Meneroka pengalaman menakjubkan dalam menghayati seni visual

Oleh Lenna N.B.

 

KEGEMBIRAAN, kesedihan, kejerihan, terluka dan kesukaran, itulah perasaan penulis ketika duduk di dalam sebuah ruang cermin, apabila gerakan visual abstrak warna-warni memperlihatkan bunga-bunga mekar seakan hilang di bawa arus air.

Alunan bunyi yang menggetarkan jiwa, seakan berbicara membawa kita mengimbas kembali detik payah hidup yang menjadi misteri tidak terjawab. Menoleh kepada setiap cermin seakan hanya menunjukkan dan mempamerkan diri kita sendiri, mempersoalkan adakah perjalanan ini laluan yang kita mahukan.

“Perasaan itu yang saya ingin tinggalkan kepada penghayatnya, kerana setiap kita mempunyai cerita perjalanan hidup. Berada di dalam ruang itu, memberi peluang untuk kita bersendiri dan menghayati seni visual dan suara sekali gus, di mana ia menusuk ke arah sudut jiwa kita dalam mencerminkan diri kita sendiri, sama ada untuk dikongsikan, atau dirahsiakan atau sekadar kenangan yang ingin kita simpan,” ucap Sandy Tan, 31, Pengasas dan Pemilik sebalik Studio Sound & Canvas, yang terletak di Kampung Kiulap.

Ruang untuk seni dan muzik

Sandy Tan, seorang penggiat seni, penulis dan juga komposer tanah air, berkeinginan untuk memberigakan seni eksperimental, iaitu suatu bentuk seni moden yang menggabungkan pelbagai seni kreatif menjadi sebuah karya, membawa kelainan daripada seni yang sebelum ini, lebih banyak bersifat konvensional.

Di sebuah ruang cermin, visual sebalik bunga-bunga dan tumbuh-tumbuhan dimainkan sepanjang pameran.
Pameran audio visual melalui reflesi cermin. – Gambar disumbangkan oleh OtherHalf Studio
Para pengunjung pameran menulis sesuatu di atas daun-daun kertas.

“Saya seorang pencinta seni. Saya suka melihat lukisan, teater, filem, fotografi, fesyen, seni persembahan, malah seni muzik dan bermacam bentuk seni, apabila minat seni itu makin banyak merangkumi variasi genre, saya memilih untuk menggabungkannya, sebagai mesej bahawa seni itu dapat dihayati melalui cara yang berbagai-bagai. Bukan seperti kelazimannya, kita sekadar duduk melihat konsert, atau sebagainya tetapi Seni lebih daripada itu, membawa pengertian yang lebih meluas,” tambahnya.

Pencinta seni ini, sudah mula menyedari minatnya lebih kepada kesenian, seawal usia 10 tahun, apabila beliau mula bermain piano. Beliau juga telah meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Australian Institute of Music Sydney, di bidang Muzik (Composition & Production). Pengalaman beliau mendedahkannya dengan lebih ramai para penggiat seni, yang menjadi inspirasi perjuangannya hingga ke hari ini.

“Saya tertarik bagaimana seorang pengkarya menghasilkan sesuatu yang asli daripada dirinya, sama ada seorang penulis yang mengarang sebuah cerita, atau pelukis yang melakar imej-imej tertentu di atas kanvasnya, atau seorang pemuisi yang menulis kata-kata indah. Mereka ini menjadi inspirasi saya, umpamanya, pelukis atau pelakon berinspirasi daripada lagu, persembahan atau kehidupan sekeliling. Begitulah, saya terdorong mengenali dunia seni dari usia yang muda.”

Demi memperjuangkan dan mengangkat seni ke persada tanah air, Beliau menyewa sebuah ruang di lokasi perniagaan di Kampung Kiulap dengan menukar ruang itu, menjadi sebuah studio di mana ia sebagai platform mempamerkan pelbagai karya seni kreatif. Di samping itu, ruang itu juga dibukakan untuk penggiat-penggiat seni tanah air menganjurkan acara-acara berunsurkan seni.

“Saya terbuka untuk menjemput siapa sahaja datang, dan mengusulkan perancangan mereka, agar kita dapat sama-sama bekerjasama dalam industri ini. Bersama kita menarik dan membuka minda orang ramai tentang kepentingan seni kepada masyarakat,” ucap Sandy Tan.

Pameran ‘Oh! Secret Garden’

Pameran ‘Oh! Secret Garden’ adalah acara yang pertama dikelolakan di ruang studio Sound & Canvas, menggabungkan karya Sandy Tan, dan juga penggiat-penggiat seni tanah air yang lainnya, iaitu merangkumi OtherHalf Studio, yang menghasilkan sebuah karya visual video merangkumi seni abstrak, Bloom Project Co. yang membina laluan gerbang dari tumbuh-tumbuhan semula jadi serta Happy Petals Co. yang membentuk warna-warni bunga-bunga mekar di dinding putih seakan seperti kuntum-kuntum bunga yang sebenar.

Apabila memasuki ke ruang studio, kedengaran alunan muzik yang menggetarkan seakan mempunyai sebuah cerita yang tersembunyi. Alunan muzik itu bergerak seiring dengan gerakan visual video, mempamerkan bunga-bunga, daun-daun dan sebagainya, yang berunsurkan kepada alam semula jadi. Sementara itu, refleksi dari cermin pula, seakan kita benar-benar dikelilingi oleh timbunan gerakan bunga-bunga dan dedaun.

