Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Seorang lelaki warga Bangladesh akan mengetahui hukumannya pada 28 Disember ini setelah mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Tinggi atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengalami masalah intelektual.
Mohd Shab Ali, 39, berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan minimum 12 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman mendedahkan di mahkamah perbuatan defendan terbongkar semasa datuk remaja perempuan itu mencarinya di sebuah rumah di Kampung Sengkurong untuk menghantarnya ke sekolah pada 14 Julai.
Bagaimanapun, kelibat cucunya tidak kelihatan di dalam rumah dan mula mencarinya di luar, akan tetapi terserempak dengan cucunya yang berpakaian seragam sekolah, terbaring di perkarangan rumah bersama defendan dalam keadaan tidak senonoh.
Dalam rasa terkejut, datuk mangsa terus mendapatkan bantuan daripada pembantu rumahnya menyebabkan defendan cemas dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Datuk mangsa menghubungi bapa mangsa iaitu menantunya untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Ibu bapa mangsa pulang ke rumah tidak lama kemudian dan memeriksanya dan terus membuat laporan polis pada hari sama.
Defendan kemudian ditahan pada 22 Julai.
Siasatan polis mendapati defendan sedang bekerja untuk mengutip sampah dari rumah ke rumah dan tempat lainnya di sepanjang simpang tersebut pada hari itu.
Defendan mengaku mengarahkan mangsa untuk berbaring di atas tanah dan merogolnya sebelum perbuatannya tertangkap oleh datuk mangsa.
Polis juga mendapati defendan telah berhubung dengan mangsa dengan memberikan nombor telefon bimbit kepadanya.
Mangsa mengenal pasti defendan sebagai pengutip sampah di rumah mereka, telah melihatnya beberapa kali dan pada satu ketika, defendan pernah merabanya tetapi tidak memberitahu sesiapa mengenainya sebelum ini.
Pemeriksaan perubatan yang dilakukan ke atas mangsa pada hari yang sama menunjukkan adanya bukti dikaitkan dengan rogol.
Mangsa juga telah disahkan mengalami masalah intelektual dan kecelaruan pembelajaran sederhana.
Pihak pendakwaan telah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat demi kepentingan awam, dengan memetik faktor yang memburukkan kes termasuk umur mangsa yang masih muda ketika kesalahan itu dilakukan, kecacatan mentalnya dan tindakan defendan yang dilakukan di siang hari.
Pesuruhjaya Kehakiman Haji Abdullah Soefri POKSMDSP Haji Abidin akan mempertimbangkan hukuman yang setimpal ke atas defendan.