RICHMOND – Penemuan artifak di China merangkumi tentera bawah tanah yang dianggarkan sebanyak 8,000 tentera darat dan berukuran seperti manusia biasa dianggap sebagai salah satu pameran arkeologi terbesar khususnya pada abad ke-20 ini.
Lebih daripada empat dekad selepas artifak ini ditemui oleh seorang petani di wilayah Shaanxi, The Virginia Museum of Fine Arts telah mempamerkan sekitar 10 artifak berkenaan yang kelihatan sangat megah dan terjaga dengan begitu rapi. Pameran itu bertujuan untuk mengamati kembali sejarah kerajaan China kuno dan pemerintahan maharaja pertama mereka, Ying Zheng.
Walaupun pelbagai bentuk dan jenis Tentera Terracotta telah dipaparkan dan dipamerkan sebelum ini di beberapa buah muzium di New York, Philadelphia, Seattle dan tempat-tempat yang lain namun pameran yang berlangsung di Richmond memaparkan satu perbezaan apabila menampilkan sekitar 40 objek tidak pernah dipamerkan sebelum ini khususnya di Amerika Syarikat. Objek-objek tersebut merangkumi perhiasan jed kuno, perhiasan berharga dan juga beberapa bentuk seramik.
Pameran yang diberikan tajuk Terracotta Army : Legacy of The First Emperor of China itu hanya dipertunjukkan di Richmond dan Muzium Seni Cincinnati, di mana ia akan dibawa ke wilayah Virginia pada 11 Mac 2018 nanti.
Pameran ini juga cuba meneroka kehidupan Ying Zheng yang mana Ying telah mengisytiharkan dirinya sebagai Qin Shihuang, maharaja pertama kerajaan China dan bagaimana dia mempengaruhi China semasa pemerintahannya dari 221 hingga 210 sebelum masihi.
Para ahli sejarah percaya bahawa dia mengarahkan untuk membina tentera terracotta, yang mana telah dikebumikan di kawasan lapang dan setelah 2,000 tahun kemudian, tapak tersebut ditemui oleh seorang petani iaitu kira-kira satu batu dari kawasan tapak perkuburan maharaja.
Saluran informasi
“Kami mahu para pelawat untuk mempelajari siapa maharaja kerajaan China yang pertama dan memaparkan bagaimana keadaan penduduk ketika pemerintahan maharaja itu, teknologi apakah yang dibangunkan pada masa itu dan seni bina pada masa itu,” kata Li Jian, penyelaras bersama pameran tersebut. “Tidak kira miskin atau kaya, maharaja atau rakyat biasa, rakyat berusaha untuk mencapai satu matlamat kehidupan yang abadi. Objek yang telah digali ini mencerminkan kehidupan rakyat pada masa itu,” tambah Li lagi kepada pihak media.
Pameran itu mempamerkan dua ruang yang berbeza di mana di ruang pertama mempamerkan kuda dan kelengkapan kereta, senjata dan juga perisai, karya seni dalam emas dan perak serta peninggalan budaya China yang lainnya.
Selain itu, topeng yang berbentuk baldi dalam mulut terbuka dan mata yang kosong merupakan objek yang paling tua dan dianggarkan dicipta pada tahun 3,500 sebelum Masihi, apabila seorang penipu memakainya semasa melakukan satu ritual untuk menangkis roh jahat dan nasib malang.
Selain itu, turut dipamerkan ialah kalung manik agate merah dan loket jed putih iaitu barisan perhiasan yang sangat digemari oleh kebanyakan bangsawan Qin.
Sebuah lampu rumah gangsa turut dipamerkan yang mana mengandungi minyak sayuran atau lemak haiwan, yang mampu membakar api untuk jangka waktu yang lama semasa era tersebut sebelum penggunaan lilin.
Para pengunjung juga berpeluang untuk melihat sendiri satu pemandangan yang menakjubkan apabila memasuki bilik kedua di mana tentera teraccota diletakkan.
Mempunyai ketinggian sekitar enam kaki dan berat antara 250 hingga 400 paun, artifak tentera ini diletakkan secara berasingan dengan ruang dan sudut yang terbuka membuat orang ramai berpeluang untuk mendekati artifak-artifak bersejarah ini.
Setiap patung mempunyai ukiran baju perisai yang lengkap dan bersedia untuk mara ke medan peperangan malah setiap patung mempunyai pangkat-pangkatnya yang tersendiri.
Seorang guru tadika yang telah bersara dari Richmond, Connie James berkata bahawa dia menghargai setiap butiran artifak tersebut dan Connie telah meneroka muzium berkenaan bersama suaminya serta menghabiskan waktu petang mereka hanya untuk mendalami lagi seni pameran yang menakjubkan itu.
“Saya menjangkakan mereka kelihatan seperti patung biasa yang kosong namun ternyata artifak ini sangat istimewa dan memaparkan satu sejarah kuno yang benar-benar pernah terjadi pada masa lalu,” kata Connie.
“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan pada zaman tersebut dan tidak dapat membayangkan bagaimana mereka menggunakan setiap senjata itu untuk menentang musuh-musuh mereka, memang sesuatu yang menakjubkan dan penuh sejarah,” tambah Connie kepada media.
Pengarah Muzium, Alex Nyerges berkata bahawa pameran itu telah berjaya menarik sekitar 40,000 pengunjung dalam tempoh dua minggu pertama di Richmond sekali gus meletakkan muzium berkenaan sebagai salah satu muzium yang terkenal dan popular. – AP