Oleh Helen Thu
GUANGZHOU atau dahulunya dikenali sebagai Canton merupakan ibu kota provinsi Guangdong.
Ia adalah bandar raya ketiga terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai. Bulan Disember adalah musim sejuk di Guangzhou tetapi cuacanya agak sederhana berbanding di provinsi lain.
Setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun hampir tengah malam dan kereta sewa yang kami tempah lebih awal sudah menunggu untuk membawa ke tempat penginapan kami. Hotel yang saya pilih berdepan dengan Guangzhou Yuaisheng Mosque yang berusia lebih 1,500 tahun dan merupakan salah sebuah masjid tertua dalam sejarah China. Berdekatan hotel ini juga ada dua buah restoran yang menyediakan makanan halal.
Untuk yang melancong memang banyak tempat untuk dilawati seperti muzium, taman hiburan dan taman bunga. Bangunan muzium banyak dibina seperti Cantonese Opera Art Museum yang memikat pengunjung dengan memperlihatkan opera Kantonis melalui gajet berteknologi tinggi.
Untuk mengetahui sejarah bandar raya Guangzhou, kita kenalah melawat ke Guangzhou Museum yang ditubuhkan pada tahun 1929. Seribu gambar, data dan beraneka bahan pameran mengenai sejarah bandar raya ini dipamerkan. Dekat dengan bangunan muzium ini ialah stadium Guangzhou R&F FC yang beraksi dalam liga bola sepak super China.
Bandar raya Guangzhou juga dikenali dengan gelaran City of the 5 Rams. Menurut legenda, kumpulan lima ekor kambing ditunggangi lima orang wira kaum Taois yang memperkenalkan budaya menanam padi lebih 2,000 tahun lalu yang akhirnya membawa rezeki kepada penduduk Guangzhou. Kita akan dapat melihat patung lima ekor kambing yang menjadi legenda sejarah Guangzhou itu di kebanyakan kawasan.
Salah satu yang menarik di taman-taman bunga sentiasa akan ada kumpulan warga emas yang bersenam dan ada yang berlatih menari sesama mereka.
Ramai yang datang ke Guangzhou untuk membeli-belah secara borong terutama para peniaga dari India, Timur Tengah, Afrika dan negara-negara lain. Memandangkan kawasan penjualan borong ini begitu luas maka untuk menjimatkan masa, kita sebaiknya sudah ada senarai barangan hendak dibeli. Bagi yang suka membeli-belah di Mall, Guangzhou tidak menghampakan sebab terdapat banyak pusat membeli belah di sini.
Satu kawasan beli-belah yang popular dengan pelancong serta penduduk setempat ialah Bejing Road. Kedai-kedai di kawasan ini dibuka 24 jam. Lebih menarik pada sebelah malam sebab terdapat deretan gerai yang menjual ‘street food’. Bermacam jenis makanan ada dijual. Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual buah-buahan segar yang telah sedia dipotong dan dijual mengikut berat timbangan. Dengan cuaca yang sederhana sejuk, seronok berjalan-jalan sambil memakan buah-buahan tersebut.
Tandas awam juga disediakan di beberapa tempat untuk kemudahan pengunjung Beijing Road. Di kawasan ini juga terdapatnya restoran Lombok, Indonesia yang bersebelahan dengan sebuah restoran Thai.
Keselamatan yang terjamin
Canton Tower, setinggi 604 meter mempunyai 37 tingkat juga adalah satu satunya bangunan tarikan pelancong. Dengan lampu teknologi LED, keseluruhan bangunan itu sentiasa bertukar warna pada waktu malam. Ketika mengikuti kapal persiaran waktu malam, ramai penumpang yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar bangunan ikonik itu dari pelbagai sudut.
Pengangkutan awam mudah di Guangzhou. Teksi sentiasa ada tetapi kadang-kala ada juga pemandu yang kurang mengetahui destinasi dituju. Ini disebabkan sebahagian mereka datang dari provinsi lain dan kurang mahir nama-nama tempat di Guangzhou. Paling cepat, mudah dan murah adalah dengan menaiki kereta api Metro. Selain tulisan Cina, juga terdapat tulisan dalam bahasa Inggeris bagi arahan dan nama-nama stesen.
Kita rasa keselamatan terjamin bila berjalan-jalan di Guangzhou sebab adanya anggota polis yang sentiasa meronda di sekitar bandar raya tanpa mengira waktu. Begitu juga bila menaiki kereta api Metro, di setiap pintu masuk stesen pemeriksaan keselamatan dijalankan, seperti yang biasa dilakukan di lapangan terbang.
Salah satu taman hiburan yang kami kunjungi ialah Chimelong Paradise, taman hiburan terbesar di China yang dibuka pada 12 April 2006. Ia mempunyai 10 Inversion Roller Coaster dan Dive Coaster yang terdapat dua sahaja di taman hiburan di dunia dan kedua-duanya ada di Chimelong Paradise. Yang gemar permainan ekstrem bolehlah mencubanya. Giant Frisbee yang terbesar di dunia juga sangat popular. Untuk menjimatkan masa kami telah membeli tiket masuk secara online. Berkunjung ke taman ini seeloknya pada hari bekerja kerana pada hujung minggu, ia terlalu padat dengan kunjungan orang ramai.
Di bandar raya Guangzhou kelihatan banyak tempat penaruhan basikal dengan basikal yang beraneka warna untuk disewa. Kerajaan setempat menggalakkan penduduk untuk menggunakan basikal dengan cara mengenakan sewaan yang sangat murah. Selain bayaran deposit, sewaan basikal hanyalah dua yuan bagi sebulan. Jadi tidak hairan kita akan melihat ramai yang mengayuh basikal di bandar raya ini.
Melancong ke Guangzhou memang seronok kerana selain membeli-belah, banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Awda juga boleh memilih pakej lawatan di sekitar bandar raya Guangzhou yang banyak ditawarkan oleh agensi pelancongan.