Taman kecil dibina sebalik kaca di bawah juntaian tumbuhan hijau, hanya dapat dilihat apabila kita sendiri mendekati kaca itu.
Menghayati dan membaca kata-kata sebalik ratusan daun.
Gerbang Taman Rahsia yang dibentuk oleh Bloom Project Co.

“Secret Garden atau Taman Rahsia, adalah suatu tema yang saya inginkan orang ramai menghayati perjalanan mereka menuju ke sebuah taman, merungkai misteri dan rahsia, tetapi misteri itu juga sesuatu yang menenangkan dan mengindahkan, malah fikiran bebas untuk keluar dari terjerat dan di penjara.”

Menurut Sandy, kadang-kala ada yang mendiamkan diri sepanjang duduk di tengah-tengah ruang cermin sambil melihat visual dan menghayati muzik yang dipamerkan. Ada juga yang menangis dan sebagainya, itulah sebalik rahsia dan misteri yang mereka bebas rungkaikan, iaitu perjalanan cerita mereka sendiri.

Pameran ‘Oh! Secret Garden’ telah dilancarkan pada 4 November lalu, dan kini dibukakan untuk kunjungan orang ramai secara percuma hingga pada hujung Disember ini.

Laluan gerbang ke taman kecil

Bersesuaian dengan tema ‘Taman Rahsia’, Bloom Project Co. mendirikan ranting-ranting kayu umpamanya sebuah gerbang yang suram dihiasi dengan bunga-bunga orkid menuju ke sebuah taman yang diwarnai dengan kehijauan, seakan merungkai keindahan tersembunyi.

Taman itulah dibina sebalik kaca di bawah juntaian tumbuhan hijau, hanya dapat dilihat apabila kita sendiri mendekati kaca itu dan menemui sebuah taman kecil yang bersembunyi sebalik ranting-ranting kayu tidak bernyawa. Begitulah istimewanya sebuah taman rahsia, seakan melambangkan perjalanan hidup ini yang banyak melalui perjalanan yang berduri, tanpa kita sampai kepada penghujungnya, tidaklah kita dapat temui rahsia sebalik kesukaran itu.

Kuntum bunga, dedaunan kata-kata

Happy Petals pula, pada mulanya hanyalah susunan bunga-bunga kertas yang mekar di atas dinding putih, namun, lama-kelamaan dinding putih kelihatan semakin meriah setelah melibatkan kreativiti tangan para pengunjung studio, yang menulis kata-kata indah di atas kertas-kertas daun, yang kemudiannya dilekatkan ke permukaan dinding menghiasi susunan-susunan bunga mekar itu. Kini, sudah kelihatan ratusan daun menghiasi sekitar kemekaran bunga mempamerkan keindahan yang sungguh bererti.

Salah seorang pengunjung ketika sedang menghayati visual abstrak sambil mendengar alunan muzik yang menggetarkan.
Sekitar Suasana Pameran ‘Oh! Secret Garden’.
Antara kata-kata yang dicoret dan ditinggalkan pengunjung menambah keindahan kuntuman bunga-bunga.

“Ratusan daun-daun itulah menggambarkan peranan kami di Sound & Canvas, kerana sesuatu yang indah itu tidakkan tercantum apabila kita seorang tetapi terhasil dari gabungan kreativiti artis-artis kita di tanah air. Umpamanya pameran Secret Garden ini menggabungkan empat tenaga artis untuk menjayakannya, malah orang ramai yang menulis pelbagai kata indah di atas kertas-kertas daun.”

Nilai Erti Seni

Apabila penulis menyoal tentang pengertian seni kepada Sandy, dia mengambil nafas yang sangat dalam, seakan seni itu benar-benar bererti bagi dirinya. Dia kemudian memandang kepada penulis, dan menyusun kata-katanya.

“Seni.. Seni itu boleh jadi apa sahaja. Saya masih ingat ketika saya masuk ke dalam sebuah galeri, mendengar alunan muzik dan menciptanya, sesuatu perasaan dari hatinya saya tersentuh. Seni itu suatu perasaan dalam pelbagai bentuk, cara, seakan gambaran tentang diri sendiri, dan juga penghayatnya. Suatu inspirasi. Seni itu mendorong rasa ingin tahu, dan timbul pelbagai persoalan, tentang diri mereka dan artis itu sendiri. Seni itu keindahan,” jelas Sandy Tan.

“Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang datang, artis-artis yang sempat berkunjung, pelajar-pelajar seni, keluarga dan kawan-kawan, yang menjadi inspirasi untuk kita semua, dan semoga mereka terus berjaya dalam kehidupan. Tidak lupa juga setinggi penghargaan untuk mereka yang sama-sama menjayakan projek pameran ‘Secret Garden ini’, dan Terima Kasih industri kreatif Brunei,” ucapnya di hujung temu ramah.

Suatu pengalaman yang berbeza, penuh misteri dan rahsia, rasailah dan hayatilah sendiri di pameran tersebut. Penulis menemui suatu rungkaian sebalik taman rahsia.