KUALA LUMPUR – Dalam kalangan penggiat automotif Malaysia, bahang teka-teki mengenai identiti rakan strategik asing (FSP) Proton dan sama ada perjanjian berkaitan sudah dimuktamadkan, terus ketara.
Sejak usaha mengemukakan bidaan ditutup lebih dua bulan lepas, perbincangan demi perbincangan secara tertutup dalam usaha mengenggam status sebagai FSP Proton terus diadakan, biarpun ada ketikanya usaha itu turut diselubungi ketidaktentuan.
Salah satu syarikat yang dikenalpasti sebagai pembida, Zhejiang Geely Holding Group atau Geely dari China, telah memaklumkan media asing sebanyak dua kali bahawa ia menarik diri daripada rundingan dengan syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd, namun kemudiannya mengakui masih menjadi antara pesaing merebut Proton.
Pemerhati industri menyifatkan, ibarat ‘kisah cinta’ putus dan kemudiannya bertaut semula yang melibatkan Geely hanya membuktikan perebutan penting dan getir sedang berlangsung dan biarpun tanpa sebarang publisiti, rundingan dengan beberapa calon FSP kini memasuki tahap perbincangan serius.
Turut sama terbabit dalam persaingan itu sejak tamatnya tarikh akhir bagi mengemukakan bidaan pada 15 Februari lepas adalah syarikat Perancis, PSA Group yang juga pemilik Peugeot, Citroen dan DS serta terbaharu, Opel dan Vauxhall selain satu lagi syarikat, Zhejiang Geely iaitu pemilik kenderaan Sweden terkemuka, Volvo dan pengeluar teksi Britain, The London Taxi Company.


Kalangan pemerhati dan penganalisis pasaran berkata, ada kemungkinan ‘penyatuan’ Proton dengan FSP bakal berlaku dan dikatakan lebih bermotifkan keuntungan berbanding butiran dan kesukaran demi memastikan kejayaannya usaha berkenaan.
Tidak kurang pula ada yang berkata sebarang keputusan itu lebih bersifat komersial. Buktinya, salah satu pembida iaitu Ketua Eksekutif Kumpulan PSA, Carlos Tavares baru-baru ini membuat kenyataan bahawa ‘penjualan Proton kepada satu pembida akan diumumkan’.
Tavares turut mengakui PSA bukanlah satu-satunya pihak terbabit dalam usaha memiliki Proton dan ‘pihak berkuasa Malaysia berkata keputusan itu akan dibuat pada suku kedua 2017 dan ini bermakna satu pengumuman akan dimaklumkan paling akhir sebelum penghujung Jun’.
Proton menjadi tumpuan terbaharu PSA dalam usaha syarikat itu mengisi jurang besar membabitkan strateginya di rantau ASEAN.
PSA Group yang juga pengeluar auto kedua terbesar Eropah, merancang untuk membuka kilang automotif baharu di Indonesia dengan sasaran pengeluaran antara 300,000 hingga 500,000 unit kenderaan setahun bagi jualan ke pasaran 10 negara ASEAN yang sememangnya berkembang pesat.
Malah, PSA juga merancang untuk mewujudkan sebuah kilang untuk pasarannya di Asia Tenggara dan meninjau lokasi sama ada di Indonesia, Thailand atau Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran Eropah yang lebih mencabar dan perlahan.
Pelan itu antara lainnya perlu menimbangkan kehadiran rakan tempatan untuk membantu PSA mengelak apa yang dikenali sebagai ‘kesilapan pemula.’
Pendekatan membuka kilang baharu itu akan menelan kos sekitar AS$2 bilion dan memakan masa antara tiga hingga lima tahun kerana melibatkan aspek seperti keperluan membeli tanah yang luas, pembinaan kilang, melatih ribuan pekerja dari peringkat awal serta mewujudkan keseluruhan ekosistem vendor, logistik dan sebagainya.
Para penganalisis berkata kesukaran membuka kilang pengeluaran auto yang baharu pastinya berbaloi jika tiada sebarang cara atau saluran lain untuk bertapak kukuh dalam pasaran ASEAN yang pesat.
Dalam pada itu, kunci masa depan Proton pula terletak kepada setiap alasan bagi langkahnya mencari FSP iaitu bagi mempertingkatkan aspek teknologinya, asas modal, penyelidikan dan pembangunan serta perubahan segera bagi model kenderaannya.
