INDONESIA mempunyai pelbagai warisan kraf tangan di mana pada minggu lepas mengutarakan mengenai kain tenunan Kediri dan kali ini menyentuh mengenai kain tenunan Lurik.
Antara tahun 1950 dan 1970, daerah Pedan di Klaten, Jawa Tengah, merupakan satu-satunya pusat produksi tenunan lurik (kain bergaris tradisional) di Indonesia.
Dianggarkan sekitar 500 organisasi yang bergiat aktif dalam industri ini dengan menempatkan sekitar kira-kira 10,000 pekerja malah industri ini terus berkembang dengan bantuan alat tenun manual tradisional.
Suhardi Hadi Sumarto telah merintis industri tenunan lurik ini pada sejak tahun 1938 lagi setelah menyelesaikan pendidikannya di Textiel Inrichting Bandoeng yang mana kini dikenali sebagai Institut Tekstil Bandung di Jawa Barat.
Rachmad, seorang ahli perniagaan lurik di Pedan telah menelusuri perjalanan hidup yang berliku di dalam usahanya untuk mempertahankan kain tenunan lurik ini.

Bagi Suhardi, dia sangat suka untuk melakukan lebih daripada sekadar menghasilkan lurik.
“Suhardi juga telah berjaya mengajar jiran-jirannya untuk membuat kain tenunan lurik malah ayah saya, Atmo Prawiro, merupakan salah seorang pelajarnya,” kata Rachmad lagi kepada wartawan Jakarta Post.
Pada hari ini, Rachmad adalah salah seorang ahli perniagaan lurik di Pedan yang masih lagi memiliki kira-kira 50 oklak (alat tenunan manual), namun hanya 15 sahaja alat itu digunakan untuk menghasilkan kain tersebut.
Satu oklak boleh menghasilkan kira-kira 10 meter tenunan lurik dalam satu masa, atau kira-kira 250 hingga 300 meter tenunan lurik dalam masa sebulan.
Memelihara warisan kraf tangan
“Masa keemasan bagi tenunan lurik secara tradisional sudah pun berlalu namun saya masih berpegang kepadanya kerana ia adalah pilihan saya untuk terus memelihara seni. Bagi saya, ini bukan sahaja tentang wang malah ia kerana warisan dan juga budaya,” tambah Rachmad lagi kepada media.
Hanya tiga industri rumah lurik tenunan secara manual yang terselamat dalam menelusuri arus perubahan zaman.
Sebuah butik tenunan lurik dimiliki oleh Rachmad yang mana terdiri daripada 30 orang pekerja. Satu lagi milik ibu Sudiro, dengan pekerja yang lebih sedikit dan yang ketiga pula dimiliki oleh Arif Purnawan, anak sulung Rachmad.
Rachmad berkata bahawa industri Pedan Lurik semata-mata wujud untuk membantu para pekerja untuk terus mengekalkan dan menghidupkan warisan kraf tangan ini.
Walau bagaimanapun, dia tidak menolak pengaruh moden dan berfikir bahawa industri ini perlu disesuaikan dengan konteks sekarang. “Jika kita masih berpegang kepada motif konvensional dalam pengeluaran kain tradisional ini, kita tidak akan mampu menjual banyak kain ini dan sebab itulah kita perlu untuk mencari dan meneroka akan kepelbagaian corak dan lakaran yang menarik untuk mempelbagaikan lagi warisan kraf tangan ini,” kata Rachmad lagi kepada wartawan media.


Salah seorang pekerja Rachmad yang bernama Saryati dan berusia 67 tahun berkata bahawa dia boleh menenun sekitar tujuh meter lurik dalam masa sehari dengan bayaran sebanyak 5,000 rupiah per meter yang mana boleh dikumpulkan setiap hari ataupun selama seminggu.
Saryati telah bekerja bersama Rachmad sejak dia masih muda lagi malah sisa-sia hari keemasan kain warisan lurik masih diletakkan di bengkel-bengkel kain tenunan Rachmad di Pedan untuk tatapan orang ramai yang ingin melihat lebih dalam akan warisan lama kain tenunan lurik.
Anak lelaki Rachmad, Arif berkesempatan memperlihatkan bentuk kain tenunan lurik yang bertarikh antara tahun 1950 dan 1970 yang telah dibeli dan dihantar ke beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Malaysia dan juga Belanda.
Meneroka pelbagai idea baru
Perniagaan yang dijalankan oleh Rachmad telah terselamat daripada kepudaran disebabkan oleh ideanya yang meneroka pelbagai bentuk dan bahan-bahan baru sekali gus mengakibatkan perkembangan inovasi baru dalam beberapa produknya.
Dengan bantuan daripada anak-anaknya, Rachmad kini membuat tenunan lurik dengan menggunakan kapas dan benang sutera yang digabungkan dengan bahan serat semula jadi.
Arif telah menggabungkan motif udan liris hitam dan putih klasik dengan turquoise atau maroon. Dia juga cukup berani untuk memasukkan hiasan batik kepada motif klasik seperti klenting kuning, sodo sakler, lasem, tuluh watu, lompong keli, kinanti atau kembang tela.
“Dalam tempoh lima tahun yang lalu, ayah saya dan saya telah memberikan pelbagai bentuk bengkel tenun secara bebas namun masih mengekalkan corak lurik yang sebenar dengan menggunakan alat tenunan manual tetapi ini adalah usaha kami untuk mengekalkan lurik dan menggalakkan kemunculan artis-artis baru yang bergiat aktif dalam tenunan lurik khususnya belia-belia muda.”
“Usaha ayah saya sebenarnya agak sedikit berhasil, di mana beberapa bengkel atau butik baru telah muncul di daerah Cawas, Klaten dan Weru, Kabupaten Sukoharjo. Walaupun mereka berjaya namun belum dapat mengatasi akan kegemilangan lurik pada satu ketika dahulu namun apa yang pasti, perniagaan baru ini akan dapat menjual produk mereka ke pelbagai bandar, wilayah dan juga antarabangsa,” tambah Arif mengakhiri temu ramah bersama media.