Menglait Stingers ungguli Kejohanan Liga Pasukan Badminton Kebangsaan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Menglait Stingers merampas kedudukan Kejohanan Liga Pasukan Badminton Kebangsaan selepas mereka memenangi perlawanan ketiga mereka berturut-turut di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan baru-baru ini.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, diteruskan dengan perlawanan bagi pusingan kedua dan ketiga yang berlangsung baru-baru ini.

Pusingan kedua menyaksikan perlawanan sengit apabila Menglait Stingers berjaya menewaskan Menglait Mavericks dengan kemenangan 3-2 dan MS ABDB mengalahkan RHTS 3-2.

Manakala Onjatu menghasilkan permainan baik dengan kemenangan 5-0 ke atas Red Falcon manakala T2A menang 4-1 ke atas Bolkiah Mixed Group. Di pusingan ketiga, T2A memperoleh kemenangan berturut-turut mereka selepas mengalahkan Red Falcon 4-1 dan Menglait Stingers menikmati kemenangan besar 5-0 ke atas MS ABDB.

Perlawanan lain menyaksikan RHTS menang 3-2 menentang Bolkiah Mixed Group sementara Menglait Mavericks kembali bangkit dari kekalahan dengan kemenangan 4-1 menentang Onjatu.

Pada pusingan ketiga ini, Menglait Stingers kini mendahului kedudukan selepas mereka mengumpul sembilan mata maksimum dengan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

Pertandingan seterusnya akan disambung pada Ahad ini dengan pusingan tambahan yang akan berlangsung pada bulan April dan diteruskan dengan perlawanan pusingan akhir pada 12 April nanti.

Antara aksi pemain dalam Kejohanan Liga Pasukan Badminton Kebangsaan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.