Tuesday, October 15, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meneroka kepelbagaian makanan kegemaran pada musim perayaan

    Oleh Lenna N.B

     

    LAZIMNYA, apabila sebut tentang ‘Gerai Perayaan’, kita tahu acara tersebut hanya diadakan setahun sekali iaitu pada bulan Julai, meraikan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

    Namun pada tahun ini, agak istimewa kerana Gerai Perayaan diadakan untuk kali kedua, sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    Seperti lazimnya, Gerai Perayaan berlangsung di kawasan letak kereta Jalan Bendahara, berhadapan dengan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, yang bermula sejak 3 Oktober minggu lepas. Jualan-jualan di gerai perayaan tersebut adalah merangkumi makanan dan minuman, salai-salaian, jualan barangan runcit, buah-buahan dan sebagainya.

    Apabila berbicara tentang perayaan, pasti sebahagian besar tujuan kita ke sana untuk mencari makanan. Justeru, semalam penulis Minda Media Permata, melangkah menerokai Gerai Perayaan di ibu negara dan berikut adalah antara hidangan pilihan yang cukup menarik di gerai tersebut.

    Aroma kambing panggang yang menyelerakan

    Daging kambing adalah antara hidangan makanan yang paling disukai tidak kira masa dan di mana namun tidak semua mampu memasaknya dengan sempurna dan lazat, kerana daging kambing memerlukan perapan sos dan rempah yang cukup istimewa.

    Cendol Durian Gimbol yang bertapak di gerai 35.
    Salah seorang peniaga di perayaan memberikan senyuman menyerahkan juadah Ice Cream Sandwich yang turut mendapat sambutan ramai di perayaan.
    Aroma kambing panggang yang melazatkan hanya bernilai $5 di perayaan.
    Sotong tutuk digelar juga ‘sotong perayaan’ hanya dapat dinikmati sepanjang perayaan setiap tahun.

    Antara kambing panggang yang tidak lagi diragui keenakannya adalah dari gerai bernombor 7, hanya bernilai $5 termasuk ubi kentang yang melengkapi keperluan karbohidrat tubuh badan kita.

    Lazatnya, kambing ini disalut dengan sos dan rempah yang menyempurnakan kemanisan lemak kambing. Sementara itu, bagi mereka yang tidak suka makan ubi kentang yang kosong, mereka boleh menaiktarafkannya dengan hanya tambahan $1 sama ada dengan sos keju atau sos daging. Antara hidangan lain yang turut dijual di gerai yang sama adalah daging sosej yang disalut dengan keju, kentang Nachos yang dihidangkan bersama sos daging dan sebagainya.

    Raja sotong empat rempah

    Rangup, sedap dan lembut, itulah yang penulis dapat gambarkan apabila menikmati sotong besar dari gerai bernombor 18. Dari jauh sudah kelihatan tapak gerai mereka yang bercetak ‘Sotong King’.

    Bahasa Melayunya, dipanggil ‘Raja Sotong’ mungkin kerana bentuknya yang cukup besar berbanding dengan sotong-sotong biasa kita lihat sebelum ini. Menariknya ‘raja sotong’ ini disalut dengan tepung, dan digoreng dengan suhu yang panas. Bunyi percikan minyak jelas kedengaran menunjukkan sotong tersebut dimasak segar.

    Empat pilihan rempah diberikan mengikut cita rasa masing-masing sama ada suka sesuatu yang masin, pedas atau pedas-manis. Bernilai dari $7 ke $8 setentunya kelazatan raja sotong ini tidak merugikan.

    Cendol durian menjadi rebutan

    Dari jauh sudah kelihatan ramai berbaris di gerai 35. Kunjungan orang ramai tidak putus-putus setentunya menarik perhatian penulis mengunjungi gerai tersebut, dikenali dengan nama ‘Cendol Durian Gimbol’ iaitu milik Dayang Norizah Haji Gimbol. Istimewanya cendol ini menggunakan buah durian asli yang disalut dengan krim resipi khas ciptaan beliau.

    Para pelanggan sedang menanti di gerai Warung Umi untuk membeli sotong tutuk yang masih panas.
    Buah-buahan segar turut mudah didapati di perayaan.
    Sotong King boleh didapati di gerai bernombor 18.
    Antara aktiviti memasak secara langsung yang dapat dilihat sekitar gerai perayaan di ibu negara.

    Antara kandungan keseluruhan cendol durian ini adalah jagung, gula Melaka, buah durian, krim dan agar-agar cendol itu sendiri. Sempena perayaan Jubli Emas ini juga, cendol ‘mangga queen’ baru diperkenalkan yang menggunakan buah asli mangga, sebagai bahan utama. Dari berharga $5 hingga $6 secawan, pastikan tidak terlepas peluang menikmati cendol rebutan ramai ini, terutamanya bagi para penggemar durian dan mangga.

    Churros satu ringgit

    Ketika beriadah atau bersiar sekitar perayaan, pastinya kita memerlukan snek ringan sekadar untuk suka-suka atau mungkin untuk mengalas perut. Churros adalah antara pilihan snek yang pasti menjadi pilihan utama. Terletak di gerai nombor 47, ‘Santai Churros’ setentunya memberikan pengalaman menikmati snek ringan yang santai di perayaan.

    Sotong tutuk kegemaran sepanjang masa

    Sotong kering yang dibakar di atas bara api dalam beberapa minit dan kemudiannya di tutuk dengan pukulan yang sederhana. Terkenal musimnya setiap kali perayaan tiba, sotong tutuk sehingga hari ini, tetap menjadi kesukaan yang tidak lupuk ditelan zaman.

    Di perayaan sempena Jubli Emas ini, penulis menemukan 3 hingga 4 peniaga melakukan bentuk perniagaan yang sama iaitu ‘sotong tutuk’. Perbezaannya terletak kepada tekstur sotong yang di tutuk dan juga semestinya sos yang dibuat khas. Ada yang gemar kepada sos manis tetapi ada juga suka sos yang sedikit pedas.

    Pasti setiap daripada peniaga-peniaga ini mempunyai keunikan masing-masing, dan dengan hanya bernilai $1 kita dapat menikmati sotong tutuk hanya di perayaan, sehingga ia digelar juga sebagai ‘sotong perayaan’.

    Salah satu lokasi sotong tutuk yang agak ramai sambutannya adalah di gerai Warung Umi yang bertapak di nombor 3. Selain sotong tutuk, Warung Umi juga terdapat lebih 10 pilihan perisa aiskrim yang dibuat sendiri dari harga 50 sen hingga $1.00.

    Cendol durian dan cendol mangga yang menjadi rebutan.
    Aiskrim kepit roti daripada ‘Gentlement Bros & Co. Ice Cream Sandwich Catering Services’ hanya bernilai $2.00 satu.
    Raja Sotong, satu-satunya sotong yang terbesar sekitar gerai perayaan.
    Churros satu ringgit di gerai 47, snek ringan santai di perayaan.

    Aiskrim kepit roti

    Dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai ‘Icecream Sandwich’ iaitu aiskrim yang dikepit dalam roti empat segi. Terletak di tapak gerai nombor 7, hanya berharga $2, para pengunjung boleh memilih antara perisa-perisa aiskrim yang ditawarkan antaranya adalah Coklat, Strawberi, yam atau keladi, dan halo-halo. Di samping itu topping diberikan secara percuma seperti taburan coklat, roti oreo ataupun sirap perasa.

    Di suasana yang panas, kadang kali kita memerlukan ais krim untuk menyejukkan tubuh badan di samping sebagai pemanis mulut setelah kenyang menikmati hidangan malam.

    Di samping ais krim kepit roti ini, terdapat juga beberapa tapak gerai yang lainnya turut menjual juadah ais krim, tidak kurang sedapnya, masing-masing dengan keunikan mereka.

    Puluhan pilihan juadah

    Banyak lagi variasi jenis juadah yang boleh dinikmati di perayaan. Bagi mereka yang ingin duduk seperti makan di restoran, terdapat kira-kira 5 buah gerai adalah berkonsep ala restoran, antaranya adalah Restoran Milka dan Katering, Steamboat dan Grill Cheese Leleh, Marzu Enterprise, I-Crave Kopitiam, dan Pondok Bonda.

    Bagi mereka yang beli makanan di gerai-gerai yang tidak ada tempat duduk dan sebagainya, bolehlah duduk santai di tepi jalan sambil melihat lampu-lampu cucul yang warna-warni sekitar ibu negara.

    Turut menarik di perayaan adalah gerai buah-buahan, aktiviti memasak secara langsung, dan banyak lagi, setentunya memberikan pemandangan yang sungguh meriah sekitar perayaan. Menurut para peniaga, perayaan berlangsung setiap malam hingga 31 Oktober ini.

    Jangan lepaskan peluang memberi sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan kita sambil menikmati aneka jenis juadah yang melazatkan. Salam Jubli Emas daripada kami, Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda