Mengebumikan mayat, bagaimanakah caranya?

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri 2

Bilakah waktu menguburkan?

Boleh menguburkan pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam dan waktu-waktu yang makruh mengerjakan sembahyang. Namun yang lebih utama ialah pada waktu siang.

Meletakkan batu atau kayu atas kubur

Mengenai perkara ini, Rasulullah SAW pernah meletakkan batu atau kayu pada sisi kepala kubur ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu ‘anhu. Lalu Baginda bersabda yang maksudnya:

“Akan diketahuilah dengannya (batu atau kayu sebagai tanda) bahawa ia adalah kubur saudaraku, dan akan dikebumikan padanya sesiapa yang meninggal daripada keluargaku.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Namun memberi tanda dengan mengapuri atau mewarnakan putih dengan kapur atau membuat binaan dan tulisan hukumnya adalah makruh.

Hukum menziarahi kubur

Sunat bagi kaum lelaki menziarahi kubur kerana ziarah kubur itu akan mengingatkan kita pada kematian. Sementara bagi kaum perempuan hukumnya makruh kerana mereka kurang sabar dan mudah merasa sedih.

Sunat berdiri secara beramai-ramai atau berjemaah berhampiran kubur mayat selepas urusan menguburkan mayat itu selesai untuk memohon ketetapan dan keampunan bagi si mati. – Gambar hiasan
Haram hukumnya mendirikan sebarang binaan di atas perkuburan orang awam, sama ada berupa atap, kubah, rumah dan sebagainya. – Gambar hiasan

Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya: “(Dulu) aku melarang kamu dari menziarahi kubur namun sekarang berziarahlah.” (Hadis riwayat Muslim)

Sunat bagi orang yang menziarahi kubur atau lalu di tanah perkuburan apabila sampai di tanah perkuburan mengucapkan salam dan berdoa. Namun adalah afdal berdoa sepertimana doa Rasullullah SAW yang maksudnya: “Selamat sejahtera ke atas kaum yang beriman, dan kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu.”

Beberapa perkara yang berkaitan semasa atau selepas menguburkan mayat.

Duduk dan tidur

Duduk dan tidur di atas kuburan hukumnya makruh melainkan dalam keadaan darurat.

Namun jika berlalu urusan pengkebumian itu dalam tempoh masa yang lama sehingga diyakini bahawa tidak ada bekas mayat itu kerana diyakini sudah hancur tidaklah mengapa.

Menangisi mayat

Harus menangisi orang yang akan meninggal, akan tetapi afdal tidak menangisinya kerana dia sedang dalam keadaan nazak.

Namun menangisinya selepas dikuburkan juga harus.

Ini jelas sepertimana dalam hadis Rasullullah SAW pernah dilihat menangis di kubur emak Baginda sehingga menangislah juga orang di sekeliling Baginda, kemudian para sahabat pun bertanya, lalu Baginda bersabda: Aku telah meminta izin kepada Allah Azza wa Jalla untuk meminta keampunan bagi ibuku, namun Allah tidak mengizinkan.

Tapi aku dizinkannya untuk menziarahinya maka kamu ziarahlah kubur kerana akan mengingatkan kamu kepada kematian.

Namun haram menangis sambil berteriak sehingga memukul-mukul dada atau seumpamanya seperti menarik rambut dan pakaian atau memukul pipi.

Mengucapkan takziah

Mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati adalah sunat.

Waktu mengucapkan takziah itu ialah dari setelah orang itu meninggal sehingga dikuburkan dan berlalu masanya selama tiga hari.

Dan makruh mengucapkan takziah itu selepas tiga hari kerana mengingatkan kembali kesedihan bagi ahli keluarga yang pada kebiasaannya hilang dalam tempoh tiga hari.

Memohon ketetapan bagi si mati

Sunat berdiri secara beramai-ramai atau berjemaah berhampiran kubur mayat selepas urusan menguburkan mayat itu selesai untuk memohon ketetapan dan keampunan bagi si mati, sepertimana Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Adalah Nabi SAW apabila telah selesai daripada menguburkan mayat, Baginda berdiri disisinya lalu Baginda bersabda: “Mohonlah keampunan bagi saudara kamu supaya ditetapkan (dalam menjawab persoalan dalam kubur) kerana sekarang dia disoal.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Menambak kubur

Jika tanah perkuburan itu tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan wakaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atas tanahnya dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah, rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentengi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekeliling kubur berkenaan).

Manakala jika tanah perkuburan itu tanah milik persendirian, maka adalah makruh sahaja didirikan sebarang binaan di atas kubur berkenaan.

Haram hukumnya mendirikan sebarang binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadis Jabir radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya: “Rasulullah SAW menegah dari dikapuri kubur (menandai kubur dengan kapur putih), dan diduduki di atasnya serta dibina binaan di atasnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang dari terjadinya tanah susur atau runtuh.

Perbuatan seumpama ini dibolehkan bagi menjaga maslahat tanah-tanah kubur itu.

Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan tanah perkuburan tanpa ada sebarang maslahat dan tujuan yang syar‘i, sedangkan orang-orang Islam yang lain juga adalah berhak menggunakan kubur berkenaan.

Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar ibn al-Khattab radhiallahu ‘anhu iaitu selepas beliau melihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya, maka beliau merobohkannya lalu berkata: “Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.”

Demikianlah dihuraikan bagaimana cara mengubur atau mengebumikan mayat.

Mudah-mudahan dengan penjelasan tersebut sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada semua.

Semua perkara yang kita lakukan khususnya yang berbentuk ibadat, sudah tentu ada cara yang telah diajarkan oleh Islam.

Hanya kita saja kadang-kadang yang kurang memberikan masa untuk mempelajarinya.

Jangan sampai kita melakukan ibadat yang salah dan bertentangan dengan syariat Islam.

Maka sudah setentunya dengan mendalami ilmu pengetahuan dalam apa pun jua bidang ugama kita akan terselamat daripada melakukan perkara yang salah.