Mengenali mekanisme drag pada reel pancing

Oleh Raz AS

Sistem drag yang terdapat pada sesuatu reel merupakan mekanisme yang dapat menghindarkan tali pancing terputus apabila mencapai beban maksimumnya dan membantu pemancing untuk meletihkan ikan dalam pertarungan dan seterusnya menewaskannya.

Mekanisme ini membolehkan spool berpusing dan mengeluarkan tali apabila ia ditarik melebihi daripada kekuatan drag. Semakin keras ‘setting’nya semakin sukar tali keluar dan begitu juga sebaliknya.

Kira-kira lapan tahun yang lalu, penulis masih ingat apabila seorang pemancing menanyakan soalan mengenai tali tangsi (monofilament) yang terdapat pada spinning reel Okuma Azul AZ80 penulis yang ketika itu sedang memancing di Pantai Jerudong. Penulis menjawab pertanyaannya dengan ringkas “Tomman Bigfoot 40lb.”

Si penanya soalan itu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memberitahu yang tali Berkley Trilene 80lb digunakannya berulang kali putus digasak ikan sejak awal pagi lagi. Penulis hanya buat-buat terkejut kerana bagi penulis soal pilih-memilih tali pancing ini tidak begitu penting dipersoalkan, hanya ikut kemahuan dan keselesaan seseorang pemancing itu menggunakannya.

Tali mono 40lb dengan ketebalan 0.38mm itu sudah cukup selesa bagi penulis untuk digunakan di kawasan tembok pemecah ombak, cukup lembut untuk membuat lontaran jauh, cukup nipis agar tali tidak mudah hanyut dibawa arus namun tidak sakit ditarik dengan tangan sekiranya tersangkut dan renggangannya pula sudah cukup untuk menyerap sentapan kuat daripada pelbagai spesies buruan ramai yang menghuni pesisir pantai kita.

Untuk setup drag mengikut standard, cukup dengan 25 peratus daripada kekuatan tali yang digunakan. – Agensi
Sistem drag yang terdapat pada sesuatu reel merupakan mekanisme yang dapat menghindarkan tali pancing terputus apabila mencapai beban maksimumnya. – Agensi

Tidak lama setelah itu batang pancing lelaki tersebut melentur hebat disambar ikan. Penulis memerhati pertarungannya bersama ikan yang entah tidak tahu apa spesiesnya. Belum lama pertarungan itu berlangsung, lelaki tersebut mengeluh panjang kerana sekali lagi dia tewas angkara tali putus. Apa yang penulis lihat semasa menjadi pemerhati meskipun joran lelaki itu melentur hebat namun reelnya tidak menjerit. Barulah penulis sedar bahawa ‘setting’ dragnya terlalu keras, namun penulis diamkan sahaja kerana takut dituduh memandai-mandai dan tidak mahu mengguris perasaannya.

Apa yang kita perlu sedari sebagai pemancing dan pengguna, tali pancing yang ada di pasaran tidak kiralah monofilament, fluorocarbon atau braided, meski disertakan dengan informasi kekuatan maksimumnya yang dicetak pada kotak atau spoolnya, namun ia hanyalah sebagai panduan sahaja. Kadang-kadang ada yang putus sebelum mencecah kekuatan maksimum, kadang-kadang pula ada yang melebihi.

Tambahan lagi ramai tidak menyedari bahawa terdapat titik-titik lemah pada tali pancing yang kita gunakan, disebabkan oleh pelbagai faktor, yang boleh menyebabkan tali lebih mudah terputus sebelum mencapai kekuatan sepatutnya. Antaranya adalah pada bahagian ikatan, tali luka, rapuh kerana sudah lama berhujan berpanas dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian selain sentiasa memeriksa tali pancing agar bebas daripada kecacatan yang ketara serta menukarnya sekurang-kurangnya setahun sekali, sistem drag yang di’setup’ dengan betul boleh mengurangkan risiko tali putus akibat lebih bebanan dan akibat faktor-faktor yang tidak kelihatan itu tadi.

Melainkan anda betul-betul sudah masak sepenuhnya dengan sistem drag dan kekuatan tali pancing pada reel anda, penulis lebih menggalakkan pemancing-pemancing di luar sana terutama pemancing baharu agar melakukan setup drag dengan betul tidak sekadar secara agak-agak sahaja.

Antara kelebihan sistem drag yang di’setting’ betul adalah anda tidak perlu ‘bermain-main’ dengan drag ketika bertarung kerana anda sudah tahu kekuatan drag anda jadi sekiranya tali ditarik keluar anda sudah boleh mengagak saiz ikan itu atau kekuatannya. Jadi meski ikan membuat pecutan deras anda tidak perlu risau tali putus digasak, hanya perlu gulung tali apabila spool berhenti berpusing. Drag bolehlah dikencangkan sedikit demi sedikit sekiranya tali hampir habis dilarikan dan ikan masih tidak menunjukkan tanda-tanda letih untuk tujuan ‘mencuri’ tali.

Cuba bayangkan ketika bertarung dengan ikan yang anda sangka sudah lemah dan sedia untuk dinaikkan. Atau ikan tersebut umpama ‘malas’ hanya berenang dengan lemah gemalai tidak kena dengan saiznya yang besar. Dengan penuh keyakinan drag anda kencangkan kononnya supaya lebih cepat naik. Tanpa disangka tiba-tiba sang ikan membuat pecutan torpedo umpama baru bangun daripada ‘tidur’. Anda mungkin tidak akan sempat mengendurkan semula drag kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Silap-silap hari bulan kita sendiri gigit jari melihat ikan di depan mata berenang pergi, lebih parah lagi rasanya jika kepergiannya membawa cenderahati berupa lure mahal kesayangan kita.

Untuk setup drag mengikut standard, cukup dengan 25 peratus daripada kekuatan tali yang digunakan. Misalannya jika menggunakan tali berkekuatan 20lb, tali akan keluar apabila ditarik dengan kekuatan 5lb. Mungkin kedengaran sedikit tetapi jika diambil kira dengan geseran (friction) yang terjadi di antara tali dengan ring joran dan air ia sudah memberikan tekanan yang kuat kepada sang ikan. Semakin jauh tali dilarikan semakin kuat tekanan itu. Jika tidak percaya cuba lepaskan tali pancing kosong panjang-panjang di belakang bot yang berjalan, setelah itu gulung atau tarik tali tersebut. Ia tidaklah seringan yang anda sangkakan.

Untuk mendapatkan kiraan yang tepat anda memerlukan alat timbangan tangan, timbangan digital lebih baik kerana lebih tepat, yang diikat pada hujung tali.

Kemudian dapatkan bantuan seseorang untuk mengangkat joran pada kedudukan 45 darjah atau untuk memegang timbangan itu. Tarik timbangan tersebut ke bawah sehingga mencecah 25 peratus kekuatan tali dan selaraskan drag agar tali mula keluar apabila mencecah angka tersebut. Manakala sekiranya tali perambut yang digunakan mempunyai kekuatan yang lebih lemah daripada tali pohon, sesuaikan setting drag anda untuk melindungi tali perambut tersebut.

Walau bagaimanapun, bergantung juga pada spesies buruan dan padang pancing, setting drag yang ringan sesuai untuk digunakan semasa memancing di kawasan perairan terbuka, sekiranya anda memburu spesies karang atau yang suka bersembunyi di celah-celah struktur seperti ikan kerapu atau ungah mungkin perlu mengetatkan lagi setting drag hingga ke 45 peratus.