Sunday, March 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menerokai gaya kehidupan masyarakat Zaman Pertengahan

    DIADAKAN pada setiap tahun sejak 1984, Festival Medieval ke-33 telah diadakan di Taman Fort Tyson, New York di mana ia secara tidak langsung bertujuan untuk meraikan budaya dan adat istiadat Zaman Pertengahan.

    Taman Fort Tyson merupakan tapak kepada Muzium dan Taman Cloisters, cawangan kepada Muzium Seni Metropolitan di Upper Manhattan.

    Lebih menarik lagi apabila, The Cloisters turut menyediakan latar yang cukup sesuai untuk penganjuran acara memandangkan ia turut menempatkan kira-kira 3,000 koleksi seni Eropah dari era zaman pertengahan.

    Para pengunjung setentunya akan berasa kagum untuk melihat kebanyakan yang berada di kawasan tersebut dilengkapi dengan pakaian dan kostum tradisi sebagaimana yang digayakan oleh pahlawan dan masyarakat pada zaman pertengahan.

    Persembahan menarik

    Alunan muzik dan seni tarian memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana perayaan yang berkonsepkan era pertengahan itu.

    Lebih menarik lagi apabila aksi tentera dilengkapi pakaian tradisi dan kuda juga dipersembahkan.
    Para peserta menggayakan pakaian tradisi pada Zaman Pertengahan yang sangat mengagumkan. – Xinhua
    Pelbagai pakaian tradisi yang menarik dapat disaksikan di Festival Zaman Pertengahan ke-33 yang diadakan di Taman Fort Tyson.

    Setiap pengunjung disambut dengan hiburan secara langsung yang disediakan di pintu hadapan.

    Lebih menarik lagi apabila peralatan muzik yang digunakan pada era pertengahan tersebut juga turut diketengahkan pada acara tersebut seperti lute, hurdy-gurdy dan juga harp atau kecapi.

    Di samping acara tersebut juga turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian Celtic, teknik silap mata menari, permainan juggler dan peluang untuk meneroka kembali ke era pertengahan itu sendiri.

    Manakala kanak-kanak juga tidak terlepas untuk berhibur di sepanjang festival tersebut apabila zon kanak-kanak turut menampilkan ruang penceritaan dan persembahan interaktif yang sangat menarik.

    Salah seorang penjaga petak pameran menerangkan mengenai keistimewaan senjata yang digunakan pada Zaman Pertengahan. – Xinhua
    Aksi pertarungan di antara pahlawan juga turut dipertontonkan yang jelas sangat mengagumkan. – Xinhua

    Salah satu perkara yang menarik pada acara rersebut adalah papan catur bersaiz besar di mana para peserta yang menggayakan pakaian tradisi dalam mewakili buah catur yang berperanan selaku raja, ratu dan pahlawan-pahlawannya sendiri juga berjaya menarik perhatian para pengunjung.

    Nikmati hidangan era pertengahan

    Bersesuaian dengan tema era pertengahan yang ditampilkan ternyata ia juga turut merangkumi aspek makanan di mana para pengunjung berpeluang untuk menikmati hidangan kaki ayam Belanda yang dibakar.

    Hidangan tersebut merupakan salah satu hidangan istimewa yang sering menjadi pilihan untuk dinikmati pada sebarang acara tradisi mahupun festival yang diadakan pada era pertengahan.

    Permainan catur bersaiz besar di mana ia diwakili oleh para peserta yang menggayakan pakaian tradisi yang berperanan selaku raja, ratu dan para pahlawannya.
    Kanak-kanak juga berpeluang untuk berhibur melalui penceritaan yang turut dianjurkan. -Xinhua

    Selain itu terdapat juga beberapa petak jualan makanan yang turut menawarkan beberapa hidangan istimewa yang lain seperti tulang rusuk daging barbeku, burger dan jagung bakar.

    Di samping itu terdapat juga yang menawarkan hidangan sihat seperti sandwich dan juga salad.

    Pemanis mulut iaitu doh goreng yang dihias dengan gula tepung dan beberapa jenis kuih tradisi Yunani yang cukup popular pada zaman pertengahan juga turut ditawarkan kepada para pengunjung.

    Rata-rata ramai yang memuji tahap pelaksanaan acara itu apabila terdapat beberapa kawasan yang turut boleh diakses dengan mudah diakses oleh individu berkeperluan khas dan orang yang berkerusi roda.

    Acara itu juga ditaja bersama oleh Washington Heights dan Inwood Development Corporation. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda