Mengapa perlu ego?

Baru-baru ini penulis ada terbaca satu hantaran di laman media sosial Facebook tentang orang ramai yang tidak memberikan kerjasama kepada pekerja yang mengambil suhu badan sebelum memasuki kedai.

Di dalam hantaran itu, si pengadu menyatakan ramai pelanggan tidak mengikut prosedur yang diarahkan oleh kerajaan sebelum memasuki kedai. Ramai pelanggan yang tidak mengendahkan pengambilan suhu, malah ada yang lari mengelakkan diri diperiksa suhu badan. Ada juga yang hanya mengunjuk tangan untuk diperiksa suhu melalui di sana yang kononnya pernah suatu ketika tular tentang kesan jika memeriksa melalui dahi.

Apa yang mengejutkan lagi, pengadu menyatakan bukan hanya tidak diberikan kerjasama, malah ada pelanggan yang meninggikan suara dan memaki hamun mereka yang bertugas. Sehinggakan ada yang mahu menyaman mereka kerana menjalankan pemeriksaan suhu badan.

Pelik…Kenapa anda perlu berdegil untuk diperiksa suhu badan? Adakah ia memudaratkan? Adakah ia perlu mengambil masa yang lama dan membuang masa anda? Setahu saya, tidak sampai lima minit pun sudah selesai jika tidak ada barisan yang panjang dan tidak menyakitkan. Permasalahan di sini adalah ego dan pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan tentang orang lain. Mereka yang mengambil suhu badan merupakan tugasan yang diberikan kepada mereka oleh pihak atasan. Dalam masa yang sama, pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod BruHealth dan menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan merupakan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Semua itu bukan sekadar untuk suka-suka. Memang tidak dinafikan negara kita tiada kes baharu yang dicatatkan meskipun negara kita masih di bawah ancaman virus. Tapi kita sebagai masyarakat perlu sedar, peka dan bersiap sedia sama-sama membendung penularan wabak ini lagi. Bukan berkeras hati, degil dan ego mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan orang lain dan mempersoalkan tugasan yang diberikan kepada pekerja yang bertugas.

Dalam masa yang sama, penulis perhatikan ada kedai langsung tidak memeriksa suhu badan pelanggan dan hanya mengharapkan pengimbasan BruHealth.

Malah ada sesetengah kedai, meletakkan alat pemeriksa suhu di meja depan mereka dan mengharapkan pelanggan sendiri memeriksa suhu badan. Hal ini janganlah dipandang ringan kerana ia demi keselamatan bersama.

Adi Zahrin