Mengembangkan perniagaan kuih bahulu

TUARAN – Dengan bermodalkan RM100 tiga tahun lalu, kini kuih bahulu keluaran Kak Janiah terus dikenali ramai di daerah ini dan sekitarnya, bukan hanya kerana keenakan rasa makanan ringan itu, malah harganya juga berpatutan.

Kak Janiah atau nama sebenar Janiah Brahim, 55, mengusahakan perniagaan kecil membuat bahulu itu bersama anak gadisnya, Farahani Hamzah, 25, di kediaman me-reka di Kampung Tebobon, Menggatal sejak 2017.

Janiah yang bermula kosong, mempelajari kaedah membuat bahulu daripada rakan dan saudara mara mengakui ketiadaan modal menjadi kekangan utama sewaktu mula menceburi perusahaan itu.

“Saya bermula dengan modal kecil iaitu RM100 dengan hanya mampu menghasilkan 10 bungkus bahulu dan dijual kepada jiran kira-kira tiga tahun lalu. Selepas menempuh pelbagai cabaran termasuk ketiadaan modal berniaga, kini perusahaan kecil membuat kuih bahulu berjenama Kak Janiah berkembang secara sedikit demi sedikit,” katanya kepada Bernama.

Peralatan

Beliau berkata perubahan itu berlaku selepas mendapat pinjaman RM8,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sabah, yang digunakan membeli peralatan membuat bahulu dan dijadikan modal pusingan.

Janiah Brahim dan anaknya, Farahani Hamzah dari Kampung Tebobon, Menggatal, menunjukkan kuih bahulu yang mereka hasilkan sebagai produk perniagaan ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama

Janiah yang mempunyai pengalaman berniaga makanan dan kuih muih kecil-kecilan bertekad meneruskan perusahaan bahulu itu, walaupun menghadapi masalah modal demi kelangsungan hidup dan minat berniaga. “Saya bersyukur kerana selepas tiga tahun melalui pelbagai cabaran, akhirnya bahulu Kak Janiah sudah mula dikenali dan digemari ramai pelanggan di daerah ini dan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata selepas mendapat suntikan modal AIM, membolehkan lebih 20 bungkus bahulu Kak Janiah berupaya dipasarkan kepada pelanggan, yang sebahagian besarnya membuat tempahan menerusi dalam talian.

“Kami menerima tempah bahulu hampir setiap hari dan berusaha memenuhi setiap permintaan itu secepat mungkin untuk memberi keyakinan kepada pelanggan,” katanya. Bahulu Kak Janiah dijual RM5 sebungkus mengandungi 40 biji, manakala RM10 setiap 80 biji bersaiz sedarhana.

Bagi bahulu saiz besar pula dijual RM5 untuk 25 biji, manakala RM10 bagi 50 biji yang boleh ditempah menerusi talian.

Janiah mengakui sejak perusahaan bahulunya berkembangan maju, beliau tidak menghadapi masalah membuat pembayaran balik pinjaman kepada AIM.

Sehubungan dengan itu, beliau sangat berterima kasih kepada AIM kerana menyediakan kemudahan pinjaman kewangan yang mudah kelulusannya kepada peniaga kecil membiayai perusahaan mere-ka. – Bernama