Mengaku tidak bersalah menyerang dan rosak harta

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Seorang lelaki yang berdepan lapan pertuduhan menyerang dan menyebabkan kerosakan harta benda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini.

Muhammad Izzat bin Haji Said, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Kamaliah binti Haji Ibrahim. Tertuduh diberkas polis kerana menyebabkan kerosakan ke atas lima kenderaan yang diletakkan di kawasan komersil Kiulap pada 22 November 2019.

Sebelum pengakuan tertuduh diambil, Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali memaklumkan mahkamah bahawa laporan pemeriksaan mental yang diterima dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) mendapati tertuduh layak dibicarakan.

Semasa kejadian, tertuduh berkelakuan waras ketika melakukan kesalahan itu. Tarikh perbicaraan tertuduh akan ditentukan pada 19 Disember 2019.