UTARA CYPRUS – Keenakan rasa hidangan tempatan seperti kebab, kofte, hellim dan borek jelas memperlihatkan bahawa ia adalah tidak mustahil bagi para pengunjung yang baru pulang dari Utara Cyprus akan mengalami penambahan berat badan sekurang-kurangnya 1.5 kilogram.
Ternyata kawasan yang kurang diterokai oleh para pengunjung di Kepulauan Mediterrranean itu dipenuhi dengan kafe dan restoran yang menawarkan pelbagai hidangan lazat pada harga yang berpatutan.
Selain hidangan yang lazat, Utara Cyprus juga turut kelihatan indah dengan suasana langit yang biru dan pasir pantai yang bersih di mana ia jelas memperlihatkan satu suasana yang bebas daripada sebarang anasir pencemaran.
Walaupun kawasan Cyprus telah terbahagi kepada dua namun ternyata pemisahan tersebut tidak menghalang industri pelancongan di kedua belah pihak.
Seperkara yang harus diambil tahu oleh setiap pengunjung bahawa mata wang yang digunakan di Utara Cyprus adalah Lira Turki dan bukannya Euro.



Utara dan Selatan Cyprus telah dibahagikan oleh kuasa zon PBB sejak tahun 1974.
Dari situ, Selatan Cyprus semakin menjadi destinasi pelancongan popular di mana ia menawarkan rangkaian makanan seger, hotel dan tempat penginapan mewah kepada para pengunjung.
Bagaimanapun, ternyata kehijauan dan suasana asli di kawasan Utara Cyprus juga jelas memiliki tarikannya yang tersendiri.
Nicosia, bandaraya terbesar di pulau itu telah dibahagikan kepada dua di mana ia menjadi ibu negara kepada Cypriot Yunani dan Cypriot Turki.
Suasana di Utara Cyprus jelas berbeza di mana latar laluannya penuh dengan liku dan ramai yang mengusahakan perniagaan kedai kopi di sepanjang laluan tersebut berbanding di selatan di mana ia dipenuhi dengan rangkaian jenama terkemuka dunia seperti H&M dan KFC.
Salah satu cara terbaik bagi para pengunjung untuk meneroka kawasan Utara Cyprus yang menarik dan tenang adalah dengan menyewa kereta yang ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Acapulco Beach Club and Resort adalah antara hotel yang sesuai bagi individu yang melancong bersama keluarga di mana ia menawakan taman air dan kawasan pantai tersendiri yang cukup luas meliputi kawasan seluas 50 ekar termasuk taman yang menghijau.
Kira-kira 15 minit perjalanan dari hotel tersebut, para pengunjung boleh singgah ke bandaraya bersejarah, Kyrenia di mana ia dipenuhi dengan daeran kedai, bazar dan juga kawasan pelabuhan.
Selepas itu, pengunjung boleh meneruskan pemanduan menuju ke Pantai Alagadi atau Pantai Kura-Kura yang menawarkan panorama lautan biru yang terbentang luas dan para pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan deretan pokok zaitun di sepanjang perjalanan menuju ke pantai tersebut.



Pantai tersebut adalah lokasi popular bagi kura-kura dan penyu untuk bertelur dan sekiranya nasib menyebelahi pengunjung maka mereka berpeluang untuk melihat spesies reptilia itu menetas yang biasanya berlaku di antara bulan Ogos hingga September.
Di samping itu, pantai itu juga menawarkan panorama indah dan menakjubkan yang menghala ke arah Gunung Kyrenia di mana ia juga turut dikenali sebagai Gunung Five Finger.
Gunung tersebut memiliki keluasan sekitar 100 batu di sepanjang pantai di bahagian utara itu di mana ia mendapat namanya berikutan daripada ciri penampilannya yang seakan-akan menyerupai seperti bentuk lima jari.
Kawasan pergunungan tersebut berakhir di kawasan Semenanjung Karpaz di mana ia dianggap ibarat permata semula jadi kepada Utara Cyprus.
Ternyata keindahan kawasan pergunungan itu jelas terpelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan.
Perjalanan ke utara setentunya tidak akan sempurna tanpa sesi lawatan ke bahagian semenanjung yang menawarkan suasana dan panorama pulau yang cukup indah.
Keadaan jalan raya yang telah diperbaiki mempermudahkan lagi perjalanan menuju ke Karpaz yang agak terpencil dan jauh dari sebarang aspek pembangunan.
Salah satu tarikan di Karpaz adalah taman negara di mana ia menempatkan ratusan ekor keldai liar yang bebas berkeliaran di kawasan tersebut.
Ramai pelawat turut membawa epal untuk diberikan kepada keldai liar tersebut di mana aktiviti itu telah lama diamalkan di kalangan para petani iaitu sejak era penjajahan Turki.


Selain itu, kawasan semananjung itu juga jelas menjanjikan ketenangan kepada para pengunjung yang berada di kawasan pantai luas sambil menikmati pemandangan indah menghala air lautan biru yang jernih dan bersih.
Pantai Emas merupakan pantai terbaik di kawasan kepulauan itu di mana para pengunjung berpeluang untuk berendam dalam air yang bersuhu hangat dan bersiar-siar di kawasan pasir yang putih bersih serta bebas dari sebarang anasir pencemaran.
Karpaz jelas merupakan satu contoh terbaik yang memperlihatkan bahawa kawasan itu bebas daripada sebarang pembangunan yang melampau di mana setentunya tiada hotel mewah yang dibina di kawasan itu.
Hanya sebilangan pondok-pondok kecil yang dapat dilihat di kawasan persekitaran Pantai Emas itu di mana para pengunjung juga berpeluang untuk menyewanya bagi tujuan bermalam sambil merasai sendiri kehidupan asas tanpa sebarang bekalan elektrik.
Di penghujung kawasan Semenanjung Karpas iaitu Cape Zafer pula memberikan peluang kepada para pelancong untuk menyaksikan sendiri binaan Gereja Apostolos Andreas dan pancuran air dari mata air di mana ia adalah salah satu peninggalan sejarah yang dianggap suci oleh Cypriots Yunani dan Turki.
Walaupun terdapat beberapa tempat menarik yang ditawarkan namun ternyata ramai para pengunjung yang lebih selesa untuk melancong ke beberapa bandar utama Cyprus seperti Ayia Napa, Paphos dan Larnaca.
Namun Utara Cyprus tetap menjangkakan peningkatan jumlah pengunjung pada tahun ini di mana ia menjanjikan satu pengalaman pengembaraan yang sangat menarik. – Agensi