Mengenang tragedi malang Kapal USS Salute

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan US Navy

Kira-kira 75 tahun yang lalu, sebuah kapal penyapu periuk api tentera laut Amerika Syarikat, USS Salute berada di Teluk Brunei sebagai sebahagian daripada sebuah Pasukan Petugas Bersama membuat persiapan bagi operasi pendaratan 9th Division Australia di Muara dan Labuan.

Malangnya pada kira-kira pukul 4 petang pada 7 Jun 1945, kapal USS Salute terlanggar periuk api dan karam pada 8 Jun sekitar tengah malam sekali gus mengorbankan sembilan orang pelayar tentera laut manakala pelayar yang lain di atas kapal berkenaan berjaya diselamatkan oleh kapal-kapal berhampiran.

Kapal USS Salute merupakan sebuah daripada 17 buah kapal penyapu periuk api tentera laut Amerika Syarikat yang ditugaskan untuk membersihkan periuk api di kawasan persisiran pantai di sekitar teluk berkenaan bagi membersihkan laluan bagi pendaratan anggota tentera Australia.

Pada masa ini, kapal karam berkenaan berada kira-kira 30 meter daripada permukaan dasar Teluk Brunei di mana ia disaluti oleh batu karang serta menjadi tempat perlindungan bagi ikan-ikan jenis tuna dan barakuda.

Salah seorang anak kapal yang terselamat dalam kejadian berkenaan, James J. Hughs dalam temu bual pada 2010 menceritakan mengenai kejadian kapal terlanggar periuk api pada petang malang itu.

Penyelam Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei dan Tentera Laut Amerika Syarikat semasa menyelam di lokasi kapal karam, USS Salute pada 16 November 2016.
Kapal USS Salute berlabuh di pelabuhan sebelum kejadian malang pada 7 Jun 1945.

“Saya merupakan pegawai dek dan nakhoda kapal berada di jambatan kapal (bridge) di mana satu-satunya yang boleh saya ingat adalah untuk mencari tempat mendarat,” katanya.

Beliau berkata tiba-tiba darah mengalir turun dari mukanya dan tidak pasti bagaimana ia boleh berlaku.

“Kami cuba untuk mengumpulkan semua orang dan bercadang untuk menunda kapal itu tetapi ia telah tenggelam ke dek utama. Kami tahu bahawa ia tidak dapat diselamatkan. Kami mempunyai kapal-kapal lain yang berada bersama membersihkan periuk api di mana mereka bergerak mendekati kapal kami dan menyelamatkan agar kami tidak perlu masuk ke dalam air,” jelasnya.

Beliau berkata periuk api itu terkena pada bahagian tengah bawah kapal berkenaan dan kesan letupan dapat dirasai di kesemua dek di mana sesiapa yang berada di kawasan berkenaan terkorban terutamanya yang berada di bilik enjin.

Pada hari yang malang itu, jelasnya, kapal mereka terkena periuk api itu pada kira-kira pukul 4 petang dan ia tenggelam pada kira-kira tengah malamnya.

Mengulas mengenai dengan kejadian itu, Charge’ d’Affairs, Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Scott Woodard berkata bahawa walaupun pertempuran di darat dan sebilangan besar yang terkorban dalam pertempuran di Brunei serta bahagian-bahagian lain di Borneo merupakan anggota tentera Australia, tentera Amerika Syarikat turut memberikan sumbangan dan sokongan yang penting serta berhadapan bahaya apabila lebih 40 orang anggota tentera Amerika Syarikat terkorban di udara, darat dan laut di Brunei.

Pengorbanan mereka, jelasnya membantu untuk memastikan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka bagi keamanan, kedaulatan dan perdagangan yang berkepentingan bersama.

Oleh itu, beliau bagi pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam berharap para penyelam yang menyelam ke kapal karam berkenaan untuk sentiasa menghormatinya sebagai tempat persemadian bagi pelaut-pelaut Amerika Syarikat yang terkorban.

Sementara itu, Alumni Akademik YSEALI, Awang Firdaus Ismail dipetik menyatakan ketika beliau melakukan Kursus Air Terbuka Lanjutan (Advance Open Water Course) di Brunei, kerosakan pada kapal karam berkenaan dapat dilihat dan ia adalah amat menarik.

Beliau berkata bahawa peluang untuk menyaksikan perkara seperti itu bagi para penyelam adalah amat jarang kerana ia lebih daripada hanya batu karang tetapi ia adalah sejarah tapak berkenaan.

Manakala itu pada 2017, Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam pada masa itu, Tuan Yang Terutama Craig Allen dipetik berkata bahawa beliau mendapat tahu bahawa penyelam tempatan telah berusaha untuk memberikan penghormatan kepada kapal USS Salute termasuk meletakan plak peringatan pada 2007 bagi pihak kru kapal dan keluarga mereka.

Beliau berkata lagi bahawa Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan persahabatan yang baik selama lebih 175 tahun sejak lawatan kapal, USS Constitution pada 1845.

Hubungan persahabatan itu, tambahnya lagi, dapat disaksikan menerusi pengorbanan sembilan orang pelaut pada hari yang malang berkenaan.

Salah satu acara penghormatan yang dilaksanakan, sebagai sebahagian daripada Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) 2016, penyelam-penyelam daripada Tentera Laut Diraja Brunei dan Tentera Laut Amerika Syarikat yang membuat penyelaman ke kapal karam bagi memberikan penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam kejadian kapal karam berkenaan dan untuk mengadakan penilaian asas keadaan kapal karam berkenaan.