Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Mengalinga sejarah pupuk, kenali asal usul Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setiap negara mahu pun bangsa sememangnya membangun daripada hasil sejarahnya yang tersendiri yang diwarnai dengan peristiwa suka dan duka yang pastinya memiliki nilai-nilai pengajaran dan pengalaman serta nilai-nilai murni yang begitu berharga jika kita benar-benar memahaminya.

    Maka sewajarnya generasi muda bermula daripada peringkat kanak-kanak lagi perlu dibangunkan minda dan jiwa mereka dengan pengetahuan sejarah dan warisan anak bangsa dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi dalam kita meniti cabaran dunia di era globalisasi ini.

    “Oleh itu, sentiasa mengalinga atau peduli akan sejarah negara adalah satu perkara yang perlu disemai dalam diri kita termasuklah dalam membesarkan generasi muda agar mereka mengetahui asal-usul mereka menerusi pengetahuan sejarah, itulah matlamat tulus kami dalam menanai amanah di Pusat Sejarah Brunei,” ujar Pengarang Kanan, Bahagian Penerbitan dan Pemasaran, Pusat Sejarah Brunei, Dayang Siti Nadhrah binti Norzelan, semasa ditemui penulis ketika berlangsungnya Aktiviti Mengalinga Sejarah di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei pada musim cuti penggal persekolahan lalu.

    Aktiviti yang dimeriahkan oleh seramai 15 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak dan remaja itu merupakan anjuran Pusat Sejarah Brunei melalui Bahagian Penerbitan dan Pemasaran.

    Adapun aktiviti berkenaan mengandungi tiga aktiviti iaitu Tayangan Video dan Kuiz Cerita Bergambar Sejarah Brunei; Kuiz Interaktif Sejarah Brunei; dan Teka dan Padan.

    Kenangan terindah buat 15 orang peserta bergambar ramai bersama para pegawai dan kakitangan Pusat Sejarah Brunei setelah berakhirnya Aktiviti Mengalinga Sejarah.
    Dayang Siti Nadhrah ditemui penulis semasa acara berkenaan.
    Dayang Nurussyakirah semasa menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.
    ATAS & BAWAH: Aktiviti Mengalinga Sejarah mengandungi tiga aktiviti iaitu Tayangan Video dan Kuiz Cerita Bergambar Sejarah Brunei; Kuiz Interaktif Sejarah Brunei; dan Teka dan Padan.

    Setiap peserta akan diberikan satu slip penyertaan aktiviti yang memaparkan ruangan cop bagi ketiga-tiga aktiviti yang disediakan di mana mereka dikehendaki untuk menyertai dan menyelesaikan ketiga-tiga aktiviti yang disediakan. Peserta boleh memilih aktiviti yang hendak disertai terlebih dahulu dan tidak perlu mengikut susunan dalam slip penyertaan.

    Hanya aktiviti Teka dan Padan perlu diselesaikan dalam masa dua minit. Bagi setiap penyertaan aktiviti yang berjaya, slip penyertaan peserta berkenaan akan dicop oleh penyelaras setiap aktiviti sebelum dikehendaki untuk menyerahkan slip penyertaan mereka yang telah dicop sepenuhnya kepada penyelaras hadiah untuk proses pemilihan pemenang. Hadir menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada tiga orang pemenang dan para peserta bagi aktiviti terakhir bersempena dengan program aktiviti cuti sekolah penggal kedua ini ialah Pegawai Sejarah, Pusat Sejarah Brunei, Dayang Nurussyakirah binti Abdul Wahab.

    Tempat pertama disandang oleh Dayangku Effa Shafia binti Pengiran Mohd Alinoor diikuti dengan Dayang Nurfatin Munawwarah binti Haji Halus di tempat kedua dan tempat ketiga diperolehi oleh Dayangku Naurah Syifa binti Pengiran Haji Abdul Rahman.

    Aktiviti berkenaan adalah sebahagian daripada Program Aktiviti Cuti Sekolah yang merupakan aktiviti tahunan Pusat Sejarah Brunei yang dikendalikan oleh Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran, dengan melibatkan semua bahagian di Pusat Sejarah Brunei.

    Pada tahun ini, dengan bertemakan ‘Sayangi Sejarah Kitani’, Program Aktiviti Cuti Sekolah mengungkayah dan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik dengan menggunakan pelbagai kaedah permainan atau aplikasi menarik sesuai trend pada masa kini.

    Antara aktiviti yang telah dilaksanakan pada hari-hari sebelumnya ialah Kelas Celik Sejarah, Maritah Mewarna Tulisan Jawi, Tik Tok Sejarah, dan Apakan Tuuu?

    Adapun objektif program berkenaan sebagai usaha tulus bagi menyokong dan mendukung musim cuti persekolahan di negara ini dengan pengisian aktiviti yang berbentuk pendidikan bersumberkan bahan-bahan sejarah dan warisan.

    Di samping itu, ia juga dilaksanakan sebagai pendedahan dan memupuk minat orang ramai khususnya golongan belia dan kanak-kanak tentang pentingnya mengetahui sejarah Brunei.

    Dayang Siti Nadhrah turut menaruh harapan di akhir pertemuan bahawa para ibu bapa atau penjaga untuk terus sama-sama meningkatkan usaha menarik minat anak-anak mereka untuk mendalami nilai-nilai sejarah dan warisan bangsa terutamanya dalam memanfaatkan masa terluang dengan sebaik-baiknya terutamanya dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Sejarah Brunei pada masa akan datang.

    “Apa yang pasti aktiviti sebegini pastinya bukan hanya untuk menambah pengetahuan sejarah mereka bahkan juga ia juga mampu mewujudkan jalinan kekeluargaan antara ibu bapa atau penjaga dan anak-anak mahu pun ikatan silaturahim antara mereka yang baharu mengenali satu sama lain dengan penuh keceriaan,” tambahnya lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...