Mengenali teknik ikatan San Diego Jam Knot

Oleh Raz AS

San Diego Jam Knot atau juga dikenali sebagai Reverse Clinch Knot dan Heiliger Knot merupakan teknik ikatan yang popular di kalangan pemancing ikan tuna di San Diego. Ia adalah teknik ikatan mudah dan cepat untuk dibuat ketika berada di padang pancing untuk menghubungkan tali pancing ke peralatan terminal dan mata kail, sesuai digunakan untuk pelbagai jenis tali pancing seperti monofilament, braided dan fluorocarbon.

Langkah-langkah untuk membuat ikatan San Diego Jam Knot adalah seperti berikut; pertama sekali masukkan hujung tali ke lubang mata kail.

Kemudian, lilitkan hujung tali tersebut pada lipatan tali yang terhasil daripada pangkal tali dan hujung tali bermula dari atas.

Ketika membuat lilitan pastikan ia tersusun rapi dan tidak bertindih. Buat sebanyak lima hingga enam kali lilitan bergantung pada ketebalan tali yang digunakan. Semakin tebal tali yang digunakan semakin kurang jumlah lilitan yang dibuat.

Setelah itu masukkan hujung tali pada lingkaran yang terhasil berdekatan lubang mata kail dan lingkaran yang terhasil ketika membuat lilitan pertama.

Untuk langkah seterusnya tahan mata kail dan tarik hujung tali dari arah bertentangan untuk menghasilkan ikatan. Setelah itu barulah pangkal tali ditarik bagi mengencangkan ikatan. Seperti ketika membuat ikatan lainnya pastikan tali dibasahkan terlebih dahulu agar tali tidak rosak. Lebihan tali bolehlah dipotong bagi mengemaskan ikatan. Selamat mencuba.

San Diego Jam Knot merupakan teknik ikatan mudah dan cepat untuk dibuat ketika berada di padang pancing untuk menghubungkan tali pancing ke peralatan terminal dan mata kail. – Agensi