Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, diteruskan lagi minggu ini dengan tazkirah bertajuk ‘Menghayati Zikir Di Negara Zikir’.
Tazkirah telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Abang Hadzmin bin Abang Taha.
Dalam tazkirahnya itu, beliau menyentuh mengenai bagaimana menghayati zikir dan memahami zikir-zikir.
Beliau antara lain berkata, “Bersumber dari keyakinan mendalam bahawa Negara Zikir itu akan menjadi ‘tuah’ kepada semua, kerana ia pasti disukai oleh Allah, Tuhan Maha Pencipta dan akan mendapat rahmat serta pertolonganNya. Dengan konsep Negara Zikir, kita Insya-Allah, akan membangun negara dan kehidupan, dengan perkara-perkara yang dipandang baik serta bagus oleh Allah dan juga oleh manusia.”
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan datin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Mohd Yusof; timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid dan Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Turut sama menyerikan program adalah Jabatan Pengajian Islam, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan dan Bahagian Audit Dalaman, KHEU.
Program kelolaan KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien tersebut merupakan program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.
‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.
Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.
Makmurnya masjid-masjid di negara ini adalah antara landasan bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah S.W.T bagi diri sendiri, keluarga dan juga negara.