Mengenali seniwati Dayang Sofia

Oleh Nurdiyanah R.

Gadis ayu didera bapa dan diselamatkan Sudin dalam filem terkenal hitam putih, Bujang Lapok pada tahun 1957, ternyata masih lagi anggun dan kecantikannya terserlah kali pertama penulis bertemu dengannya di kediamannya di Kampung Mata-Mata baru-baru ini.

Senyumannya sahaja membuatkan penulis terimbau watak lakonan mantap beliau yang bukan sahaja menjadi nostalgia golongan veteran, malah generasi kini tidak ketinggalan mengenalinya, apa lagi filem yang dilakonkan adalah filem malar segar (evergreen) yang tak jemu ditonton.

Seniwati itu, Dayang Chik binti Awang Rambli atau lebih dikenali dengan nama glamornya pada zaman 50-70an, Dayang Sofia memegang watak Dayang Sapiah dalam filem Bujang Lapok arahan seniman tersohor perfileman Melayu, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Mengimbau detik itu, Dayang Sofia mengatakan rezekinya bermula pada saat tidak disangka dan daripada filem tersebut, bintangnya bersinar dan mula menambat hati penggemar perfileman Melayu Klasik, bersama para seniman dan seniwati yang tersohor mewarnai karya-karya filem klasik yang malar segar dalam sanubari.

Mula meniti dunia perfileman Melayu

Dayang Sofia dilahirkan di Miri, Sarawak dan ayahnya berasal dari Brunei yang bekerja sebagai pegawai kastam yang ditugaskan di Miri, manakala ibunya adalah orang Sarawak.

Kecantikan dan keayuannya masih terserlah. Dayang Sofia merupakan salah seorang insan yang pernah mewarnai perfileman Melayu klasik pada tahun 1950an hingga 1970an, semasa ditemui di kediamannya yang terletak di Kampung Mata-Mata, baru-baru ini.
Biar musim bertukar ganti, namun dialah seorang seniwati Dayang Sofia yang pernah dikelilingi gemerlapan bintang bersama para pejuang seniman dan seniwati dalam karya-karya filem arahan seniman tersohor perfileman Melayu seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Jamil Sulong dan juga Omar Rojik yang pastinya tetap malar segar dalam sanubari penggemar perfileman Melayu klasik. – Gambar serahan Dayang Sofia
ATAS & BAWAH: Mula dikenali setelah membintangi filem Bujang Lapok sebagai Sapiah manakala dalam filem Tiga Abdul, insan ini pernah memegang watak sebagai Rafidah disusuli dengan beberapa filem lain antaranya Anak Pontianak, Seniman Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi, Mambang Moden, Sayang Si Buta dan Satu Titik di Garisan, begitulah gemerlapan bintang yang diketengahkan oleh Dayang Sofia sehingga berjaya memegang watak dalam 16 buah filem secara keseluruhannya. – Gambar serahan Dayang Sofia

Beliau berhijrah ke Singapura bersama ibunya setelah perpisahan ibu bapanya seterusnya mengikuti pendidikan secara formal di St. Hilda.

Setelah menamatkan pendidikan, seniwati ini bekerja sebagai setiausaha sebelum menerima tawaran mengikuti uji bakat lakonan daripada salah seorang sahabat, Mustafa Yassin selaku pengarah seni filem keluaran Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Rezeki berpihak kepada beliau di mana beliau telah digandingkan bersama Aziz Satar dalam filem Bujang Lapok.

Kini, beliau yang sudah berkahwin kali kedua dengan Pengiran Jamaluddin bin Pengiran Haji Yaakub, kembali menetap di negara ini semenjak 40 tahun lalu. Namun suami tercinta telah meninggalkan beliau buat selama-lamanya kerana penyakit kanser yang turut menjejaskan serba sedikit kesihatannya.

“Pertama kali bersemuka dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sememangnya begitu indah untuk dikenang dan perasaan ini sukar untuk dicurahkan dengan kata-kata.

“Meski masih merasa malu pada ketika itu, namun saya tetap berusaha untuk memainkan watak yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh, lebih-lebih lagi sebagai pencetus langkah dalam meraih impian dalam sama-sama mewarnai arena perfileman Melayu bersama para penggiat seni yang lain,” ujar Dayang Sofia yang kini semakin sihat dan menghabiskan waktunya menguruskan rumah tangga.

Perjuangan selama 16 tahun

Penglibatan Dayang Sofia mewarnai dunia perfileman Melayu klasik bermula tahun 1957 hingga 1973 di bawah Malay Film Production and Cathay – Keris Film Production di Jalan Ampas, Singapura. Selain memegang watak dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniwati ini juga pernah memegang beberapa peranan dalam filem arahan Jamil Sulong dan Omar Rojik.

Beliau pernah memegang watak pelakon utama dan sampingan dalam 16 buah filem yang dibintanginya.

Antara watak menyerlahkannya dalam dunia perfileman ialah sebagai Rafidah iaitu anak kedua Tuan Sadiq Segaraga dan isteri kepada Abdul Wahub dalam filem Tiga Abdul. Disusuli dengan beberapa buah filem lain antaranya Anak Pontianak, Seniman Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi dan Mambang Moden serta Sayang Si Buta.

“Dalam meniti dunia lakonan selama 16 tahun dahulu, semua artis memiliki jiwa lakonan yang kental untuk mencurahkan peranan masing-masing. Bekerja secara berkumpulan dengan mengamalkan perkongsian tip dan langkah-langkah terbaik, itulah yang kami semai dalam meniti liku-liku dunia perfileman demi ekspresi dan dialog lakonan yang terbaik. Itulah antara kebahagiaan yang kami rasai bersama,” katanya dengan nada penuh kesyukuran. Beliau meninggalkan dunia lakonan dalam filem terakhirnya, Satu Titik di Garisan pada tahun 1973.

Gelaran Dayang Sofia pemberian P. Ramlee

Apabila diajukan soalan mengenai keperibadian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dayang Sofia dengan nada penuh ketulusan menyatakan semua artis termasuk kru begitu hormat kepada beliau sehingga untuk duduk bersantai mereka tidak berani jika tidak dipanggil.

“Tidak pernah memarahi kami. Itulah hebatnya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mata hati kami.

“Namun jika beliau merasa kurang senang dengan lakonan kami, beliau akan mengarahkan kru untuk menutup cahaya lampu dan akan menyendiri selama 15 minit dan selepas itu semua akan baik-baik sahaja.

“Apa yang begitu istimewanya lagi, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang telah memberi nama gelaran Dayang Sofia ini kepada saya setelah memegang watak dalam Bujang Lapok,” tambahnya dengan nada keceriaan yang turut meminati seniman Jins Shamsuddin dan Aziz Jaafar serta seniwati Hasyimah Yon dan Dato Sarimah yang merupakan salah seorang sahabat karibnya.

$250 begitu besar nilainya

Mengimbas kembali nostalgia mengenai persiapan setiap lakonan, Dayang Sofiah menjelaskan bahawa pakaian dan solekan telah disediakan oleh pihak produksi dan jika mereka menggunakan koleksi pakaian peribadi, pihak produksi akan membayarnya.

“Kami bekerja secara kontrak dengan pihak produksi dan dibayar secara bulanan. Pada ketika itu, bayaran dikenakan kira-kira $250 yang sememangnya begitu besar nilainya untuk menampung kehidupan yang selesa,” jelasnya lagi yang turut berkongsi kenangan manis pernah menerima jemputan bagi persembahan nyanyian di Malaysia meliputi Kota Kinabalu, Sarawak dan juga Brunei serta Australia.

Jangan sesekali sombong

Beliau turut berkesempatan menasihati generasi muda yang memiliki minat dalam bidang lakonan untuk sentiasa menyemai komitmen, keghairahan dan juga dedikasi dalam memainkan peranan atau watak yang diberikan.

“Sentiasa menimba ilmu dan pengalaman. Jangan sombong dan sentiasa merendah diri, itulah kunci segalanya dan Insya-Allah lakonan kita akan sentiasa dihargai orang,” katanya dengan kerendahan hati semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.