Mengenali kehidupan ikan belitung

Oleh Raz AS

Ada yang menggelarnya sebagai Mahi-mahi. Ada pula yang mengenalinya sebagai Dorado atau Dolphin. Namun di negara kita, ia lebih dikenali sebagai ikan belitung.

Ikan belitung atau nama saintifiknya Coryphaena Hippurus merupakan ikan air masin daripada keluarga Coryphaenidae. Ikan ini boleh ditemui di perairan luar pantai atau laut terbuka di kawasan tropika, subtropika dan bersuhu sederhana di serata dunia.

Ikan belitung mempunyai badan yang nipis namun padat, panjang dan lebar terutama pada bahagian kepalanya. Ia mempunyai sirip dorsal yang memanjang daripada bahagian kepalanya sehingga mencecah hampir ke ekornya.

Sementara ikan belitung jantan mempunyai bonggolan yang ketara pada bahagian kepalanya, ikan belitung betina pula mempunyai bentuk kepala yang lebih membulat.

Ikan ini sangat senang untuk dikenal pasti meski dari jauh kerana warna badannya yang sangat menonjol dan lain daripada yang lain. Ia mempunyai warna badan yang terang berwarna neon kebiruan, hijau dan kuning. Ia selalunya akan berlegar berhampiran permukaan dalam kelompok yang besar atau kecil, terutama berhampiran dengan objek-objek terapung seperti kayu-kayan, rumpai dan lain-lain.

Ikan belitung dikatakan sebagai ikan yang paling cepat membesar di dunia. Ia boleh membesar sehingga lebih 20 kg dalam masa setahun sahaja. Walau bagaimanapun saiz ini sangat jarang ditemui, dengan berat kebiasaannya adalah 13kg ke bawah. Tumbesarannya yang sangat cepat ini dikaitkan dengan jangka hayatnya yang pendek, iaitu sekadar kira-kira lima tahun.

Meskipun begitu mengikut rekod dunia yang dicatatkan oleh persatuan IGFA, ikan belitung seberat 39.5kg atau 87lb telah berjaya ditangkap di Lautan Pasifik berdekatan Costa Rica pada tahun 1976.

Sesuai dengan nama lainnya iaitu Mahi-mahi, yang bermaksud ‘sangat kuat’ dalam Bahasa Hawaii, ikan belitung merupakan ikan palegik yang sangat agresif terutama ketika menyambar mangsanya. Tidak kiralah belitung yang bersaiz besar atau kecil, ikan ini akan terus melompat-lompat apabila terkena pancing yang dihulur dalam usahanya untuk melepaskan diri, memberikan pertarungan yang hebat kepada pemancing.

Selain itu ikan belitung mempunyai daya renangan pantas yang sangat tinggi. Kepantasan pecutannya boleh mencecah sehingga kelajuan 50 knot yang bersamaan dengan 92.6 kmsj atau 57.5 bsj. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ikan belitung dianggap sebagai game fish ideal yang menjadi buruan ramai kaki pancing rekreasi dan ditempatkan pada tangga ke-6 di antara 100 jenis game fish teratas di dunia.

Ikan belitung atau nama saintifiknya Coryphaena hippurus merupakan ikan air masin daripada keluarga Coryphaenidae. – Agensi
Ikan belitung dikatakan sebagai ikan yang paling cepat membesar di dunia, di mana ia boleh membesar sehingga lebih 20kg dalam masa setahun sahaja. – Agensi