Meneroka keunikan Myeongdong Street

Oleh Rafidah Jumat

ANNYEONGHASEYO! Penulis pada 20 Oktober lalu dengan gembiranya memangkah Seoul dalam senarai ‘bucket list’ apabila pertama kalinya menjejakkan kaki ke negara yang dikenali dunia dengan budaya k-pop walaupun kedatangan penulis adalah untuk bertugas.

Seoul merupakan ibu negara Korea Selatan yang sarat dengan arus pemodenan di mana negara ini tidak pernah sepi daripada kunjungan pelancong dan tahun lalu sahaja, kemasukan pelancong dunia dicatatkan berjumlah 15.35 juta dan 2.46 juta darinya adalah negara ASEAN.

Negara kimchi dan ginseng ini menawarkan banyak tempat menarik seperti Deoksugung Palace, Namsam Tower, Hanuel Park, Gwangjang Market, Gangnam Street, Gyeongbokgung Palace, Bukchon Hanok Village, Namdaemun Market dan banyak lagi, namun itinerari yang disediakan sepanjang tujuh hari penulis berada di negara ini sangat padat sehingga penulis tidak mempunyai masa untuk mengunjungi tempat-tempat berkenaan.

Penulis bagaimanapun berkesempatan mengunjungi Myeongdong yang dikenali sebagai ‘syurga’ bagi produk kecantikan dan penjagaan kulit.

Kelihatan bangunan kedai seperti H&M, Zara dan Uniqlo bertapak di kawasan ini selain deretan kedai kosmetik dan penjagaan kulit seperti Nature Republic, Innisfree, Etude House, Face Shop, Missha dan Skinfood yang bersaing menawarkan promosi bagi mask, pencuci muka, serum, krim dan sebagainya.

Myeongdong Street yang menjadi tarikan pelancongan dunia.
Salah sebuah daripada kedai-kedai produk kecantikan dan penjagaan kulit yang terdapat di jalan tersebut.
Salah sebuah gerai menjual stokin.
Gerai-gerai makanan mula memeriahkan jalan tersebut apabila senja berlabuh.

Penulis dimaklumkan bahawa pemilik-pemilik kedai di Myeongdong ini sanggup membayar mahal untuk tapak mereka kerana Myeongdong tersenarai sebagai jalan membeli-belah termahal di dunia sesuai dengan lokasinya yang terletak di kawasan tumpuan pelancong.

Bermula lewat petang sehingga 11 malam, Myeongdong Street Market akan menempatkan gerai beli-belah jalanan yang menawarkan pelbagai barangan dari pakaian, aksesori, beg dan cenderamata yang boleh didapati dengan harga murah.

Peluang tawar-menawar untuk harga barangan juga boleh dibuat tetapi disyorkan membeli dalam kuantiti banyak jika mahu harga lebih murah.

Bukan setakat gerai beli-belah jalanan, peniaga menjual makanan jalanan juga akan memenuhi kawasan Myeongdong Street yang menawarkan pelbagai jenis snek dan makanan harian masyarakat Korea.

Ketika berdiri di depan gerai menjual jus buah-buahan, penulis terpandang logo ‘Halal’ yang tertera di gerai yang menjual makanan Korea dan serta-merta bermain di fikiran sama ada ianya betul-betul halal atau peniaga hanya memalsukan logo semata-mata ingin menarik pelancong beragama Islam untuk membeli makanan mereka.

Dalam hal ini, penulis berpendapat ianya terpulang pada individu itu sendiri sama ada yakin atau tidak untuk memakannya.

Penulis meneruskan perjalanan menerokai lagi kawasan Myeongdong dan terjumpa gerai-gerai ‘under-ground’ yang menawarkan barangan

sama seperti di Myeongdong Street tetapi dijual pada harga yang lebih murah.

Masa dua jam yang diberikan memang tidak cukup untuk melihat dan menerokai keseluruhan kawasan Myeongdong tetapi apa yang boleh penulis katakan ialah tempat ini berbaloi untuk membeli-belah.