XIAMEN – Su Xiaodong merupakan salah seorang pemilik kedai buku di Pulau Gulangyu dan beliau telah menggelar kedainya sebagai ‘lubang cacing’.
“Saya menggelarnya sebagai ‘lubang cacing’ kerana ia menghubungkan di antara masa dan ruang yang berbeza dan memang itu juga menjadi tujuan yang ingin dicapai iaitu meneroka keindahan sejarah pulau ini,” jelas Su dari bandar raya Xiamen di Wilayah Fujian di timur China.
Su, 47 telah menjelajah ke banyak negara sebelum beliau membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai buku di pulau setelah tertarik dengan keunikan sejarah dan budaya yang tersendiri.
Gulungyu yang terletak di pesisir pantai Xiamen memang cukup terkenal dengan kepelbagaian seni bina dan sejarah di mana ia juga turut tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pulau ini dipenuhi dengan kediaman yang dibina dengan gaya reka bentuk timur bertemu dengan barat yang diusahakan oleh golongan elit China setelah kembali semula ke pulau tersebut pada awal kurun ke-20.



Su menyewa sebuah ruangan dalam sebuah bangunan bersejarah, Pavilion Haitian di mana ruang dalamannya telah diubahsuai dengan reka bentuk sebuah kedai buku yang melambangkan ciri kurun ke-20.
“Ia merupakan masa kegemilangan Gulangyu di mana ia cukup tenang dan masyarakat dari kebudayaan yang berbeza boleh berkumpul sama serta hidup dalam keadaan aman damai,” jelas Su.
Kini, Gulangyu menerima lebih dari 10 juta orang pengunjung pada setiap tahun dan jumlah butik, restoran dan hotel di kawasan ini juga semakin meningkat pada setiap tahun.
Su menjelaskan bahawa beliau berhasrat untuk melihat kedai buku yang diusahakannya untuk menjadi sebuah ruang di mana para individu dapat lari daripada kesibukan rutin harian sekaligus berpeluang untuk meneroka keindahan budaya dan sejarah latar belakang pulau ini.
Kedai buku yang diusahakan telah mengumpulkan lebih dari 3,000 buah buku mengenai Gulangyu dan masih terdapat lagi beberapa projek bertaraf antarabangsa yang masih berada dalam proses.
“Memelihara warisan budaya bukan hanya sekadar melindungi struktur bangunan namun ia juga meliputi nostalgia memori bangunan tersebut yang juga boleh dinikmati oleh generasi moden sekaligus mendidik mereka untuk lebih menghargai nilai sejarah,” jelas Su.
Su juga percaya bahawa seni adalah medium perhubungan terbaik bagi menghubungkan di antara sejarah di masa lampau dengan era baru.
Pada November lalu, kedai buku yang diusahakan oleh Su telah mempamerkan hasil karya dari penggiat seni muda dari 16 buah negara yang telah menetap di Gulangyu selama dua bulan untuk berkarya.
Diilhamkan oleh pameran itu, Su mula menjemput barisan penggiat-penggiat seni dari 13 buah negara yang telah menubuhkan konsulat di Gulangyu sejak kurun ke-19 untuk menetap di pulau itu sambil memperluaskan idea mereka untuk berkarya.
“Hasil kerja seni yang ditampilkan oleh penggiat seni antarabangsa ini ternyata cukup hebat dan menghargai setiap nilai sejarah yang ditawarkan di pulau ini sekaligus menjadi perantara untuk terus memelihara warisan budaya di pulau ini,” jelas Su. – Xinhua