Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menerokai keindahan alam sekitar di Okinawa

    OKINAWA – Bukan sahaja dikenali sebagai tempat asal kepada seni mempertahankan diri, karate, tetapi ternyata ia juga menawarkan pelbagai tempat menarik.

    Pulau ini menawarkan banyak destinasi pelancongan menarik yang bertemakan alam semula jadi dan laut seperti Gua Gyokusendo dan Akuarium Okinawa Churaumi.

    Gua itu merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Okinawa berdasarkan pemilihan Jetstar Asia dan Biro Konvensyen dan Pelawat Okinawa.

    Laluan di dalam gua itu adalah berdasarkan konsep moden dan turut boleh diterokai oleh Orang Kelainan Upaya (OKU).

    Ini kerana treknya dilengkapi dengan laluan diperbuat dari besi di mana ia boleh menjadi petanda laluan dan juga lif yang boleh membantu membawa individu menuju ke pintu keluar.

    Ruang dalaman Gua Gyokusendo kelihatan cukup indah dengan struktur stalaktit dan stalagmit yang membentuk komposisi menarik. – Agensi
    Okinawa merupakan sebuah destinasi yang cukup menenangkan di Jepun. – Agensi

    Bagi penduduk Tamagusuku Maekawa di bandar Nanjo, 14 kilometer dari bandaraya Naha, gua tersebut dianggap menjadi sebahagian besar daripada kehidupan seharian mereka.

    Pada bulan Mac 1967, ketika Okinawa masih berada di bawah kawalan Amerika Syarikat (AS), pasukan penyelidik dari Universiti Ehime telah mengenali dan meneroka gua itu buat kali pertama.

    Kemudian, ia telah diisytiharkan selamat untuk dikembangkan menjadi kawasan pengembaraan gua dan kemudahan turut dipasang bagi menyenangkan pelancong yang mengunjungi tempat itu.

    “Pada tahun 1971, pasukan penyelidik universiti telah menjelajah kawasan seluas 1.9 kilometer ke dalam gua itu dan pada tahun 1972, ia telah dibuka secara rasmi bagi kunjungan orang awam namun ia adalah terhad hanya bagi laluan sepanjang 800 meter,” jelas Yuri Kinjo, seorang pegawai biro kepada The Jakarta Post.

    “Penyelidik itu terus meneroka Gyokusendo dan pada tahun 1976, pengumuman telah dilakukan dengan menyatakan bahawa ukuran laluan gua itu mencapai sepanjang 5 kilometer namun kajian berterusan juga terus dilaksanakan,” jelas Yuri yang merupakan anak kepada seorang tentera AS yang ditugaskan di Okinawa.

    Dengan peningkatan pada jumlah pengunjung yang berminat untuk menerokai gua itu, pada tahun 1979, pengurusan Gyokusendo telah membuka Taman Muzium Habu di zon gua itu dan pada tahun 1996, zon itu dinamakan semula sebagai ‘Okinawa World’.

    Pintu masuk gua juga telah diubah untuk memanjangkan lagi laluan treknya iaitu dari 800 kepada 890 meter.

    Ia merupakan gua yang terbesar dan paling dalam di Wilayah Okinawa serta kedua terdalam di Jepun selepas Gua Akiyoshido di Wilayah Yamaguchi yang dilaporkan mencapai tahap kedalaman 8.9 kilometer, namun hanya 1 kilometer sahaja yang dibenarkan untuk diterokai.

    Keindahan Gua Gyokusendo ini telah tertumpu kepada struktur stalaktit dan stalagmit yang membentuk komposisi menarik digabungkan dengan pencahayaan yang menarik. Malah ada juga yang beranggapan bahawa ia adalah sebuah gua buatan manusia.

    Gua Gyokusendo juga diterangi dengan cahaya dan peredaran udara yang dikawal dengan baik. Jejak laluan yang diperbuat dari besi pula berperanan untuk menghalang pengunjung daripada dibasahi oleh kolam lumpur ketika mereka mengembara ke bahagian paling dalam gua itu.

    Akuarium Okinawa Churaumi di Okinawa memiliki tahap keluasan seperti tiga buah kolam renang Olimpik. – Agensi

    ‘Okinawa World’ juga merupakan tempat asal kepada tarian Eisa yang merupakan sejenis tarian rakyat di pulau yang diiringi dengan bunyi dram dan alat muzik dikenali sebagai sanshin, di samping dendangan lagu yang menghiburkan pendengarnya.

    Di samping itu, kebanyakan pengunjung yang mengunjungi Taman Muzium Habu juga tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri pembuatan ‘habushu’ secara lebih dekat.

    Menurut Taman Peringatan Kebangsaan Okinawa, Akuarium Okinawa Churaumi, pengunjung juga berpeluang untuk menyakiskan lebih daripada 740 spesies ikan dan ribuan spesies marin yang lain.

    Menariknya, akuarium itu juga dibina berhampiran dengan kawasan pantai sekali gus mendekatkan lagi pengunjung dengan keadaan alam sekitar. Malah nama akuarium itu, ‘chura’ merujuk kepada maksud cantik dan ‘umi’ pula merujuk kepada laut.

    Ukuran keluasan akuarium itu juga sebesar tiga kali ganda kolam renang Olimpik.

    Di sebalik kaca akrilik 135 tan, pengunjung dapat menyaksikan tiga ekor jerung, ikan pari dan pelbagai lagi spesies hidupan marin lain.

    Sebelum ini, panel akrilik itu juga disenaraikan sebagai yang terbesar dalam Guinness Book of Records sehingga ia ditewaskan oleh Akuarium Dubai pada tahun 2008.

    Akuarium Okinawa Churaumi yang menghala ke arah Lautan Kuroshio merupakan sebuah akuarium yang telah dibina pada tahun 1975 untuk Ekspo Dunia.

    Pembinaannya itu adalah bagi menandakan sambutan tahun ketiga pengembalian hak Okinawa kepada Jepun.

    Idea untuk membina akuarium baharu pula berkembang pada tahun 1989. Reka bentuk awalnya telah tersedia pada tahun 1994 dan proses penelitiannya hanya selesai pada tahun 1995 dan diikuti dengan projek pembinaannya pada tahun 1996.

    Pantai Kuroshiro juga pernah ditutup pada 31 Ogos 2002 dan bangunan baharu yang dinamakan sebagai Akuarium Okinawa Churaumi dibuka semula pada 11 November 2002 untuk menandakan ulang tahun pengembalian 30 tahun Okinawa kepada Jepun.

    Selain itu, pelancong dapat bersiar-siar di Kokusai Street dan bergaul bersama dengan warga tempatan sambil membeli cenderahati seperti kraf tangan tradisional dan pakaian tradisi dikenali sebagai ‘bin-gata’.

    Malah pengunjung yang berkesempatan untuk mengunjungi Okinawa juga berpeluang untuk mempelajari pelbagai perkataan tempatan seperti ‘nifedeberu’ merujuk kepada maksud terima kasih dan ‘guburisabira’ yang merujuk kepada maksud selamat tinggal. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda