Menggapai Husnul Khotimah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Lebih 400 orang menyertai Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah kali ke-5 anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan belia-belia masjid yang berlangsung di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, hari ini.

Hadir pada acara itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga selaku penghulu Mukim Berakas B; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Para peserta terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, para pegawai kerajaan, ahli-ahli persatuan belia, belia-belia masjid, belia-belia dari sektor kerajaan dan swasta serta penduduk sekitar Kampung Sungai Akar.

Atur cara dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar diikuti dengan ceramah dan tazkirah Subuh bertajuk ‘Menggapai Husnul Khotimah’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Nazirul Mubin bin Ahad.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama jemaah lainnya ketika mendengarkan tazkirah berkenaan.
Awang Nazirul Mubin ketika menyampaikan tazkirahnya.

Ceramah antara lain menekankan, pada hakikatnya kematian adalah satu ketentuan Allah SWT yang mana setiap manusia pasti akan mengalami kematian.

“Setiap yang hidup pasti ada kematian. Begitupun dengan yang bernyawa pasti akhirnya akan mengalami kematian. Yang bernyawa pasti akan kembali lagi pada Allah SWT. Tuhan yang menciptakan kita,” tegas Awang Naazirul Mubin.

Menurut beliau, kematian nanti hanya ada dua pengakhiran, iaitu secara husnul khotimah (akhir yang baik) dan suul khotimah (akhir yang buruk).

“Semuanya itu tergantung saat dicabut nyawa nanti, apakah kita sedang berbuat kebaikan atau malah keburukan. Jika kita memilih untuk meninggal secara husnul khotimah, ertinya kita harus mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapinya.

“Maka dari itu, semoga kita termasuk ke dalam orang-orang yang meninggal secara husnul khotimah, iaitu meninggal dengan salah satu cara yang menjadi tanda orang husnul khotimah,” tambahnya.

Tazkirah juga menerangkan tentang tanda-tanda orang yang meninggal secara husnul khotimah, antaranya meninggal dengan mengucapkan syahadat, meninggal dalam keadaan sedang berpeluh, meninggal pada malam Jumaat atau hari Jumaat, meninggal dalam keadaan mati syahid atau terbunuh di medan perang di jalan Allah SWT, mati di jalan Allah SWT dan mati di dua tempat iaitu di Madinah dan Mekah serta banyak lagi.

Majlis diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Imam Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar sebelum sembahyang Dhuha.