Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Meneroka tarikan taman tema Ghibli Jepun

    TOKYO – Totoro yang tersenyum lebar dan pameran aneh lain mengalu-alukan pengunjung ke taman tema baharu Jepun, Ghibli apabila tiga daripada lima bahagiannya dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.

    Tarikan di tengah Jepun telah lama ditunggu-tunggu oleh peminat animasi yang digemari oleh Studio Ghibli, daripada Howl’s Moving Castle hinggalah Spirited Away yang memenangi Oscar.

    Kini sebuah bas kucing yang gebu, No-Face bersaiz sebenar dan rekreasi bangunan dari filem-filem itu sedia untuk pengunjung kurang daripada sebulan selepas negara itu membuka semula sempadannya sepenuhnya kepada pelancong asing.

    Tiket boleh didapati secara tempahan sahaja, dan habis dijual sehingga akhir tahun ini.

    Seorang pengunjung pertengahan umur, yang menyifatkan dirinya sebagai peminat tegar, memberitahu penyiar TV, Asahi dia telah beratur untuk memasuki taman itu sejak sehari sebelum pembukaannya.

    Para pengunjung melihat sekeliling tangga tengah Ghibli’s Grand Warehouse pada hari pertama Taman Ghibli dibuka di Nagakute, wilayah Aichi. – AFP
    Kelihatan pelawat tidak melepaskan peluang mengambil gambar tentera robot Tenku no Niwa di Ghibli’s Great Warehouse. – AFP

    “Tahniah!” tertulis pada nota lukisan tangan yang disiarkan di Twitter oleh Studio Ghibli, digambarkan dengan deretan figura menyerupai makhluk Totoro dan ditandatangani oleh pengasas bersama syarikat Hayao Miyazaki.

    Penerbit Ghibli, Toshio Suzuki turut bercakap tentang keterujaannya pada satu majlis pada hari Isnin sebelum pembukaan.

    “Saya tidak tidur lena. Ia agak berbeza dengan tayangan filem,” katanya.

    Dibangunkan di atas 7.1 hektar taman seluas 480 ekar di wilayah Aichi tempat Ekspo Antarabangsa 2005 diadakan, tapak ini menampilkan kawasan terbuka yang besar selaras dengan kepentingan alam semula jadi dalam filem-filem Ghibli.

    Antara tiga bahagian yang kini dibuka ialah Hill of Youth, pintu masuk ke taman yang menampilkan menara lif yang diilhamkan oleh filem-filem Ghibli termasuk Castle in the Sky.

    Di tempat lain, Dondoko Forest membangkitkan kedamaian retro My Neighbor Totoro klasik 1988, dengan laluan pejalan kaki yang bergaya dan sosok Totoro yang besar.Tarikan utama ialah Gudang Besar Ghibli, bahagian dalam taman seperti hangar dengan pelbagai tarikan, termasuk 14 set daripada 13 filem klasik studio.

    Pengunjung boleh bersiar-siar di sepanjang lorong yang direka bentuk untuk kelihatan seperti adegan pembukaan Spirited Away, atau singgah di tempat duduk kereta api bersalut baldu merah di dalam gerabak bersebelahan dengan watak No-Face yang dikenali serta-merta dalam filem itu.

    Wilayah Aichi meramalkan kehadiran 1.8 juta pelawat setahun apabila kelima-lima kawasan taman itu dibuka mulai tahun depan, dengan anggaran impak ekonomi tahunan sebanyak 48 bilion yen (AS$324 juta).

    Studio Ghibli, yang diasaskan pada tahun 1985 oleh Miya-zaki dan rakan animator Isao Takahata, telah memikat peminat di seluruh dunia dengan karya yang menggabungkan nostalgia, keberanian, ketamakan dan interaksi dengan dunia semula jadi.

    Studio itu telah pun mengendalikan Muzium Ghibli yang sangat popular di pinggir Tokyo, yang menawarkan tiket hanya pada permulaan setiap bulan dan selalu habis dalam masa beberapa jam. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...