Monday, March 27, 2023
29.9 C
Brunei

-

Menerokai sejarah khidmat penghantaran bungkusan

TOKYO, JEPUN – Muzium Sejarah Kuronekoyamato ialah tempat di mana pengunjung boleh mempelajari tentang sejarah perkhidmatan penghantaran bungkusan Yamato Transport Co.

Muzium ini mempamerkan tentang bagaimana tertubuhnya perkhidmatan itu dan bagaimana sistem pengangkutan syarikat telah berubah sejak ia ditubuhkan.

Perkhidmatan Yamato Transport, yang didaftarkan sebagai Takkyubin, telah dilancarkan pada tahun 1976. Ia diperkenalkan oleh Masao Ogura (1924-2005), presiden kedua syarikat itu, yang merasakan terdapat kekurangan kemudahan dalam kaedah penghantaran setiap hari. Sebagai contoh, apabila dia ingin menghantar pakaian anak lelakinya kepada saudara mara, bungkusan itu perlu dibawa ke pejabat pos sebelum dihantar ke destinasi.

Pada masa itu, tiada perkhidmatan yang wujud di mana orang boleh menghantar bungkusan dari rumah mereka ke alamat yang ditetapkan. Ogura memutuskan ini adalah peluang perniagaan yang hebat dan konsep penghantaran bungkusan dari rumah ke rumah telah diwujudkan.

Terletak di Minato Ward, Tokyo, pengunjung boleh menelusuri sejarah 100 tahun syarikat melalui empat zon pameran, di mana setiap satunya memfokuskan pada tempoh masa yang berbeza dan merangkumi tema tertentu. Selain itu, setiap pameran memaparkan foto dan barangan era yang diliputi.

Kelihatan seorang kanak-kanak memakai pakaian seragam pemandu penghantaran. – ANN/The Japan News
Pameran menggambarkan semula pusat perkapalan sebelum perang. – ANN/The Japan News
Pakaian seragam pemandu penghantaran sejurus selepas penubuhan syarikat. – ANN/The Japan News

Tema gambar yang ditampilkan termasuk pembukaan laluan kereta api Shinkansen pada tahun 1964, krisis minyak Jepun sekitar tahun 1973, dan Sadaharu Oh, pemain besbol profesional yang menjadi pemegang rekod home run dunia pada tahun 1977.

Miki Shiratori, pengarah muzium itu, berkata, “Kami menyusun barang-barang dengan cara yang membolehkan pengunjung melihat pameran dan mengenang kembali tempoh masa itu, sambil berfikir, ‘Ya, saya ingat itu.’”

Tarikan popular di muzium adalah kawasan di mana pengunjung boleh mencuba pakaian seragam pemandu penghantaran dan mengambil gambar. Mereka juga boleh menaiki trak penghantaran sama seperti yang dilihat di jalanan untuk merasai pengalaman menjadi pemandu penghantaran. Ciri-ciri trak yang membantu mengangkut pakej dengan selamat turut diperkenalkan.

Mayumi Hamada, 38, yang mengunjungi muzium itu bersama anak lelakinya Masaharu, 5, berasa teruja memakai pakaian seragam itu. “Ia sesuatu yang baik bagi ibu bapa dan anak-anak untuk dapat menikmati pengalaman ini bersama-sama,” katanya.

Petikan oleh Ogura juga dipaparkan di muzium, memberikan sedikit gambaran tentang lelaki yang mempopularkan penghantaran bungkusan dari rumah ke rumah dan membina semula prestasi perniagaan Yamato.

Salah satu ucapannya ialah, “Saya fikir perniagaan bukan tentang perkara yang awda boleh lihat, ia tentang mencari perkara yang awda tidak boleh lihat dan menjadikan perkara itu kelihatan.” Seorang lagi berkata, “Rasa gembira jika saingan muncul.”

Muzium ini dibuka pada 2020 untuk memperingati ulang tahun ke-100 penubuhan kumpulan Yamato Transport. – ANN/The Japan News

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -