Mengaku salah langgar QO, gagal imbas kod QR

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 22 tahun telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas kesalahan melanggar Perintah Kuarantin (QO), gagal mengimbas kod QR BruHealth apabila memasuki premis dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan.

Ini merupakan pendakwaan pertama bagi kesalahan melanggar QO yang dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, Penggal 204.

Yuda Prayoga berdepan hukuman denda tidak melebihi $10,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi dalam keterangan ringkasnya menyatakan bahawa tertuduh dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai orang yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dan seterusnya menjalani ujian swab. 

Pada 21 Ogos, tertuduh telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa dia positif COVID-19 dan diarahkan untuk menjalani pengasingan diri serta menjalani kuarantin di tempat kediamannya hingga 6 September. Bagaimanapun, pada 3 September, tertuduh meninggalkan kediamannya dan berjalan ke sebuah kedai berdekatan. 

Di kedai berkenaan, tertuduh gagal membuat imbasan ketika memasuki premis itu dan tidak menulis butirannya ke dalam buku nota yang diletakkan di depan pintu masuk kedai tersebut. 

Tertuduh berada di dalam kedai tersebut kira-kira 10 minit di mana terdapat juga orang ramai.

Makluman daripada orang ramai membawa kepada penangkapan tertuduh oleh Pasukan Polis Diraja Brunei.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menangguhkan kes sehingga 9 Oktober depan bagi menentukan hukuman sesuai.