Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menghayati estetika warisan seni tarian tradisi

    Oleh Lenna N.B.

     

    BERLALU penuh sopan, kaki yang bertingting bergerak indah dengan tangan yang lemah gemalai. Bunga dihias di atas kepala, baju kurung tidak lupuk mempamerkan kemanisan sekumpulan gadis-gadis yang menari di atas pentas. Ada diantaranya, memakai kain tenunan, dihiasi dengan perhiasan emas di pinggang serta hujung jarinya berseri dengan inai berwarna merah.

    Sementara pasangannya lengkap berpakaian cara Melayu dan bersinjang. Tidak kurang juga, sekumpulan kanak-kanak yang melompat-lompat menepuk tempurung. Begitulah keindahan di sebalik tarian tradisi Brunei yang menggambarkan masyarakat Melayu yang kaya dengan khazanah keseniannya, serta kelembutan dan halus budi tata tertibnya.

    Baru-baru ini, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli telah mengelolakan Peringkat Akhir Pertandingan Tarian Kebangsaan Tahun 2017 Peringkat Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dan Maktab bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun. Pertandingan telah diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Baru Jabatan Penerangan, Airport Lama.

    Sebanyak empat buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah telah menyertai pertandingan tersebut, selepas berjaya dinilai dalam peringkat saringan.

    Menariknya, pertandingan tarian tersebut telah mengetengahkan Tarian Brunei Asli dan Tarian Etnik Brunei sekaligus membawa generasi kita kembali kepada kebudayaan dan kesenian warisan Brunei, sekaligus mencerminkan kehidupan tradisi Melayu Brunei yang mungkin sudah ditelan zaman.

    Hadir selaku tetamu kehormat adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Jabatan Majlis Mesyuarat Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Penghulu Mukim Gadong A, Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.
    Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi tampil juara bagi peringkat sekolah rendah.
    Sekolah Menengah Sultan Hassan tampil juara bagi peringkat sekolah menengah.

    Cinta kepada budaya Melayu

    Di samping bagi meraikan dan memeriahkan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, matlamat pertandingan tarian ini dianjurkan adalah untuk mendorong para pelajar dalam menghayati sebalik keindahan seni tari Brunei yang diwarisi sejak turun-temurun.

    Melalui penghayatan itu, secara tidak langsung tertanamlah nilai-nilai murni dan budi pekerti yang kaya dengan ciri-ciri keMelayuan dan KeBruneian.

    Seperti khabar nenek moyang kita, bahawa betapa orang Melayu Brunei itu kaya dengan sikap sopan-santunnya, halus budi pekertinya, saling hormat-menghormati, lembut tutur bicaranya, sikap berawar galat dan lain-lain nilai murni Melayu.

    Justeru itu, generasi kita dapat meneruskan warisan tarian Brunei agar tidak pupus ketika menuju ke arah kemodenan.

    Pada masa yang sama, bakat mereka yang terpendam di bidang kesenian dan kebudayaan dapat dicungkil lebih mendalam di mana mereka dapat menyumbang bakti kepada bangsa dan negara, terutama dalam industri pelancongan dan memberigakan budaya warisan Brunei ke peringkat antarabangsa.

    Akhirnya, terpupuklah semangat cintakan seni budaya warisan Melayu Brunei di kalangan generasi muda dengan berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja.

    Suasana sekitar pertandingan

    Pertandingan bermula daripada pelajar-pelajar sekolah rendah, yang mempersembahkan tarian etnik Brunei. Dengan pakaian ala kampung dan berkain sarung, Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49, telah menghidupkan semula penceritaan para nelayan melalui Tarian Adai-Adai dari Puak Brunei.

    Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 yang membawakan tarian Adai-Adai dari Puak Brunei jelas menggambarkan kehidupan para nelayan.
    Sekolah Rendah Lumapas membawakan tarian Temaruk dari puak Dusun, iaitu seni tari bagi meraikan hasil tuaian padi.
    Lengkap berpakaian tradisi Brunei, persembahan tarian Jipin Laila Sembah dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.
    Murid-murid dari Sekolah Rendah Haji Mohd. Jaafar Maun, Kiulap cergas dalam mem-persembahkan tarian Aduk-Aduk dari etnik puak Kedayan.

