Meng Meng mungkin bunting

BERLIN, 14 OGOS – Pakar-pakar berkata mereka yakin panda berusia enam tahun di zoo Berlin yang bernama Meng Meng telah bunting.

Meng Meng berpasangan buat pertama kalinya dengan Jiao Qing berusia sembilan tahun pada April dan juga menjalani permanian beradas untuk meningkatkan peluang bunting. Ia sekarang menunjukkan uterus besar, berat bertambah, perubahan hormon, kelesuan dan tanda-tanda lain.

Institut Penyelidikan Zoo dan Hidupan Liar Leibniz telah menjalankan pemeriksaan tetap dan berkata tanda-tandanya sangat baik bagi kelahiran akhir bulan Ogos atau awal September dengan satu atau dua anak, yang akan menjadi kelahiran panda pertama Jerman.

Pakar Institut, Thomas Hildebrandt berkata hari ini bahawa ‘walaupun kehamilan fantom sering terjadi terhadap panda gergasi, ketika ini kami 85 peratus yakin Meng Meng memang bunting.” – AP

Meng Meng di zoo Zoologischer Garten di Berlin pada 14 Ogos. – AFP