Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun bakal mengetahui nasibnya pada 27 Oktober depan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan terhadap pertuduhan menceroboh dan menyimpan harta curi.
Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud memberitahu mahkamah bahawa pada 21 April yang lalu, defendan, Mohd Fadillah bin Haji Moslim telah menghubungi rakannya untuk meminjam sebuah kereta dan bertemu di sebuah kedai di Ban 3, Kilanas, di mana rakannya kemudian menunjukkan defendan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) dan memberitahu defendan bahawa dia boleh membawa pulang kereta tersebut. Tertuduh mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa kereta berkenaan merupakan sebuah kereta curi. Walau bagaimanapun, ketika itu dia sangat memerlukan kereta dan akhirnya terdorong untuk memandunya.
Kemudian pada 22 April, kira-kira pukul 4:15 pagi, defendan telah memandu kereta berkenaan di kawasan Jalan Junjongan, Kampung Lumapas, kemudiannya kehabisan minyak, lalu meletakkannya di depan Sub-Pejabat Jabatan Kerja Raya, Zon 7, Lumapas.
Beliau kemudiannya memasuki kawasan sub-pejabat dengan membuka pagar utama. Apabila memasuki kompleks itu, tertuduh melihat sebuah bilik dengan pintu yang tidak berkunci dan memasukinya. Tertuduh kemudiannya melihat dua mesin pemotong rumput dan dua bekas yang mengandungi minyak lantas mencurinya dan menggunakan minyak berkenaan untuk mengisi minyak kereta curi itu. Tertuduh sekali lagi memasuki bilik berkenaan dan bertindak mencuri mesin pemotong rumput sebelum melarikan diri. Pada hari yang sama, terdakwa bertemu dengan kawannya dan memberitahu kawannya untuk mencari pembeli bagi mesin pemotong rumput yang dicurinya. Rakannya kemudian secara sukarela membantunya menjual salah satu mesin berkenaan kepada orang lain. Siasatan polis akhirnya membawa kepada penahanan defendan.
Siasatan polis mendedahkan kereta berkenaan telah dilaporkan hilang dan beliau mengaku menyimpan kenderaan yang dicuri itu dan mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa ia merupakan harta yang dicuri.
Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli sedang mempertimbangkan hukuman yang sewajarnya. Sementara itu pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin dan Timbalan Pendakwa Raya Sabrina.