Mengaku lindungi tempat perjudian

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Seorang anggota beruniform mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, kerana melindungi tempat perjudian daripada diserbu oleh polis.

Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Zainal, 41, didakwa melindungi tempat itu dengan memberikan maklumat kepada penghuni rumah yang menjalankan aktiviti perjudian mengenai serbuan yang akan dijalankan polis.

Dia melakukan kesalahan itu sekitar Januari 2020.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas beberapa pertuduhan lain iaitu memberi rasuah $200 kepada seorang anggota polis di kawasan letak kereta Tamu Tudong Saji dalam kejadian pada 24 Februari 2020, sebagai ganjaran untuk memberikannya maklumat mengenai serbuan polis ke tempat-tempat perjudian. Dia juga membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan berjumlah $50 kepada anggota polis sama dalam kejadian pada 5 Mac, sebagai ganjaran sama.

Tertuduh yang ditugaskan di Labi juga mengaku tidak bersalah atas empat lagi pertuduhan menjalankan pinjaman wang tanpa lesen, dengan meminjamkan $1,000 setiap seorang kepada empat individu secara pembayaran balik dengan faedah.

Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 6 Mei 2020 untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $5,000 atau dua penjamin tempatan berserta syarat jaminan. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Kamaluddin.