Mengembara sambil mengenali flora

TUTONG, 16 SEPT – Seramai 24 orang belia Kampung Ukong dan beberapa ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong dengan kerjasama Biro Perekonomian Kampung Ukong telah mengadakan aktiviti mengembara sambil belajar untuk mengenali flora di kawasan Trek Nong Kajang di Kampung Ukong Tutong.

Aktiviti mengembara yang diketuai oleh Pengerusi Biro Belia, Awang Mohd Subhi bin Haji Julaihi itu antara lain bertujuan mendedahkan para belia dan beliawanis bagaimana memanfaatkan musim cuti persekolahan dengan sebaiknya seperti mengikuti aktiviti riadah sambil belajar.

Dalam acara tersebut, para belia telah mendaftarkan diri seawal 6 pagi. Seterusnya aktiviti dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti penyampaian taklimat oleh jurupandu dan fasilitator dari Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan juga beberapa aktiviti sampingan yang lain.

Turut hadir bagi memeriahkan lagi aktiviti berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung Ukong, Awang Muhammad Hakimi bin Abdullah Gampar dan Pengurus Trek Nong Kajang, Awang Zulkifli bin Mijar.

Fasilitator memberikan penerangan mengenai salah satu spesies pokok yang bernilai. – Gambar serahan bbkgu