    Diikuti dengan gerak tari yang rancak dari Sekolah Rendah Haji Mohd. Jaafaar Maun, Kiulap, memperlihatkan sekumpulan murid-murid melompat memalu dua biji tempurung di tangan mereka, mempersembahkan Tarian Aduk-Aduk. Menariknya mereka turut memasukkan seni persilatan dalam tarian yang mempamerkan kegagahan anak-anak Brunei.

    Murid-murid dari Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi juga membawa tarian yang sama dari Puak Kedayan untuk dipertandingkan. Mereka menari dengan penuh kecergasan memalu tempurung mengikut rentak gulingtangan dan gendang. Indahnya di samping menampilkan keperkasaan anak Brunei, mereka juga memasukkan unsur kelembutan dalam tarian sebagai lambang bangsa yang penuh sopan santun.

    Kumpulan tarian terakhir bagi pertandingan tarian kebangsaan peringkat sekolah rendah adalah dari Sekolah Rendah Lumapas, yang membawakan tarian Temaruk dari Puak Dusun. Para penari berpakaian etnik Dusun, sambil memegang kiap meraikan hasil tuaian padi.

    Pertandingan kemudian diteruskan kepada peringkat sekolah menengah bermula dari Sekolah Menengah Rimba 2 yang membawakan tarian Samalindang seakan memperlihatkan keindahan seorang puteri.

    Manakala Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong pula mempertandingkan tarian Kayum O Ya Kayum, yang mempamerkan sekumpulan gadis-gadis meraikan kegembiraan. Tampil ayu dan berbaju kurung putih, Sekolah Menengah Jamalul Alam membawakan tarian Joget Baju Putih apabila para penari lelaki berpakaian cara Melayu datang mengusik-usik dan memikat pasangannya.

    Berpakaian kuning keemasan, kumpulan tarian terakhir dalam pertandingan bagi peringkat sekolah menengah adalah dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong yang mempertandingkan tarian Jipin Laila Sembah, memperlihatkan kedamaian Brunei sebalik gerak tarinya yang lemah lembut dan penuh bersantun.

    Sekolah Menengah Rimba 2 memaparkan keindahan seorang puteri yang menari bersama dayang-dayangnya melalui tarian Samalindang.
    Meraikan kegembiraan, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong memperlihatkan keindahan seni tari asli di sebalik pergerakan tarian Kayum O Ya Kayum.
    Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi turut mempertandingkan tarian Aduk-Aduk penuh bersemangat memalu tempurung mengikut rentak gulingtangan dan gendang.

    Begitulah indahnya tarian asli Brunei dan tarian etnik Brunei yang dibawakan oleh peserta-peserta pertandingan dengan penuh kreativiti tanpa meninggalkan nilai-nilai seni di sebaliknya. Mengikut rentak dan alunan lagu, mereka menari penuh penghayatan mewarisi khazanah bangsa yang diperturunkan oleh nenek moyang kita.

    Juara pertandingan

    Berdasarkan kepada penghakiman dari segi gerak tari dan irama, bentuk persembahan, tempo, ketetapan dan kesesuaian tema, tatatertib dan sopan santun, serta pakaian, maka diumumkanlah juara bagi Pertandingan Tarian Etnik Brunei dan Tarian Brunei Asli Peringkat Sekolah Rendah dan Peringkat Sekolah Menengah serta Maktab.

    Tampil juara bagi peringkat sekolah rendah adalah Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi, diikuti dengan naib johan, Sekolah Rendah Haji Mohd. Jaafar Maun, Kiulap, dan tempat ketiga adalah, Sekolah Rendah Lumapas.

    Manakala bagi peringkat sekolah menengah pula tampil juara adalah Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong, diikuti dengan naib johan, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong dan tempat ketiga, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan trofi adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Jabatan Majlis Mesyuarat Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Penghulu Mukim Gadong A, Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.

    Walaupun pertandingan telah berakhir, tetapi ternyata para murid dan pelajar sekolah-sekolah ini telah mencipta kenangan terindah di zaman persekolahan mereka, di samping membawa nama sekolah masing-masing.

    Dalam seni tari, mereka adalah antara wajah-wajah yang akan meneruskan dan memberigakan warisan khazanah bangsa. InsyaAllah. Tahniah kepada para peserta!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda