlena di bangku kerusi. Setelah menunggu 15 jam, Sakinah dibawa keluar dari bilik pembedahan dan di bawa ke bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi dia belum sedarkan diri. Doktor mengesahkan Sakinah mengalami fasa kritikal kerana mengalami kekurangan darah yang amat banyak. Sebanyak lima beg darah telah diberi kepada Sakinah. Kakaknya tetap berada di sisi menunggu Sakinah sedar. Selang beberapa jam, baharulah dia sedar. Kakaknya gembira apabila melihat Sakinah membuka mata.

Kami telah difahamkan bahawa ketumbuhan yang diangkat dari perut Sakinah hanya 98 peratus kerana selebihnya melekat pada urat saraf besar dan berkemungkinan ketumbuhan itu akan kembali. Kemudian Sakinah di hantar ke Hospital Gleneagles pada 25 April 2016 untuk menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi.

Seperti biasa, kakaknya akan menemani Sakinah di hospital. Walaupun Sakinah lemah, tetapi kakaknya tetap cuba menghiburkan hati Sakinah. Selepas beberapa hari, Sakinah dibenarkan keluar dari hospital dan doktor menyarankan untuk membawa Sakinah berjalan-jalan ke Universal Studio, Singapura. Selain itu juga, dia telah disarankan oleh doktor untuk ke sekolah. Sakinah sangat suka ke sekolah berjumpa dengan rakan-rakan yang senasib dengannya, Sakinah berkata, “Siuk sekolah ka..tapi Kinah inda faham durang cakap apa,” memandangkan mereka semua berbahasa Inggeris.

Selama dua bulan dan dua hari Sakinah di Singapura, dia kata “Kinah mau makan sayur pucuk ubi”. Hampir seluruh Singapura ibu saudara saya mencari sayur pucuk ubi tapi tak ditemui. Akhirnya, ibu saudara saya gantikan dengan sayur kangkung. Pada 22 Mei 2016, mereka pun pulang ke Brunei Darussalam. Selang beberapa hari, Sakinah kembali ke Hospital RIPAS untuk pemeriksaan dan dia tetap menjadi penghuni wad 28. Berat badan Sakinah semakin susut, dia tidak mahu makan, mulutnya sakit kerana ulser disebabkan kemoterapi. Jururawat terpaksa memasukkan hos melalui hidung Sakinah bagi memasukkan air susu memandangkan dia tidak mahu makan. Kekadang apabila doktor datang memeriksanya, Sakinah akan berkata “Doktor, Kinah mau balik rumah.”

Bulan berganti bulan, bulan Ramadan pun tiba. Sakinah kadang-kadang ada juga balik ke rumah jika dibenarkan oleh doktor namun beberapa hari kemudian, dia akan masuk semula ke wad Hospital RIPAS sudah seperti rumah Sakinah. Semua jururawat di wad itu mengenali dirinya kerana Sakinah seorang yang cerdik dan petah bercakap. Ada juga yang datang melawat Sakinah di hospital, ada yang membawa makanan dan hadiah. Ada juga yang memberinya duit dan duit itu digunakan untuk membeli makanan untuk dirinya. Apa sahaja yang Sakinah mahu makan, kakaknya akan terus mencari dan membeli kerana agak jarang Sakinah mahu makan. Kadang-kadang Sakinah akan kata, “Kaka..Kinah mau makan nasi sama sambal pusu” kakaknya akan terus membelikannya.

Di hospital, Sakinah akan diberikan apa sahaja yang dihajatinya. Sakinah dikenali sebagai Princess Sakinah di hospital kerana dia sangat suka dengan Elsa di dalam cerita kartun Frozen sehinggakan Sakinah menyatakan mahu mempunyai rambut putih dan panjang seperti Elsa tetapi dia tidak mempunyai rambut kerana kemoterapi telah menyebabkan semua rambutnya gugur. Lalu dia diberikan rambut palsu serupa Elsa oleh pihak hospital. Sakinah juga diberikan baju seperti Elsa dan dia akan menyanyi “Let it go…let it go”. Sakinah akan memakai baju Elsa dan rambut palsunya agar dia sentiasa kelihatan cantik seperti kanak-kanak lain.

Bulan Syawal akan tiba, orang lain seronok apabila Hari Raya tiba. Sakinah tetap di hospital dengan kakaknya tetapi apabila doktor masuk untuk memeriksanya, Sakinah akan kata “Doktor..Kinah mau balik”. Lalu dia pun dibenarkan keluar dari hospital tetapi dengan syarat hanya beberapa hari sahaja. Hanya empat hari sahaja Sakinah sempat beraya, kemudian dia terus dimasukkan ke hospital semula dan menjalani rutin harian rawatan seperti biasa. Apabila dia tahu bahawa dia akan dibawa ke hospital, dia akan menangis sepanjang perjalanan ke hospital sambil berkata “Kinah inda mau ke hotel balik..Kinah mau balik rumah, lapas ani Kinah janji mau makan banyak”. Itulah yang sering dikatakan oleh Sakinah apabila dia hendak di masukkan semula ke wad. Hotel yang dinyatakan bermaksud bilik wad hospital.

Sakinah tetap menjalani kemoterapi bagi mengelakkan dari ketumbuhan datang kembali dan setiap kali habis kemoterapi, Sakinah akan menjadi lemah dan demam. Pada 7 September 2016, Sakinah di benarkan keluar dari hospital. Sebenarnya, ketumbuhan dalam perut Sakinah semakin membesar dan dia tidak dapat menjalani pembedahan lagi kerana dirinya yang masih kecil dan dia telah dijangka akan hidup hanya enam bulan sahaja lagi.

