(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Kita diingatkan supaya tidak lalai daripada mengingati mati kerana seperti yang kita maklumi kematian itu suatu yang pasti. Bila, di bumi mana dan bagaimana caranya, hanya Allah ‘Azza Wa Jalla sahaja Yang Maha Mengetahui. Kita sentiasa berdoa dan mengharap agar dikurniakan keimanan yang teguh dan sebaik-baik kesudahan, iaitu mati dalam keadaan husnul khatimah.
Allah telah berfirman mengenai kematian yang tafsirnya:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)
Firman Allah lagi yang tafsirnya:
“Di mana sahaja kamu berada nescaya maut akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada di benteng-benteng tinggi yang kukuh.”
(Surah an-Nisa: 78)
Hukum mengingati mati
Dalam Islam kita disunatkan untuk mengingati mati. Tambahan daripada itu, kita juga dituntut untuk banyak atau sentiasa mengingati mati. Malahan menurut ulama, banyak mengingati mati adalah sunat yang sangat dituntut. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah telah berpesan yang maksudnya:
“Perbanyakkanlah ingatan kepada penghancur segala kelazatan, yakni mati.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam perkara mengingati mati, manusia itu terbahagi kepada tiga golongan. Golongan yang pertama ialah golongan yang tidak mengingati mati, bahkan sangat jauh daripada mengingatinya dan lebih sibuk dengan urusan keduniaan.
Golongan kedua pula ialah golongan yang banyak mengingati mati untuk menimbulkan rasa takut dan gerun supaya dia lebih banyak bertaubat. Golongan ini kadang-kadang dikatakan tidak menyukai mati kerana merasa takut kalau-kalau dia tidak sempat untuk bertaubat sepenuhnya, di samping mahu menambah kebaikan dan meningkatkan bekalan ke akhirat.
Manakala golongan yang ketiga pula ialah mereka yang sangat menantikan saat-saat kematian itu, kerana merasa rindu untuk bertemu dengan Yang Maha Pencipta, iaitu Allah.
Apapun dalam kesemua hal dan keadaan, mengingati mati itu diberikan ganjaran pahala dan kelebihan. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar r.a. bahawa beliau bersama-sama Rasulullah apabila seorang Anshar datang lalu memberi salam kepada Baginda. Kemudian dia bertanya kepada Rasulullah yang maksudnya:
“Siapakah di kalangan orang mukmin yang lebih utama?
Baginda menjawab: “(Di kalangan) Mereka yang paling baik akhlaknya.”
(Orang Anshar itu) berkata: “Kemudian siapakah di kalangan orang mukmin yang lebih bijak (jauh pandangan)?”
Baginda menjawab: “(Di kalangan) Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk menghadapi perkara sesudah mati. Mereka itulah yang paling bijak.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Mengingati mati dengan menziarahi kubur
Keimanan dan perasaan takut membawa seseorang kepada sentiasa mengingati mati. Selain itu, antara cara mengingati mati itu ialah dengan muhasabah diri, membayangkan saat-saat kematian, menggambarkan keadaan diri apabila berada di dalam kubur, membaca kisah-kisah atau cerita yang berkaitan dengan kematian, menziarahi orang sakit, menyempurnakan dan menghantar jenazah ke kubur, menziarahi kubur dan sebagainya.
Menyentuh mengenai ziarah kubur, sewajarnya amalan ini tidak hanya terhad kepada mengingati orang yang sudah meninggal dunia atau dijadikan semata-mata satu aktiviti sosial sahaja, atau untuk tujuan membersih kawasan perkuburan secara berkala tanpa mengambil mesej yang lebih penting, antaranya ialah untuk mengingati mati.
Ini kerana antara tujuan menziarahi kubur itu ialah menginsafi diri tentang hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat dengan menghisab diri sama ada akan menuju ke syurga atau ke neraka.
Malahan Rasulullah telah bersabda mengenai perkara ini seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya:
“(Pada suatu ketika) Rasulullah ziarah ke kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya.
Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada mati.”
(Hadis riwayat Muslim)
Hukum menziarahi kubur
Seperti yang kita ketahui, di negara kita Brunei Darussalam, amalan menziarahi kubur kerap kali dilakukan pada hari Jumaat, dan khususnya dalam bulan Ramadhan dan Syawal. Amalan menziarahi kubur menjadi lebih ketara dalam bulan-bulan tersebut berbanding dengan hari-hari atau bulan-bulan yang lain.
Hukum menziarahi kubur bagi lelaki adalah sunat. Manakala bagi golongan perempuan pula adalah makruh dengan syarat dapat mengawal kesedihan, menjaga aurat, terhindar daripada fitnah dan sebagainya. Jika tidak berupaya untuk mematuhi syarat-syarat tersebut, seperti menangis dengan cara meraung atau boleh mendatangkan fitnah, maka hukum menziarahi kubur bagi perempuan menjadi haram.
Bagi perempuan yang haid pula, anggapan menziarahi kubur sebagai perbuatan sia-sia, hanya membuang masa, tanpa membawa apa-apa manfaat dan faedah, adalah tidak benar dan perlu dibetulkan. Ini kerana bagi perempuan yang haid apabila menziarahi kubur, masanya itu juga boleh diisikan dengan melakukan amalan yang bermanfaat. Ini kerana dia masih boleh mendoakan bagi ahli kubur dengan doa-doa yang warid yang diajarkan oleh Rasulullah.
Seperti yang diketahui, perempuan yang haid dilarang daripada membaca al-Qur’an. Maksudnya di sini membaca dengan suara yang boleh didengar olehnya sendiri. Adapun membaca ayat al-Qur’an di dalam hati tanpa menggerakkan lidah, atau dengan menggerakkan lidah tetapi tidak kedengaran olehnya sendiri adalah diharuskan. Oleh yang demikian, perempuan yang haid boleh membaca al-Qur’an dalam hati jika dia hafal atau dengan melihat kepada mushaf yang berada pada orang di sebelahnya. Bagaimanapun perempuan haid tetap dilarang daripada memegang mushaf atau al-Qur’an.
Semoga dengan amalan menziarahi kubur bukan hanya setakat menghidupkan hubungan antara yang hidup dan yang telah tiada, akan tetapi lebih daripada itu akan menimbulkan rasa keinsafan dan perasaan takut kerana mengingati mati. Malahan kita tidak lalai daripada mengingati mati, segera bertaubat dan sentiasa meningkatkan amalan untuk bekalan akhirat.