Mengeratkan lagi hubungan persahabatan

Oleh Helen Thu

Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) tahun 1987 telah membawa 35 belia dari Negara Brunei Darussalam ke Jepun dan ASEAN, baru-baru ini.

Para peserta ketika itu telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan semula di salah sebuah negara peserta setiap lima tahun. Justeru, Majlis Pertemuan Semula telah berlangsung di Singapura bermula pada tahun 1992. Pertemuan pertama itu diteruskan dengan projek amal, Rainbow Love.

Sejak itu acara pertemuan semula terus diadakan mengikut tradisinya setiap lima tahun.

Pertemuan Semula 2007 dan 2012 telah berlangsung di Jepun dan menariknya, setiap peserta telah ber-kesempatan bertemu dengan Puteri Kiko Kawashima, yang juga peserta SSEAYP 1987.

Semasa pertemuan semula 2017 di Boracay, Filipina, para peserta telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan semula setiap tahun. Oleh itu, pada tahun berikutnya, acara tersebut diadakan di Bandung, Indonesia. Ketika di Bandung, Negara Brunei Darussalam telah dipilih untuk menjadi hos bagi tahun 2019.

Persiapan telah mula dilaksanakan dengan pembentukan jawatankuasa yang terdiri daripada peserta SSEAYP 1987.

Oleh yang demikian, beberapa mesyuarat diadakan bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar dalam menyambut rakan SSEAYP dari Jepun dan negara-negara ASEAN.

Dalam pertemuan di sini, rombongan telah dibawa ke beberapa buah tempat menarik di negara ini seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara dan Taman Mahkota Jubli Emas.

Rombongan merasa teruja apabila berkesempatan menaiki kapal persiaran selama dua jam melihat keindahan di persekitaran Sungai Brunei.

Bagi sesetengah peserta, pertemuan semula ini merupakan acara yang dinanti-nantikan kerana berpeluang untuk menemui rakan-rakan lama di mana hampir 32 tahun kemudian baharulah dapat bertemu semula. Beberapa orang peserta juga telah berkesempatan menemui keluarga angkat mereka.

Negara Brunei Darussalam menjadi hos untuk Majlis Pertemuan Semula bagi peserta SSEAYP tahun 1987.