Bagaikan gempa mengegarkan bumi, hati ini terasa berdegup kencang. Kakaknya berasa sangat sedih tetapi dia tetap tersenyum walaupun menangis di dalam hati. Sakinah tidak faham. Bayangkan orang yang kita sangat sayang akan pergi meninggalkan kita selamanya. Hari-hari Sakinah di penuhi dengan aktiviti untuk mengembirakan hatinya. Dia akan dibawa menonton wayang, makan dan beli mainan. Terima kasih Auntie Tsara’ nawwarah dan DJ Ashraff Ranil sebab meluangkan masa untuk membawa Sakinah dan kakaknya jalan jalan. Setiap hari, Sakinah akan diberikan makanan yang dia inginkan seperti nasi dengan sambal, sayur kangkung, telur dan kulit ayam goreng. Sakinah tetap ketawa dan bermain seperti tidak ada apa yang berlaku.

Tidak sampai sebulan Sakinah keluar dari hospital, dia dimasukkan kembali ke hospital pada 26 September 2016. Tetapi kali ini, keadaannya bertambah teruk. Dia akan muntah darah dan demam panas. Sakinah tetap menjalani kemoterapi tetapi selepas itu, dia akan demam seperti selalu. Hari demi hari, Sakinah tetap menjalani harinya seperti biasa. Pagi pemeriksaan, diberikan ubat. Disuntik jarum tetapi dia tetap kuat, dia tidak akan mengadu sakit atau menangis. Kakaknya selalu pesan “Sakinah strong aa…”. Beberapa bulan Sakinah di hospital, ibu saudara saya memberitahu doktor agar menghentikan kemoterapi kerana ia tidak membantu Sakinah.

Sakinah semakin hari semakin lemah. Punggung dan kakinya membengkak kerana ketumbuhan semakin membesar dan merebak ke bahagian organ yang lain. Kakaknya tetap berada di sisi Sakinah, tetap membisikkan agar dia tetap kuat. Hari berganti hari, Sakinah semakin lemah, dia hanya akan berbaring. Kakaknya sudah tidak dapat menahan hati, air mata akhirnya jatuh. Sakinah seakan mengerti, dia akan turut menangis. Dia tidak mahu dekat dengan orang lain selain kakaknya. Setiap hari, Sakinah akan berbaring di dalam pelukan kakaknya. “Sakinah bila mau main sama Kaka Yuyu lagi?”, tanya ku. “Karang…”, jawab Sakinah dan kemudian menutup matanya. Itulah ayat terakhir yang aku dengar dari mulut Sakinah, hari itu ialah hari Khamis aku melawat Sakinah di hospital.

Pada 7 November 2016, hari Isnin pukul 2 pagi, terakhir Sakinah bersuara. Dia sudah tidak bergerak lagi. Tubuhnya kaku, matanya tidak berfungsi tetapi masih tercungap-cungap bernafas. Banyak wayar berselirat di badannya. Mesin berbunyi “Tut…Tut…Tut…” di sebelahnya menandakan Sakinah masih bernyawa tetapi jantungnya lemah dan kadar oksigennya juga kurang, Sakinah memerlukan alat bantu pernafasan. Aku sempat berpesan kepada kakaknya untuk membisikkan kepada Sakinah agar dia pergi dahulu kerana dia seakan-akan tidak mahu meninggalkan kakaknya. Tepat pukul 10.25 malam, hari Selasa, Sakinah membuka mata memandang ke atas dan menarik nafas sedalam-dalamnya, kakaknya yang ketika itu berseorangan cepat-cepat mengucapkan dua kalimah syahadah ke telinga Sakinah. Sakinah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan akhirnya dia kembali ke rahmatullah.

Malam itu juga, Almarhum Sakinah dibawa ke Masjid Kampung Kilanas. Semua ahli keluarga menangis terutama kakaknya. Malam itu, mereka sekeluarga bermalam di masjid. Kakaknya seperti biasa, tidur di sebelah Almarhum Sakinah dan memeluknya walaupun sudah kaku tidak bernyawa lagi. Pagi itu, Almarhum Sakinah dimandikan dan dikebumikan. Selesai dikebumikan, langit mula menangis seperti menangisi pemergian Almarhum Sakinah. Benarlah seperti firman Allah dalam Al- Quran, Surah At- Taghabun ayat 11:

“Tidak ada kesusahan yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan tiap- tiap sesuatu”

Sakinah anak syurga. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutama sekali menjunjung kasih di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Wad’daulah kerana membiayai kos perubatan Almarhum Sakinah. Terima kasih kepada Doktor Janice (Brunei), Doktor Hajah Norehan (Brunei), Doktor Gelian (Brunei), Doktor Chui (Singapura), Doktor Lele Aung (Singapura) and Doktor Lee Kuo Aan (Singapura), Auntie Tsara’ nawwarah (Brunei), Auntie Mizah (Brunei) dan DJ Ashraff Ranil (DJ Pelangi FM, Brunei).

“Kalau Sakinah kan jalan, jalan tah…di sana lagi bisai daripada di sini. Kalau Sakinah kan bangun, semoga sihat macam biasa…kalau kan jalan, jalan tah dengan tenang. Nanti kita jumpa lagi di sana”, bisik kakaknya kepada Sakinah.