Mengelupis cara tradisional meriahkan acara

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Pelbagai produk kraf tangan, masakan tradisi puak Kedayan dan demonstrasi ‘mengelupis’ telah memeriahkan acara Promosi Produk MPK dan Produk Warisan Kedayan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B bersama Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (Warisan) yang berlangsung di Jerudong, hari ini.

Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang ketika ditemu bual berkata, acara itu lebih kurang sama seperti acara Makan Tahun, namun bezanya kali ini, ia mengetengahkan makanan-makanan puak Kedayan kepada orang ramai.

“Ia diadakan adalah untuk memperkenalkan lebih lanjut tentang tatacara masakan dan makanan puak Kedayan kepada anak-anak muda terutama para belia, agar warisan tersebut tidak pupus ditelan zaman.

“Kali ini, sambutan bagi memasak makanan tradisi Kedayan agak menggalakkan apabila melihat kaum bapa dan ibu-ibu serta para belia menyertai cara-cara membuat kelupis yang dipanggil ‘mengelupis’, memasak, memucang-mucang dalam menghasilkannya,” ujar Awang Kamis.

Menurutnya lagi, acara seperti itu diadakan setiap setahun sekali dan dinamakan Makan Tahun yang sudah diwarisi turun temurun oleh puak Kedayan supaya anak-anak muda terus mengikuti jejak langkah warisan orang tua-tua dahulu.

Walaupun pada zaman sekarang sudah tersedia peralatan memasak yang moden, namun cara memasak tradisional Kedayan sangat berbeza, jika dulu, mengukus kelupis menggunakan ‘daram’ atau lebih dikenali sebagai tong besi, namun sekarang menggunakan panci besar.

“Hari ini apa yang kami tunjukkan ialah tatacara memasak atau mendadih menggunakan teknik lama iaitu dengan kawah atau perimpanan, menggunakan kayu api, menggunakan tiang yang dinamakan tungku dan dengan cara ini rasa masakan sedikit sebanyak tidak akan berubah sekali gus mengekal rasa ahli masakan Kedayan,” ujarnya.

Selain aktiviti membuat kelupis, acara tersebut turut dimeriahkan dengan pameran beg-beg yang dianyam menggunakan daun, sudu dari kayu khas, parang, tongkat dan banyak lagi produk kraf tangan hasil puak Kedayan.

Turut hadir selaku tetamu khas pada acara itu ialah Pegawai Tugas-tugas Khas selaku Ketua Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Warga emas Majlis Perundingan Kampung Jerudong B tekun menunjukkan cara ‘mengelupis’ bagi memeriahkan acara Promosi Produk MPK dan Produk Warisan Kedayan di Jerudong yang turut mengetengahkan pelbagai produk kraf tangan, masakan tradisi puak Kedayan melalui budaya memucang-mucang.
Kaum ibu memucang-mucang membungkus kelupis yang dipanggil ‘mengelupis’, semasa acara Promosi Produk MPK dan Produk Warisan Kedayan yang berlangsung di Jerudong, kelmarin.
Beg-beg yang dianyam menggunakan daun, sudu dari kayu khas, parang, tongkat dan banyak lagi produk kraf tangan hasil puak Kedayan juga dipamerkan.