Pengeluar kereta itu sememangnya mempunyai kekuatan dan kemampuan dan menerusi kehadiran rakan yang berwibawa dan mampu menawarkan aspek teknologi, keupayaan serta pasaran baharu pastinya dapat memantapkan Proton sebagai satu jenama yang disegani.
“Atas alasan ini, penilaian terhadap pembida itu perlu dilaksanakan secara teliti. Proton dan bakal FSP berkenaan perlu mampu membentuk sinergi bagi memastikan kejayaan usaha sama ini,” kata DRB-Hicom menerusi satu kenyataan, bulan lepas.
Ini akan mengubah persamaan dalam keseluruhan pasaran auto ASEAN memandangkan Proton merupakan satu-satunya pengeluar lengkap auto dalam semua kumpulan di rantau berkenaan.
Proton memiliki kelebihan iaitu pengalaman selama 30 tahun dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, merekabentuk, penjualan dan pengedaran kereta serta perkhidmatan selepas jualan.
Syarikat itu juga dilengkapi kekuatan dari segi ekosistem vendor dan vendor pembekal.
Malaysia pula memiliki industri pengeluaran yang unik dan tidak dimiliki negara ASEAN lainnya yang sekali gus menjadikan Proton sebagai sasaran yang bernilai.
Justeru, baik bagi Geely dan PSA, kesempatan untuk menyertai rundingan bagi memiliki kepentingan Proton merupakan peluang sekali seumur hidup untuk kedua-dua pembida berkenaan.
Seandainya, atas apa juga alasan, mereka ketinggalan dalam persaingan ini, kedua-dua syarikat itu perlu membayar harga tinggi pada masa depan apabila Proton terlepas ke tangan pihak lain seperti General Motors atau Volkswagen dan kemungkinan Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) dari China.
Mereka semestinya berada dalam kedudukan untuk menggunakan Proton bagi menghalang pertumbuhan Geely dan PSA dalam lingkungan ASEAN.
Mengambil kira usaha penggabungan berterusan dalam industri automotif di peringkat global, Proton perlu membuat pilihan untuk menyertai kumpulan automotif besar dan berskala global.
Bagi Geely misalnya, biarpun memiliki jenama kukuh Eropah iaitu Volvo namun ia tidak memiliki sebarang kemudahan pengeluaran di ASEAN.
Ia mungkin kukuh di China namun lemah di ASEAN dan sekali lagi, Proton dilihat sebagai pelengkap baginya di ASEAN.
Malah, ASEAN juga beperanan sebagai pasaran auto terkemuka yang berkembang pesat di dunia.
Buktinya, bersandarkan bilangan penduduknya seramai 600 juta orang, jualan kenderaan di rantau itu meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada 947,241 unit pada suku keempat 2016 berbanding 904,504 unit bagi tempoh sama tahun sebelumnya sebagaimana dilaporkan AsiaMotorBusiness.com.
Bagi Geely mahupun PSA, ASEAN merupakan peluang untuk mengukuhkan kehadiran mereka dari segi geografi, sekali gus menjadikan Proton aset yang perlu dimiliki dan merupakan kesempatan yang tidak boleh dilepaskan.
Proton adalah satu-satunya pengeluar kereta lengkap di kawasan ini dan Malaysia pula memiliki aset perindustrian yang unik yang tidak mungkin dapat bertahan jika menumpukan pasaran domestik yang kecil sebaliknya dapat memainkan peranan penting sebagai peneraju di ASEAN daripada kumpulan auto global yang lebih besar.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga berpandangan yang menjurus kepada usaha melonjakkan pengembangan Proton di peringkat rantau apabila beliau mengutarakan keperluan Proton mendapatkan FSP.
Hasrat Perdana Menteri itu dikongsi sewaktu beliau mengumumkan pemberian pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton untuk dibayar kepada pihak vendor.
Apa yang Proton tawarkan ketika ini adalah peluang bernilai untuk industri automotif dan FSP terpilih memanfaatkan serta menembusi segmen pasaran ASEAN dengan penduduk seramai 600 juta orang dan terus berkembang.
Kalangan pembida itu turut menyedari hakikat ini dan perlu meletakkan wang, syarat serta janji sebagai tawaran merebut Proton menjadi bakal ‘pasangan’ mereka.
Persoalannya, syarikat manakah yang benar-benar dapat menilai Proton dan bersedia menjalin kerjasama bagi tempoh jangka panjang untuk membolehkan Proton membuat pilihan sama ada memandang ke timur iaitu Geely atau sebaliknya ke barat dengan memilih PSA? – Bernama