APA yang pasti, bukan mudah untuk sampai ke bandar bekas perlombongan Real de Catorce itu akan tetapi jika anda seorang peminat atau penggemar untuk meneroka bandar-bandar berhantu, destinasi ini merupakan salah satu senarai yang patut anda kunjungi.
Lokasi ini terletak di kawasan perkampungan Mexico yang terpencil dan terletak 2,743 meter di kawasan Sierra de Catorce di wilayah San Luis Potosi dan berpotensi untuk menarik pelancong yang berminat untuk mengalami satu pengalaman yang menakutkan seperti berada di dunia yang lain atau mengembara ke masa lampau.
Untuk mengunjungi lokasi tersebut, para pelancong akan melalui sebuah jalan yang berbatu dan menelusuri sebuah terowong sepanjang 1.5 batu yang menyeramkan dan menakutkan.
Seorang pelajar dari Austria, Georg Kirchtag telah berkongsi bersama Dailymail mengenai pengalamannya baru-baru ini yang berkunjung ke lokasi tersebut.
Pelajar yang berusia 23 tahun dan menuntut di Universiti Pentadbiran Innsbruck itu berkata bahawa ia adalah satu pengalaman yang sangat luar biasa kerana anda perlu melalui terowong dan ia seperti satu pintu untuk menuju ke dunia yang lain. Anda akan dapat merasa satu perasaan seperti kembali ke masa lampau.



“Anda akan terasa sangat terpencil di situ, kita terpaksa melalui jalan-jalan yang berliku dan mencabar. Tidak ada kedai 7-Eleven kerana keadaan jalan raya yang tidak begitu baik bagi sebuah trak besar untuk sampai ke bandar itu membawa produk-produk perniagaan. Hanya terdapat sebuah kedai kecil yang menjual produk-produk mereka sendiri. Namun apa yang pasti, anda akan dapat merasakan satu suasana persekitaran yang kaya dengan khazanah sejarah dan setiap sudut kawasan, mempunyai ceritanya yang tersendiri,” kata Georg kepada media.
“Ketika berada di sini, anda akan berpeluang mengelilingi bandar tersebut dan melihat banyak kesan runtuhan bangunan malah ada juga sesetengah bangunan masih lagi utuh akan tetapi dibiarkan kosong dan tidak ada sesiapa yang tinggal di situ lagi.
Selain itu, terdapat juga sebuah gereja kecil yang semakin terhakis sekali gus memperlihatkan bahawa tidak ramai yang tinggal di kawasan itu menyebabkannya menjadi sebuah bandar yang berhantu dan seram,” tambah Georg lagi kepada media.
Menggunakan kuda
Disebabkan tidak ada pengangkutan yang khusus di sekitar perkampungan terbengkalai itu, Georg dan rakan-rakannya meminta bantuan kepada pemandu pelancong dan memulakan penerokaan bandar berhantu itu dengan menggunakan kuda.
“Kami sebenarnya ingin menggunakan kereta untuk pergi ke sana akan tetapi disebabkan oleh keadaan jalan raya yang curam, licin dan teruk menyebabkan kami perlu menunggang kuda,” kata Georg lagi.



“Jika anda tidak mempunyai sebarang SUV atau sesuatu kemudahan, berdoalah semoga anda selamat sampai ke hotel atau Airbnd anda. Apa yang terbaik untuk anda lakukan ialah meninggalkan kereta anda di tempat letak kereta berhampiran dengan jalan keluar dari terowong dan kemudian dari situ, meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki,” tambah Georg lagi.
Semasa pengembaraan itu, lokasi pertama yang Georg kunjungi ialah Pueblo Fantasma, yang diterjemahkan sebagai kota hantu dalam bahasa Sepanyol, dan terletak di sekitar sebuah lombong di kawasan tenggara Real de Cortce.
Khazanah sejarah
“Perjalanan memakan masa selama setengah jam dengan menunggang kuda dan ia merupakan satu laluan yang sangat curam dan agak sedikit menakutkan kerana kadang-kadang kuda tergelincir walaupun ia sudah terbiasa dengan jalan-jalan tersebut, Malah apa yang lagi menyeramkan ialah kawasan itu sangat sunyi dan sepi,” kata Georg.
“Untuk pergi ke kawasan ini, anda mempunyai dua pilihan iaitu pergi dengan diri sendiri atau anda boleh mendapatkan panduan dari pusat pelancongan dan mereka akan membawa anda ke kawasan itu dengan menggunakan kuda-kuda mereka,” tambah Georg lagi kepada media.
Pada keesokan harinya, Georg dan rakan-rakan meneruskan perjalanan ke kawasan Cerro del Quemado, sebuah kawasan lapang yang dipercayai oleh penduduk tempatan sebagai kawasan yang suci dan dianggap sebagai tempat kelahiran Huichols (matahari).
Lokasi ini pernah menjadi sebuah pemujaan dan persembahan para penduduk kepada matahari.
Walau bagaimanapun, pengalaman meneroka bandar hantu itu tidak berakhir begitu sahaja, kerana lima minit dari kawasan pemujaan itu, Georg telah menemui seorang dukun Huichol di sebuah gereja kecil yang menawarkan upacara pembersihan rohani kepada mereka.
“Anda berada di dalam gereja dan memandang ke hadapan manakala dukun itu berdiri di sebelah anda. Dia memiliki tongkat berbulu dan melaungkan beberapa perkataan yang sukar untuk difahami. Dukun itu kemudian menyentuh meja di hadapan kami dan menyentuh sebahagian badan kami, pelik namun itulah realitinya,” kata Georg lagi.
“Pada mulanya ia seperti melakukan proses pembersihan dan kemudian, dia meminta kami untuk membuat beberapa permintaan serta menumpukan perhatian kepada apa yang kami inginkan atau perlukan. Tongkat berbulu itu telah menyentuh badan kami kemudian dukun tersebut memindahkan tongkat itu dengan membawa segala tenaga-tenaga yang tidak diingini,” kata Georg lagi.
“Saya tidak tahu akan budaya dan tradisi negara ini namun apa yang pasti, negara ini merupakan sebuah negara yang begitu cantik sekali malah para penduduk juga ramah dan sentiasa bantu-membantu, satu pengalaman yang menakjubkan,” tambah Georg lagi. – Agensi