Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengembalikan diri kepada fitrah

    SEBULAN Ramadan yang dilalui ibarat suatu perjalanan tarbiah dan rohaniah yang sewajarnya memberi kesan terhadap diri. Berpuasa secara zahir dan dihubungkan dengan batin bakal membawa keinsafan kepada diri bahawa kelahiran kita asalnya fitrah (ibarat kain putih) tercerna dengan pengalaman hidup yang pelbagai lalu wujud keinginan kembali semula ke fitrah.

    Manusia pada asasnya memiliki dua sifat iaitu nasiyya atau lupa dan ghaflah atau lalai seperti yang disebutkan oleh al-Quran. Kelupaan dan kelalaian perlukan peringatan. Melakukan puasa yang dibuat berulang-ulang ibarat peringatan Allah kepada kita supaya kita menjadi lebih manusiawi dalam niat dan amalan.

    Berlapar sepanjang hari, berbuka puasa tanda kesyukuran yang tinggi terhadap rezeki Allah, melakukan tarawih dan witir membayangkan rasa tunduk (sujud) kita kepada-Nya mengukuhkan jiwa kehambaan yang membenihkan sifat patuh, taat, akur dan tunduk terhadap titah perintah Allah supaya kita kembali dan kekal dalam fitrah diri.

    Al-Quran memberi asas mengapa kewajipan berpuasa itu berlaku dengan maksud supaya kita ini menjadi orang yang bertakwa. Selama ini mungkin kita lupa kepada Allah, lupa mengerjakan solat, lupa melakukan sedekah dan menyebabkan semangat hubbud dunya (cintakan dunia) menebal sedangkan roh yang kita miliki, udara yang kita sedut, rahmat dan nikmat Allah yang kita gunakan adalah milik Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

    Menghayati Ramadan ibarat mendekatkan diri dengan Allah supaya apa saja yang kita lakukan adalah dalam redha-Nya. Keredhaan Allah adalah sesuatu yang sangat penting bagi orang yang bertakwa. Ketakwaan menjadi paksi utama memberikan daya kawalan terhadap perlakuan dan amalan kita. Bila kita melakukan sesuatu dihubungkan dengan Allah perbuatan kita jadi terkawal dan peribadi kita menjadi contoh ikutan yang baik.

    Inilah paksi penting yang perlu ada bagi setiap Muslim supaya hubungan menegak dengan Allah berlaku dan hubungan merentas dengan manusia dan sistem terjadi. Al-Quran dalam Surah al-Hujurat ayat 13 menyebutkan karamah insan terhubung dengan jiwa muttaqin (inna aqramakum ‘indalla hi atqaqum). Jiwa muttaqin menjadi barometer atau kayu ukur mengenai gelagat dan watak manusia supaya ia kekal dalam fitrah.

    Kembalinya kita kepada fitrah adalah kembali kepada maksud kita diciptakan iaitu melakukan ibadah kepada-Nya. Konsep ibadah ini tidak saja sifatnya rohaniah tetapi juga amaliah yang menghubungkan pekerti dan watak. Inilah petanda keindahan Islam pada diri dan amalan yang kurang terlihat pada diri kita. Lalu keindahan Islam tidak terserlah dalam pekerti dan tingkah laku.

    Ramadan yang dilalui selama sebulan akhirnya membawa kita ke Aidilfitri (kemenangan). Jika Ramadan dilalui sebagai suatu perjalanan rohaniah dan amaliah dengan rasa keinsafan yang tinggi untuk kembali kepada jalan Allah, ia amat memberi makna kepada kehidupan kita.

    Manusia sering tercari-cari jalan yang patut diikuti supaya penyimpangan tidak berlaku. Mengembalikan diri dan akhirnya mengekalkan diri dalam keadaan fitrah adalah jawapan terbaik supaya makna diri dan makna kehidupan ditemui. Ramadan dan Aidilfitri yang diraikan dengan amal ibadah yang tulus dan ikhlas dan Aidilfitri dirayakan dengan rasa syukur yang tinggi, ziarah yang terjadi, takbir dan tahmid yang dilafazkan, ikatan silaturahim yang terbina menjadikan diri kita lebih manusiawi.

    Inilah jalan terbaik supaya kedekatan dengan Allah (taqarrub ilallah) terjadi dan jalan hidup kita terbimbing. Ramadan adalah madrasah hati dan nafsu supaya timbul keinsafan bahawa kita ada Allah dijadikan sandaran, kita ada al-Quran sebagai sumber rujukan dan kita ada sunnah rasul yang dijadikan sumber ikutan.

    Jika ini terjadi kebahagiaan sebenar dalam hidup akan dirasai. Iman dan takwa saling mengukuhkan. Dan itulah sebenarnya fitrah diri yang ingin dicari. Tanpa kembali kepada fitrah diri pedoman hidup akan tersasar, jalan hidup membimbing kita kepada kesesatan dan akhirnya meletakkan diri kita dalam keadaan yang rugi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda