Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani
Mula berniaga kuih jala secara kecil-kecilan dari rumahnya, kini Hajah Siti Rahimah terus mengusahakan pembuatan kuih tradisional Brunei itu sehingga ia diangkat menjadi produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) bagi Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Mentiri.
Beliau yang berasal dari Kampung Melilas, Daerah Belait ini memiliki kemahiran dalam pembuatan kuih jala yang diwarisi daripada ibunya di samping mengikut kursus yang disertai di Pusat Dakwah Islamiah.
Menurut Hajah Siti Rahimah, Kuih Jala Hijrah mula diperkenalkan nama baharunya itu setelah Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Hidup mengusulkan ke Jabatan Daerah Brunei dan Muara agar produk itu diangkat menjadi produk 1K1P.
Didorong dengan semangat dan kegigihan dalam menghasilkan salah satu kuih tradisional yang masih mengekalkan keasliannya, berkualiti dan hasil yang memberangsangkan itu, akhirnya produk kuih jalanya berjaya dijadikan produk 1K1P bagi MPK RPN Kampung Mentiri pada tahun 2012.
Kuih jala antara kuih tradisional yang masih lagi bertapak dan menjadi pilihan masyarakat di Brunei dan pelancong luar negara yang datang berkunjung ke negara ini.




Kerangupan kuih jala yang pecah di mulut itu, membuatkan ia menjadi pilihan untuk dinikmati bersama minuman kopi atau teh panas pada waktu petang.
Dengan arus kemodenan masa kini, banyak kuih-kuih tradisi sudah semakin lenyap malah ada yang telah dimodenkan sesuai mengikut peredaran zaman mengikut pembangunan bagi sesebuah negara itu.
Di negara Brunei sendiri, kuih-kuih tradisional masih lagi kekal dan mendapat tempat di hati masyarakat yang mana ia bukan saja menjadi pilihan untuk di kala minum petang malah kuih-kuih tradisi ini juga, pada masa ini sudah banyak dijadikan sebagai buah tangan bagi sesuatu acara atau majlis keramaian.
Kuih Jala Hijrah
Kuih Jala Hijrah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai malah ia juga dikenali dalam kalangan warga asing dan paling digemari oleh warga Singapura.
Menurut Hajah Siti Rahimah, pelbagai cara untuk mempromosi Kuih Jala Hijrah ini kepada orang ramai yang mana antaranya adalah dengan menyertai ekspo-ekspo dan juga melalui media sosial.
Cabaran yang dihadapi dalam perniagaan
Beliau turut berkongsi cabaran yang pernah dialami ketika peringkat permulaan pembuatannya yang dibuat secara persendirian daripada kerja-kerja mengadun tepung, menggoreng hingga ke kerja pembungkusan serta ada pada ketikanya ia merupakan satu kerja yang mencabar.
Katanya lagi, “Pernah pada peringkat permulaan semasa berpindah di ruang yang disediakan di Dewan Kemasyarakatan RPN Kampung Mentiri untuk kerja-kerja pembuatan Kuih Jala Hijrah ini, saya dan suami pulang sehingga jam 12 malam gara-gara untuk menyiapkan tempahan pelanggan.”
Oleh sebab tempahan yang semakin banyak, beliau terpaksa mencari anak tempatan yang benar-benar mahu bekerja dan berganding bahu menghasilkan kuih tradisi ini untuk terus wujud dan dikenali oleh generasi akan datang.
Dua orang pekerja tempatan yang ada pada masa ini telah dilatih cara membuat kuih jala dan kerja-kerja mereka sentiasa dipantau untuk memastikan hasil pembuatannya kemas dan cantik.
Sokongan dan tulang belakang
Semangat dan sokongan yang diberikan oleh suami merupakan punca utama untuk beliau meneruskan menghasilkan kuih tradisi iaitu Kuih Jala Hijrah berperisa klasik (asli).
Walaupun pada masa ini, banyak kuih-kuih tradisional dimodenkan hanya beberapa jenis sahaja kuih tradisional yang masih kekal keaslian, ia tidak menjadi penghalang untuk terus menghasilkan kuih jala yang asli atau lebih mudah dipanggil kuih tradisional klasik iaitu masih mengekalkan rekaan dan rasa yang asli.
Katanya lagi, “Semangat yang ditunjukkan oleh suami dalam membantu kerja-kerja pengendalian di samping pengurusan kewangan, penghantaran dan menghadiri perbincangan bersama pihak-pihak berkenaan, membuatkannya lebih berkeyakinan untuk terus maju dalam industri kuih tempatan.”
Bagi memperkenalkan lagi kuih itu kepada orang ramai dan mudah untuk didapatkan, ia telah dibekalkan ke beberapa pasar raya di negara ini selain menghantarnya ke kedai-kedai runcit yang sebilangannya menjadikan ia sebagai cenderahati atau buah tangan.
Mempelbagaikan perisa kuih jala
Sebelum ini, Kuih Jala Hijrah pernah dihasilkan dengan pelbagai perisa daripada yang klasik kepada santan dan pandan tetapi disebabkan hasilnya kurang memuaskan hati dan rupa yang kurang berkualiti, kedua-dua perisa terpaksa dihentikan.
Untuk tahun ini, kuih Jalan Hijrah berhasrat untuk mencuba lagi satu perisa, iaitu perisa coklat ke arah mempelbagaikan lagi perisa dalam kuih Jala Hijrah.
Beliau seterusnya berharap akan ramai belia muda tampil untuk mempelajari kuih-kuih tradisional Brunei yang lain supaya ia tidak hilang ditelan arus kemodenan.




























