Oleh Nurdiyanah R.
NEGARA Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang kaya dengan adat resam dan cara hidup dengan pelbagai variasi kebudayaan.
Salah satu cabang daripada variasi kebudayaan tersebut ialah permainan tradisional yang telah kita warisi dari satu generasi hingga ke generasi yang ada pada hari ini.
Namun hakikatnya, zaman silih berganti dengan arus kemodenan dan kecanggihan yang sentiasa mengelilingi kehidupan kita, kebanyakan dari permainan tradisional ini sudah tidak dipratikkan lagi sama ada dalam kalangan kanak-kanak mahu pun dewasa.
Hanya beberapa jenis permainan tradisional sahaja yang diketahui atau masih dimainkan seperti permainan congkak, pasang, kikik dan lain-lain.
Lebih-lebih lagi dengan terciptanya pelbagai peralatan dan aplikasi hiburan yang lebih moden seperti telefon pintar dan komputer sehingga menyebabkan permainan tradisional ini jarang atau sukar mendapat tempat di hati generasi masa kini untuk memilikinya atau meneruskan permainan tradisional tersebut.
Demi memelihara warisan budaya Melayu
Oleh yang demikian, sebagai matlamat untuk mendukung hasrat memelihara warisan budaya Melayu khususnya permainan tradisional dalam kalangan masyarakat tempatan di Negara Brunei Darussalam, Muzium Teknologi Melayu telah mengorak langkah positif dengan mengadakan Pameran Permainan Tradisional Masyarakat Brunei yang mana dibukakan kepada orang ramai secara percuma di Ruang Legar, Muzium Teknologi Melayu, Kota Batu, Daerah Brunei dan Muara bermula 15 September lalu sehingga 18 November nanti.
Dalam pada itu, wartawan Minda berkesempatan untuk menerokai suasana pameran yang begitu menarik dengan menampilkan lebih 21 jenis koleksi permainan tradisional masyarakat Brunei.
Kebanyakan permainan tersebut lebih berbentuk rekreasi, hiburan dan sukan yang juga sememangnya mampu mewujudkan kecekapan, kesihatan, pembelajaran dan perkembangan minda seseorang pemain.
Ia adalah sebahagian daripada warisan permainan turun-temurun yang diperbuat dari bahan-bahan semula jadi yang mudah diperolehi.
Lastik
Permainan Lastik biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki sehingga dewasa yang mana ia diperbuat dari ranting kayu, potongan getah (bekas kasut) dan gelang getah untuk pengikat.
Manakala peluru lastik pula biasanya menggunakan anak batu, timah, buah simpur, buah gurah dan tanah liat yang sudah dikeringkan.
Teknik memainkannya ialah dengan cara menarik getahnya dan kemudian dilepaskan pada sasarannya.
Kerita Rajung
Selain itu, Kerita Rajung pula merupakan salah satu permainan tradisional masyarakat Brunei yang mana ia adalah sejenis model kereta yang diperbuat daripada papan kayu dan lazimnya dimainkan oleh golongan remaja lelaki sahaja.
Permainan ini dimainkan dengan cara menggelongsor dari atas bukit yang curam dalam jangka masa yang cepat.
Ia dicipta setelah wujudnya pemakaian kereta dalam kalangan masyarakat dahulu.
Kasut Terompak
Dikenali dengan nama permainan Kasut Terompak yang mana ia menggunakan alat yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang ditebuk lubang pada bahagian tengahnya untuk mengikat tali.
Tempurung kelapa tersebut akan diletakkan di bawah kaki pemain seperti memakai selipar dan pemain akan memegang serta menarik tali tempurung yang diletakkan di celah jari kaki semasa melangkah.
Permainan ini boleh dimainkan secara perseorangan dan juga sebagai perlumbaan di mana pemain yang sampai ke garisan penamat lebih awal adalah dikira sebagai pemenang.
Saluk-Salukan
Pada zaman dahulu permainan ini biasanya dimainkan sewaktu berlakunya kematian dalam sesebuah keluarga berbangsa Dusun.
Dalam upacara perkabungan, pelita getah kayu yang dipanggil ‘salong’ akan dinyalakan secara berterusan selama 14 hari upacara hari makan arwah.
Semasa menjaga ‘salong’, penjaga pelita tersebut akan bermain Saluk-salukan untuk mengurangkan rasa mengantuk.
Selain itu, ia juga menguji minda seseorang pemain mengenai bagaimana untuk mengeluarkan tali dari permainan tersebut.
Adapun bahan yang digunakan untuk permainan ini adalah rotan, kayu dan tali yang diperbuat daripada kulit kayu.
Main Tinting
Lazimnya, permainan Tinting ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara berkumpulan di mana terdapat dua hingga empat orang di dalam sebuah gelanggang yang berupa petak-petak di atas tanah.
Terdapat tujuh atau lapan petak di dalam sesebuah gelanggang. Manakala potongan tempurung kelapa atau balahan kaca dijadikan sebagai buah bagi menanda kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.
Bedil Buluh
Batang buluh, kayu penunu (pencucuh) dan bahan peledak iaitu kabait merupakan alat permainan yang digunakan untuk mencipta permainan Bedil Buluh yang mana kebiasaannya ia hanya dimainkan oleh lelaki dewasa.
Cara memasang bedil ini ialah dengan memasukkan kabait ke dalam buluh tadi dan dicampur dengan sedikit air. Apabila campuran air mendidih kira-kira dalam beberapa saat lalu ambil kayu penunu yang dicelup dengan api dan dimasukkan ke dalam lubang kecil di bahagian atas buluh dan bunyi letupan yang kuat akan kedengaran.
Senapang pek
Salah satu permainan tradisional yang sering dimainkan oleh masyarakat Brunei dahulu ialah Senapang Pek. Ia memerlukan tiga bahan iaitu buluh, rotan dan peluru ‘biji’.
Buluh kecil digunakan sebagai badan senapang yang berukuran kira-kira lebih kurang 30 sentimeter panjang.
Manakala rotan pula diperlukan untuk dijadikan sebagai picu untuk menembak peluru.
Satu lubang sederhana besar ditebuk di tengah-tengah untuk memasukkan peluru yang mana pemain boleh menggunakan kertas basah atau mana-mana buah yang sederhana kecil.
Sementara itu, satu lubang yang lebih kecil ditebuk di bawah lubang besar untuk meletakkan dan ‘mengunci’ rotan tersebut yang akan berfungsi sebagai pemicu senapang.
Dengan memasukkan peluru dan menolak picu rotan ke atas untuk menembak, maka bunyi ‘pek’ akan dapat didengar.
Kereta Surung
Sebuah permainan tradisional masyarakat Brunei seperti basikal beroda satu yang mana ia diperbuat daripada batang kayu kecil sebagai pemegangnya dan rodanya pula berasal daripada tudung tin atau kayu yang dibentuk bulat.
Alat permainan ini boleh dimainkan secara perseorangan atau secara beramai-ramai untuk berlumba antara satu sama lain.
Selain itu, antara permainan tradisional yang menjadi khazanah warisan budaya masyarakat Brunei sepanjang pameran itu berlangsung ialah permainan kikik yang mana lazimnya ia dimainkan semasa musim berangin untuk tujuan riadah dan juga perlawanan ‘bepulut’.
Pelbagai jenis kreativiti kikik yang dicipta oleh masyarakat tradisional sebelumnya, antaranya Kikik Jilama, Kikik Ekong Siar, Kikik Jangkang, Kikik Lasik, Kikik Ragi Rantai dan Kikik Serbang atau Sibai Dua.
Gasing juga merupakan salah satu permainan tradisional masyarakat Brunei yang sering dimainkan oleh golongan lelaki sahaja yang mana ia diperbuat daripada kayu yang keras dan lazimnya dimainkan di luar rumah.
Dalam perlawanan ini, semua pemain perlu memutar gasing masing-masing di atas tanah. Masa akan direkodkan untuk menentukan yang terbaik iaitu apabila gasing masih terus berputar, maka pemiliknya adalah pemenangnya.
Bukan hanya bagi mengisi masa lapang
Wujudnya permainan tradisional dalam sesebuah masyarakat Melayu sememangnya mempunyai beberapa peranan yang tertentu yang bukan sahaja setakat sebagai salah satu aktiviti yang dibuat bagi mengisi masa lapang, bahkan ia juga dapat membantu membina kebolehan diri para pemainnya, antaranya dari segi kecekapan serta ketangkasan dalam mengatur strategi sesebuah permainan.
Dalam pada itu, permainan tradisional ini juga mampu menimbulkan rasa kebersamaan yang diperlukan (sense of belonging) kepada pemainnya iaitu lazimnya ketika melakukan permainan secara berkumpulan yang mana ia semestinya memerlukan kerjasama yang padu dalam berpasukan untuk meraih kemenangan.
Melalui permainan tradisional ini juga dapat membantu dari segi pendidikan tidak formal kepada penggemarnya seperti permainan simban dan congkak terutamanya dari segi teknik pengiraan dalam situasi dan keadaan terhibur.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan sikap percaya diri dalam diri seseorang individu sebagai usaha dalam memotivasikan diri untuk mencapai sesuatu yang diingini.
Dalam pada itu, penciptaan dan teknologi tradisional dalam permainan tradisional dengan menggunakan bahan-bahan alam semula jadi seperti rotan, kayu, batu dan sebagainya juga secara tidak langsung dapat melatih serta mendorong seseorang itu memiliki daya kreativiti dan kemahiran yang tinggi.
Mungkin tanpa kita sedari bahawa permainan tradisional sudah tidak menjadi amalan yang kekal dipraktikkan oleh generasi muda kini, bahkan mereka lebih memilih permainan moden yang berteknologi tinggi.
Dengan kata lain, seolah-olah permainan tradisional semakin lama semakin pupus dan tenggelam oleh teknologi baharu dan pengaruh luar sehingga generasi penerus bangsa tidak tahu atau kurang mengetahui akan permainan tradisional yang pernah diamalkan atau dimainkan oleh nenek moyang mereka sendiri.
Persoalannya di sini, siapakah lagi yang layak mengekalkan budaya sesebuah bangsa itu sendiri? Semestinya bangsa yang empunya budaya itulah yang perlu bertanggungjawab.
Dalam hal ini, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri selaku masyarakat Brunei meliputi tujuh puak jati Melayu, sama ada ingin melihat budaya permainan tradisional kita hilang begitu sahaja atau mempertahankan kewujudannya.
Oleh itu, bersama-samalah kita memartabatkan budaya bangsa Melayu seperti mempraktikkan permainan tradisional ini agar ia tetap bertapak dan kekal selamanya, ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’ dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat walaupun gelombang arus kemodenan terus melanda kehidupan ini dari semasa ke semasa.